Nama Fatimah dan Aminah direkodkan sebagai nama-nama paling popular yang didaftarkan oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka dengan Jabatan Pendaftaran Negara.
"Berdasarkan rekod, nama yang paling popular dan banyak didaftarkan berjumlah 79,936 adalah atas nama Fatimah dan 29,126 atas nama Aminah.
"15,151 pula atas nama Ah Moi dan 10,866 atas nama Ravi," kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Jariah Mohd Said.
Beliau mendedahkan perkara itu dalam ucapannya pada majlis pelancaran Hari Pendaftaran Negara di ibu pejabat JPN di Putrajaya, hari ini.
JPN juga mendapati ada 149 individu yang didaftarkan dengan nama Malaysia manakala 78 orang didaftarkan dengan nama Merdeka mengambil sempena peristiwa penting negara.
Menurut Jariah, JPN telah membantu Jabatan Penerangan untuk mencari 149 individu bernama Malaysia itu untuk diraikan pada sambutan Hari Malaysia 16 September lepas.
Dalam pada itu, Jariah memberitahu setakat ini 28.4 juta rakyat Malaysia telah mendaftar dan memiliki dokumen pengenalan diri.
"Adalah tidak munasabah sekiranya masih ada rakyat Malaysia tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan tidak sepatutnya berlaku individu yang telah dewasa berumur 40 tahun masih belum mempunyai sijil kelahiran," katanya.
Justeru beliau menggesa semua pihak supaya memanfaatkan 225 pejabat JPN yang ditempatkan di seluruh negara.
Sementara itu, sempena musim haji tahun ini, JPN bekerjasama dengan Lembaga Tabung Haji untuk mengemaskini rekod dan pendaftaran kematian jemaah haji Malaysia di Mekah dan Madinah.
"Ini bermakna maklumat kematian akan diterima oleh JPN sebaik sahaja kematian didaftarkan oleh Pegawai JPN di Pejabat Lembaga Tabung Haji di Mekah dan Madinah," katanya.
Sehingga 30 September lalu, empat jemaah haji Malaysia di Mekah dan Madinah telah didaftar meninggal dunia dan rekod kematian mereka telah dimasukkan secara terus dalam pangkalan data JPN.
"Dalam hal ini, JPN mengambil inisiatif menghantar terus sijil kematian tersebut kepada waris si mati yang masing- masing berada di Johor, Perak, Terengganu dan Kelantan," jelasnya.
SUMBER: http://semuthitam80.blogspot.com/2013/10/nama-emma-paling-popular-di-malaysia.html
0 comments:
Post a Comment