Di Terengganu bermasalah tetapi tidak sebesar masalah di Persekutuan











Krisis melanda UMNO dan kerajaan negeri Terengganu, berikutan dengan perletakkan jawatan Ahmad Said sebagai Menteri Besar semalam dan terus keluar dari UMNO dan menjadi ADUN bebas dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu.




Tindakan Ahmad Said keluar dari UMNO itu telah membuatkan dua orang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri mengikut jejak langkah Ahmad Said keluar parti dan meletakkan kerajaan BN/UMNO Terengganu kini adalah kerajaan minoriti yang hanya mempunyai 14 kerusi sahaja dalam DUN Terengganu. Nampaknya tidak mustahil jika PAS akan mengambil alih kerajaan Terengganu kerana jumlah bilangan kerusi bagi UMNO dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu sudah tidak melayakkan UMNO menerajui negeri itu lagi.




Tetapi saya tidak ingin menyebut apakah yang terbaik bagi PAS lakukan dalam krisis yang amat besar menghadapi UMNO Terengganu ini. Saya lebih cenderung untuk memberikan ulasan tentang UMNO secara keseluruhannya.




Tindakan Ahmad Said keluar UMNO sejurus meletakkan jawatan Menteri Besar itu membawa makna dan 'significance' yang besar terhadap UMNO itu sendiri. Ia bermakna pucuk pimpinan UMNO sudah tidak mendapat penghormatan yang sepatutnya dari pimpinan bawahannya. Tidak ada sebab Ahmad Said keluar dari parti hanya kerana beliau diminta meletakkan jawatan. Walaupun beliau memberikan alasan kerana Najib tidak mahu memberikan peluang untuk beliau meletakkan jawatan selepas 17 Mei nanti, sejurus beliau melangsungkan perkahwinan anaknya.




Tindakan Ahmad Said dan dua orang lagi ADUN Terengganu meninggalkan parti itu membayangkan yang pimpinan Najib sudah tidak dihormati lagi oleh pimpinan peringkat bawahan. Tindakan tidak akur Ahmad Said dan dua lagi ADUN itu bukan sahaja tidak menghormati Najib, tetapi ia juga melambangkan sikap tidak percaya terhadap barisan kepimpinan parti kerana keputusan UMNO meminta seorang Menteri Besar itu adalah tindakan bersama semua Majlis Tertinggi (collective responsibility) parti.




Kegagalan menguasai UMNO Terengganu itu menunjukkan kelemahan Majlis Tertinggi UMNO dan ia merupakan undi tidak percaya terhadap Majlis Tertinggi UMNO bukan setakat tentangan terhadap Najib seorang. Ahmad Said sememangnya seorang yang bermasalah tetapi pucuk pimpinan masih memilihnya untuk menerajui kerajaan Terengganu kerana kepentingan jangka pendek semata-mata. Akibatnya kita sedang sama-sama menyaksikannya.




Itu sebabnya blog ini telah banyak tahun menyatakan yang UMNO yang kini sangat lemah tidak lagi mampu membuat keputusan dengan tepat. Keputusan yang hendak dilakukan itu adalah keputusan yang melibatkan pemimpin yang semuanya adalah dikalangan mereka yang mengambil budaya politik ‘kuning’ yang akan membunuh UMNO itu sendiri akhirnya.




Kalau tidak masakan Ahmad Said merupakan seorang yang sangat ‘controversial’ yang mendapat tempat dan kedudukan melalui perpecahan dalam UMNO khususnya di Terengganu itu sendiri. Ahmad menjadi Menteri Besar dalam kontroversi besar dan perletakkan jawatan beliau sendiri pun menghasilkan kontroversi yang besar sehingga menjerumuskan UMNO negeri ketahap yang sangat merbahaya kedudukannya. Apa yang berlaku di Terengganu sekarang ini merupakan kejadian yang ‘predictable’ dari dahulu lagi dan hanya menunggu masa untuk terjadi.




UMNO pusat tidak lagi mempunyai kekuatan untuk menguruskan negara. Itulah sebabnya selalu di peringatkan yang jika UMNO masih ingin menjadi relevan seluruh kepimpinan di Pusat itu wajar berhenti dan bersara dan serahkan kepada orang yang lebih berpengalaman dan mempunyai ciri-ciri ‘magnanimity’ yang tinggi untuk melakukan pembaharuan.




Saya yakin yang keadaan ini bukan sahaja berlaku di negeri Terengganu, tetapi ia juga berlaku di negeri-negeri lain dan akan hanya menunggu masa sahaja untuk terjadi perkara seperti ini. Keretakan berlaku di setiap negeri dan kawasan dan UMNO sudah kehilangan segala-galanya ciri parti yang memerintah.




‘Intra problems’ dalam UMNO begitu serius dan bagaimana pula UMNO hendak menyelesaikan masalah-masalah besar yang lain seperti rungutan dan tidak puas hati ahli ‘equal partners’ dalam Persekutuan ini. Isu dan rungutan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak ini bukannya isu yang kecil kerana ia melibatkan negara di masa hadapan. Ia memerlukan kepimpinan Persekutuan yang benar-benar mempunyai ciri kepimpinan negara yang berjiwa besar bukan setakat pemimpin yang hanya menyelesaikan isu-isu secara ‘ad hoc’ tanpa bertindak untuk memperkuatkan negara dan rakyat dalam jangka masa yang panjang.




Masalah ‘inter-party’ dalam BN semakin serius dan tanpa penyelesaian yang segera ia tidak akan mengembalikan negara kepada keadaan yang pernah kita alami dahulu. Yang menyelamatkan UMNO sedikit pada hari ini, ialah perpecahan yang juga sedang berlaku dalam pihak pembangkang dan keadaan ini juga tidak memberikan keyakinan kepada rakyat yang ramai untuk mendapatkan sebuah negara yang kuat dalam mana rakyatnya hidup dalam aman dan damai.




Sesungguhnya masalah yang dihadapi oleh pimpinan di Terengganu walaupun masalah besar tetapi ia tidak sebesar masalah yang mereka hadapi dengan dua buah negeri, Sabah dan Sarawak. Ia melibatkan kestabilan sebuah negara yang besar dan isu yang mereka di Malaysia Timur hadapi bukanlah isu yang kecil.




Bagi mereka perjanjian Persekutuan Malaysia yang mereka tanda tangani dahulu adalah perjanjian diantara empat buah negara, Singapura, Sabah dan Sarawak bersama dengan Persekutuan Tanah Melayu. Mereka berhak untuk menuntut apa yang telah dipersetujui dan ditanda tangani kerana jika tidak diselesaikan isu ini maka mereka juga berhak untuk bertindak mengikut kehendak dan kemahuan mereka seperti yang dijanjikan dan di tanda tangani itu.




Penyelesaiannya hanya akan tercapai jika ada dikalangan pemimpin yang berwibawa membawa kembali ke meja perundingan untuk menyelesaikan apa-apa ketidak puasan hati rakyat di sana. Tanpa ada pemimpin yang mampu untuk menyelesaikan dan mencari formula terbaik bagi isu ini, keadaan ini tidak mustahil akan memecahkan negara bukan setakat perpecahan parti-parti politik tanahair semata-mata.




Jika kita hendak mengharapkan pimpinan di Persekutuan yang ada pada hari ini dari kedua-dua belah pihak BN dan Pakatan Rakyat ia tidak akan sampai kemana-mana dan akhirnya akan berlaku apa yang kita tidak ingini pada suatu ketika nanti.




Selalu blog ini menzahirkan pendapat yang kita memerlukan sebuah negara baru yang terlandas kepada kerjasama diantara negeri-negeri yang berdaulat dan rakyat berbilang kaum dan agama yang mantap agar kita dapat dengan segera meninggalkan situasi sekarang yang amat merumitkan kerajaan dan rakyat semua.





SUMBER: http://ift.tt/1jcExzH

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog