WASPADA TAKTIK PEMBANGKANG BENTUK PERSEPSI NEGATIF MENGENAI GST: SALLEH


KOTA BELUD: Rakyat perlu waspada terhadap pelbagai tohmahan negatif pembangkang berhubung Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang cuba membentuk persepsi negatif rakyat terhadap sistem percukaian itu.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said berkata pembangkang terus memutarbelitkan mengenai fakta GST walhal mereka mengakui ia sistem terbaik, adil dan telus.

"Hakikatnya, pembangkang cuba membentuk persepsi negatif rakyat terhadap GST demi kepentingan politik mereka. Justeru, rakyat mesti bersikap rasional dengan bersedia mendengar penjelasan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis taklimat dan penerangan GST anjuran Barisan Nasional (BN) Kota Belud di Rumah Rehat di sini hari ini. Hadir sama pengerusi penganjur, Datuk Almudin Kaida yang juga Ketua Penerangan BN Kota Belud serta pemimpin parti komponen setempat.

Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan berkata pada realitinya GST tidak dikenakan ke atas barangan makanan keperluan asas harian pengguna.

Ia termasuklah beras, minyak masak, tepung dan sebagainya, pengangkutan awam, perkhidmatan tol, pembelian dan penyewaan rumah kediaman, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, pengeluaran pasport dan lesen, air paip, perkhidmatan kerajaan, penggunaan elektrik bagi 300 unit pertama bagi pengguna domestik dan pelbagai barangan asas dan perkhidmatan lain.

Selain itu, katanya, barang dan perkhidmatan yang dieksport juga tidak dikenakan GST, sekali gus menjadikan eksport negara menjadi lebih kompetetif di peringkat antarabangsa.
Salleh juga berkata kerajaan telah memberi banyak subsidi untuk mengurangkan harga barang dan perkhidmatan.

"Untuk 2015, kerajaan telah dan akan memberi BRIM sebanyak RM850 untuk mengimbangi kenaikan harga barang dan mengurangkan kos sara hidup," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah berkata tidak ada sebab mengapa Parlimen dibubarkan hanya kerana memenuhi kehendak segelintir pemimpin yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Katanya, BN mempunyai mandat sebagai parti pemerintah sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang dan semua parti komponen BN berdiri teguh menyokong Perdana Menteri  seperti yang telah dizahirkan oleh pemimpin-pemimpin BN dan Umno.

"Persoalan yang mereka (pembangkang) bangkitkan telahpun dijelaskan, cuma mereka sengaja mengelirukan masyarakat. Mereka kena sabar dan tunggu pilihanraya akan datang untuk bersaing dalan proses demokrasi," katanya.



SUMBER: http://ift.tt/1HziDAZ

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog