Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Sikap berdegil kerajaan untuk tetap melaksanakan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Hasutan jelas mencabuli hak kebebasan awam, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.
Menurutnya, peruntukan terperinci dalam kedua-dua akta tersebut terbuka kepada kemungkinan salahguna oleh kerajaan dan polis, dan mengekalkan kawalan lebih ketat ke atas ahli politik pembangkang dan masyarakat sivil.
Charles berkata, dengan kelulusan dua akta tersebut, ia secara tidak langsung memberikan lebih kuasa kepada kerajaan dan pihak polis untuk menangkap sesiapa saja.
“Tindakan tergesa-gesa meluluskan POTA dan pindaan Akta Hasutan, melihatkan bagaimana hak-hak sivil dan politik rakyat semakin berkurang.
“Pembangkang boleh ditangkap dan dipenjarakan tanpa alasan munasabah (at the drop of a hat), media semakin dikongkong, peranan badan kehakiman dibungkam, masyarakat sivil dan NGO tidak dapat menyuarakan pendapat tanpa rasa takut dari ditangkap atau didakwa.
“Semua ini dilakukan sebuah kerajaan yang terdesak untuk terus berkuasa. Di mana letaknya kita sebagai sebuah negara?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 7 April lalu, Rang Undang Undang (RUU) POTA telah diluluskan di Dewan Rakyat tanpa pindaan selepas perbahasan panjang selama hampir 14 jam berikutan bantahan dari pimpinan Pakatan Rakyat.
Manakala pada 10 April pula, Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Pindaan Akta Hasutan selepas perbahasan 14 jam bermula jam 11.30 pagi hingga 2.30 pagi.
Melalui pindaan baru itu, hukuman yang lebih berat akan dikenakan bagi individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan.
Hukuman minimum penjara 5 tahun dan maksimum 20 tahun akan dikenakan bagi kesalahan di bawah akta itu berdasarkan keseriusan kesalahan. – Roketkini.com
SUMBER: http://dialograkyat.blogspot.com/2015/04/pota-dan-akta-hasutan-terbuka-kepada.html
0 comments:
Post a Comment