DAP BERTINDAK `PENYERANG' BUKAN MANGSA POLITIK PERKAUMAN


Oleh SSK

Setahun selepas pilihan raya umum Mei 2013, negara kita nampaknya terperangkap dengan permainan isu perkauman dan agama yang kini semakin meruncing sehingga mengheret institusi diraja ke kancah pemikiran yang sempit.



Keadaan ini lebih ketara di Semenanjung Malaysia berbanding di Sabah dan Sarawak yang lebih aman dan harmoni. Walaupun Sabah dan Sarawak mempunyai pelbagai kumpulan etnik dan agama, namun kedua-dua negeri ini tidak pernah mengalami rusuhan kaum dan perbalahan agama seperti yang pernah berlaku di Semenanjung.



Dalam hal ini, adalah sangat mudah untuk menyalahkan satu pihak atau pihak lain tetapi jika kita benar-benar jujur maka kita harus mengakui bahawa kedua-dua pihak sama-sama bersalah dalam kemelut ini.



Oleh itu, rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini perlu sama-sama meredakan keadaan atau menurunkan nada retorik bagi memastikan ia tidak sampai ke tahap di luar kawalan.



Jika keadaan sudah semakin teruk dan jika tidak diperbetulkan, maka ia sudah terlambat untuk mengekang perkara yang tidak diingini.



Pembangkang sering menyalahkan Umno kerana memulakan kemelut ini, namun kita harus ingat bahawa Umno adalah parti nasionalis Melayu yang mendokong Islam.



Oleh itu, sudah tentu ada sahaja perbincangan yang menyentuh masa depan orang Melayu dan kesucian agama Islam tetapi ia tidak seharusnya ditafsir sebagai perkauman atau bercakap dalam bahasa perkauman.



Walaupun DAP mendakwa sebuah parti pelbagai kaum, secara fakta, DAP kelihatan lebih mengutamakan kaum Cina atau Chinese-centric dan perjuangannya juga nampak lebih tertumpu kepada isu-isu Cina. DAP kelihatan seperti sebuah parti Cina iaitu lebih tertonjol daripada MCA.



Menuduh Umno mengapi-apikan isu perkauman dan pada masa yang sama DAP memainkan isu-isu bangsa atau perkauman adalah perbuatan nakal. DAP sentiasa bermain politik dengan memaparkan parti itu sebagai mangsa dan menggunakannya sebagai mekanisme pertahanan pada hal parti itu sebenarnya yang sentiasa bertindak sebagai "penyerang" dan bukannya mangsa.



Apa yang kita lihat sekarang ialah Pakatan Rakyat sedang menghadapi pelbagai masalah dalaman dan masalah antara parti dalam pakatan itu sendiri. PKR berdepan pemilihan parti yang kucar kacir manakala hubungan DAP-PAS semakin renggang kerana tiada kesepakatan dalam isu Hudud.



Oleh kerana itu, DAP cuba mengalihkan perhatian orang ramai dari isu sebenar dan cuba menonjolkan kepada umum seolah Umno adalah punca semua masalah ini.







SUMBER: http://ift.tt/1m4B59P

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog