KJ: Palanivel harus muhasabah diri

0 comments
MALAYSIAKINI

 


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel harus muhasabah diri mengenai masalah yang menimpa parti itu dan tidak seharusnya menyalahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Dengan menyalahkan Najib, katanya, ia hanyalah dilihat sebagai tindakan untuk menutup kelemahan kepimpinan Palanivel sendiri.

“(Bagi) Pemuda Umno, kita mendesak supaya Datuk Seri Palanivel bermuhasabah diri dan melihat kepada kelemahan yang ada dalam kepimpinan MIC itu sendiri dan itu yang menjadi punca kemelut dan krisis kepimpinan MIC dan bukannya PM, saya percaya PM hendak selesaikan masalah ini dengan cepat dan menyeluruh.

‎"Walaupun secara dasarnya kita tidak mencampuri urusan parti komponen yang lain, tetapi bagi Pemuda Umno kita berpendapat pemimpin parti komponen tidak sepatutnya menyalahkan PM berkenaan dengan masalah dalaman yang dihadapi parti mereka.

“Sekiranya ada usaha untuk menyalahkan PM, ini dilihat sebagai satu tindakan untuk menutup kelemahan kepimpinan parti itu sendiri,” kata Khairy dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda di PWTC hari ini.




SUMBER: http://ift.tt/1db8WNj
Read more »

Mahu jadi pengeluar padi

0 comments
NORAFIDAH ASSAN
 
 
Mahu jadi pengeluar padi Norhafsyam (dua, kanan) memberi penerangan mengenai Beras Sona Mahsuri di Karnival Suka, Bandar Seri Jempol.
 
 
KOPERASI Majlis Belia Felda Malaysia Berhad (Coop MBFM) berhasrat menjadi pengeluar utama padi bagi pasaran domestik di negara ini.

Pengurus Besarnya, Norhafsyam Rasali berkata, ketika ini pihaknya sedang mengenal pasti lokasi sesuai untuk dijadikan jelapang padi.

“Kita dalam proses mengenal pasti tapak padi baharu di Sabah yang mana sasaran 2,023 hektar bagi penanaman padi dapat direalisasikan selewat-lewatnya pada 2016.

“Menerusi usaha ini, kita memberi tumpuan utama memperbanyakkan beras super special tempatan (SST) ke pasaran lokal. Ia bermula pada awal Ramadan dan bagi menambah bekalan beberapa negara luar antaranya Kemboja, ia sudah dikenali pasti bagi tujuan berkenaan,” katanya.

Selain beras SST, Coop MBFM akan memperkenalkan beras wangi daripada padi MRQ76 yang akan mula ditanam di kawasan seluas 600 hektar di Johor dan Kedah.

Terdahulu, Coop MBFM giat memasarkan beras keluaran mereka melalui beras jenama Belda.
 
Mengulas mengenainya, Norhafsyam berkata beras istimewa, Beras Sona Mahsuri itu dihasilkan dari padi yang ditanam di India dan Pakistan.

“Beras ini tiada lemak, kolesterol, gula dan natrium, mula mendapat perhatian dan dijual dengan harga RM40 bagi satu bungkus lima kilogram.

“Walaupun berdepan cabaran syarikat pengeluar beras lain, kita percaya dengan keistimewaan Belda sekali gus menarik minat beli orang ramai membelinya,” katanya.
 
 


SUMBER: http://ift.tt/1Bv6nBl
Read more »

Perkukuh Perpaduan Menerusi Amalan Mulia: Musa

0 comments
1. Sempena Majlis Berbuka Puasa Zon1 (Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran) pada Sabtu di Kudat, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman mengingatkan umat islam agar terus mengukuhkan perpaduan bukan sahaja sesama kaum muslimin tetapi juga dengan penganut kepercayaan lain melalui pelbagai amalan mulia seperti bersatu hati, bekerjasama dan slaing hormat menghormati.

2. Amalan mulia ini, kata Musa, sudah menjadi budaya masyarakat Sabah yang menjadikan keamanan terus dikecapi di negeri ini.

3. Menurut Ketua Menteri tersebut, amalan tersebut akan diteruskan untuk menjaga perpaduan. Hanya melalui perpaduan yang kukuh, negeri dan negara akan senantiasa maju. Perancangan dan program yang dijalankan demi faedah rakyat akan berjalan lancar melalui perpaduan yang kukuh, tambah beliau, semasa berucap pada majlis tersebut.

4. Pada kesempatan yang sama, Musa juga berkata, sebagai kerajaan yang diterajui Umno dan Barisan Nasional, kepimpian negeri dan negara akan terus prihatin dengan kepentingan dan keperluan rakyat dengan melaksanakan yang terbaik terutama bagi menunaikan segala janji pilihan raya kepada rakyat.

5. Mengenai beberapa musibah yang melanda Sabah baru-baru ini, seperti gempa bumi, disusuli dengan banjir lumpur, Musa melahirkan kesyukuran kerana melalui kerjasama semua pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan, badan swasta serta pemimpin tempatan dan penduduk Ranau dan sekitarnya kerana dapat menangani bencana tersebut dengan baik.

6. Beliau juga berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana prihatin dan mengambil berat terhadap musibah yang menimpa Sabah khususnya kepada Perdana Menteri dan Timbalannya kerana datang melihat sendiri dan meninjau kesan gempa di Ranau.

7. Sesungguhnya menurut beliau, tiada masalah yang tidak boleh diatasi, jika terdapat kerjasama erat di semua peringkat khususnya antara Pusat dan Negeri. 

8. Sempena Majlis berbuka puasa Zon1, antara pemimpin negeri yang turut hadir, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Datuk Masidi Manjun, Datuk Nizam-Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, para Ketua Bahagian serta timbalan Umno Bahagaian Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran.


SUMBER: http://ift.tt/1GefLGg
Read more »

Suspek penyeludup Rohingya ditangkap

0 comments
MALAYSIAKINI

 


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkata, tangkapan telah dibuat ke atas rakyat Malaysia yang menjadi suspek dalam sindiket penyeludupan manusia di hutan Wang Kelian, Perlis.

Bagaimanapun, ketika ditanya berapa jumlah waran tangkap dan tangkapan yang dibuat melibatkan rakyat Malaysia, Zahid berkata perkara itu tidak perlu dihebohkan.

"Ada waran tangkap yang dibuat. Bukan sahaja waran tangkap tetapi tangkapan dah dibuat.

"Saya tak perlu hebohkan jumlah (tangkapan) dia. (Tetapi) satu jumlah yang munasabah mengikut laporan dan siasatan yang kita dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di program buka puasa bersama 200 anak yatim dari kawasan Parlimen Bagan Datoh di pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, pihak berkuasa Thai telah menyerahkan beberapa orang dipercayai suspek utama di sebalik sindiket penyeludupan manusia secara besar-besaran ke Malaysia.

Bagaimanapun, individu paling berpengaruh dalam sindiket itu yang dikenali sebagai Yassin, masih bebas.

Sehubungan itu, pada sidang media sama Zahid berkata proses mengekstradisi sudah dijalankan bagi membolehkan pendakwaan dibuat apabila Yassin di bawa ke negara ini.

"Ekstradisi sudah dijalankan dan sedang diusahakan untuk diperolehi dan akan lakukan pendakwaan apabila Yassin dibawa ke mari," kata Zahid lagi. 




SUMBER: http://ift.tt/1MVP0dI
Read more »

Upacara 'Posogit' Tenteramkan 'Penjaga' Gunung Kinabalu

0 comments
MSTAR ONLINE    
 
 
 
KUNDASANG: Majlis Penasihat Gunung Kinabalu melakukan satu upacara 'Posogit' hari ini yang mengikut kepercayaan penduduk tempatan di sini bertujuan menyeimbang dan mententeramkan 'penjaga' gunung Kinabalu susulan kejadian gempa bumi di Ranau, pada 5 Jun lepas.
Upacara berkenaan diketuai seorang bobolian (dukun) dari Kampung Bundu Tuhan, Abas Arinting, 93, bersama sepuluh ahli penasihat dari kampung sama dan Kampung Kiau.

Seekor kerbau dikorbankan untuk upacara berkenaan yang berlangsung selama 30 minit bermula 8.25 pagi di kawasan Timpohon, yang merupakan lokasi pelepasan pendaki gunung Kinabalu di Taman Kinabalu.

Menurut kepercayaan penduduk kaum Dusun di sini, korban seekor kerbau itu untuk dipersembahkan kepada penunggu gunung Kinabalu.

Bobolian turut menggunakan peralatan 'lumai' sebagai alat komunikasi berhubung dengan penunggu gunung Kinabalu.

Penyelaras upacara itu Johnny Ghani, berkata upacara ini bagi memulihkan kesan 'kemudaratan' Gunung Kinabalu berikutan pelanggaran adat di kawasan itu antaranya kejadian pelancong asing berbogel.

"Dalam bahasa tempatan, saya boleh katakan upacara ini bagi memulihkan kesan kemudaratan yang tersirat di gunung Kinabalu dan mengembalikan keadaan yang panas menjadi sejuk semula," katanya ketika ditemui selepas upacara itu.

Upacara dimulakan dengan bobolian mencari tempat sesuai melakukan upacara itu diikuti penyembelihan seekor kerbau yang dikorbankan.
Hanya bahagian hati, jantung, sedikit daging dan hujung hidung kerbau diambil untuk upacara itu manakala lebihan daging kerbau dimasak untuk dijadikan juadah dalam majlis ringkas dihadiri penduduk kampung di Taman Kinabalu.

Johnny yang merupakan ahli Penasihat Gunung Kinabalu berasal dari Kampung Bundu Tuhan berkata pelaksanaan upacara itu juga bertujuan memberi ketenangan dan keharmonian kehidupan penduduk di kawasan kaki sekitar Gunung Kinabalu.

Sementara itu, Pengurus Taman Daratan Taman-Taman Sabah (TTS) Maipol Spait berkata pelaksanaan upacara itu merupakan sumbangan pihaknya kepada komuniti sekitar Gunung Kinabalu dalam usaha penjagaan adat istiadat menerusi Majlis Penasihat Gunung Kinabalu.

Katanya bagi TTS, upacara itu dibuat sebelum kerja-kerja pembaikan laluan ke gunung Kinabalu dan kerosakan lain dilakukan berikutan kejadian gempa bumi pada 5 Jun lepas.

Tragedi gempa bumi berskala 5.9 Richter itu telah mengegarkan Sabah sekali gus meragut 18 nyawa serta mengakibatkan kerosakan harta benda di kawasan terjejas bencana, terutama di Ranau.

Daripada 18 mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi itu, sembilan daripadanya adalah warga Singapura, enam warga Malaysia, seorang masing-masing dari Jepun dan China manakala seorang merupakan warga Filipina yang menjadi residen tetap di Singapura.    

SUMBER: http://ift.tt/1Sy6r7P
Read more »

Laluan Baharu Daki Gunung Kinabalu Akan Dikenal Pasti

0 comments
MSTAR ONLINE    
Kemusnahan laluan ke puncak Gunung Kinabalu akibat gempa bumi 5 Jun lalu mendorong pihak berkuasa berusaha mengenal pasti laluan baharu.
 
 
 
KUNDASANG: Tinjauan awal bagi mengenal pasti laluan baharu mendaki gunung Kinabalu akan dilakukan bagi menggantikan laluan asal yang runtuh akibat gempa bumi pada 5 Jun lepas.
Pengurus Taman Daratan Taman-Taman Sabah Maipol Spait berkata tinjauan itu akan dilakukan selepas tiga hari upacara 'Posogit' yang diadakan, Sabtu.

"Dua kawasan laluan mendaki gunung Kinabalu yang runtuh akibat gempa bumi adalah di Kilometer (KM) 1.5 hingga KM1.8 dan KM6.1 hingga KM7," katanya ketika ditemui selepas upacara 'Posogit' di Taman Kinabalu di sini, Sabtu.

Beliau berkata laluan pendakian gunung Kinabalu dari Mesilau ke  Layang-Layang juga runtuh akibat gempa bumi yang berukuran 5.9 pada skala Richter berkenaan.

Menurut Maipol, tinjuan berkenaan juga akan mengenal pasti kerosakan pada  bangunan yang terdapat di Laban Rata dan hasil tinjauan akan dikumpul oleh sebuah jawatankuasa kecil yang dipengerusikan beliau yang turut dianggotai wakil dari Sutera Sanctuary Lodges, Mountain Torg serta Malim Gunung Kinabalu.

Katanya, hasil tinjauan khususnya mengenai laluan baharu mendaki gunung Kinabalu itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Teknikal untuk proses penilaian dan kelulusan.

"Setelah mendapat kelulusan, barulah kerja pembinaan laluan baharu dilakukan," katanya.

Tragedi gempa bumi yang berpusat di Ranau itu menyebabkan runtuhan batu di kawasan puncak gunung Kinabalu mengorbankan 18 orang terdiri enam rakyat Malaysia iaitu empat malim gunung dan dua pendaki, Singapura (10), dan masing-masing seorang rakyat Jepun serta China.-- Bernama



SUMBER: http://ift.tt/1MUmwAQ
Read more »

Hudud: Pas beri Umno masa tunai janji

0 comments
SITI FATIHAH AWANG
 
 
Datuk Mohd Amar Abdullah Datuk Mohd Amar Abdullah
 
 
KOTA BHARU – Pas Kelantan memberi peluang kepada Kerajaan Persekutuan sehingga akhir tahun ini untuk menunaikan janjinya bagi membenarkan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian berkaitan pelaksanaan hudud di Kelantan dibentangkan di Parlimen.

Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, jika ia tidak berlaku, kekecewaan tersebut bukan sahaja dirasai penyokong Pas, namun ia memberi kesan kepada semua pihak yang menyokong pelaksanaan hukum Islam itu.

“Kita tunggulah Oktober nanti untuk sesi Parlimen seterusnya. Kita beri peluang kepada Umno untuk menunaikan janjinya sehingga hujung tahun ini. Jika tidak, kita akan perang habis-habisan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas RUU Persendirian berkaitan pelaksanaan hudud di Kelantan tidak akan dapat dibahaskan selagi agenda dan urusan kerajaan tidak selesai, sebagaimana yang dinyatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Mohd Amar berkata, Pas Kelantan menghormati dan bersikap adil dalam melihat perkara tersebut melalui banyak skop memandangkan dalam suasana kini, banyak perkara lain yang mungkin perlu mendapat pertimbangan sama.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar turut memberitahu, oleh sebab yang munasabah pihaknya masih memberi peluang kepada kerajaan pusat selesaikan dahulu segala keperluan kerajaan sebagaimana yang ternyata iaitu usul persendirian tidak boleh dibahaskan selagi agenda kerajaan di bawah peraturan mesyuarat tidak diselesaikan.

“Selepas ini (sesi Parlimen Oktober) kita ada sebulan lebih, masa itu panjang dan Insya-ALLAH masa itu kita harap Umno akan menunaikan janji mereka,” katanya


SUMBER: http://ift.tt/1BtJK00
Read more »

Henti ganggu penternak ikan air tawar dan nelayan Perak

0 comments
SivakumarGambar Fail

Roketkini.com

KUALA LUMPUR, Kerajaan Perak harus menghentikan tindakan yang boleh menjejaskan kegiatan penternak ikan air tawar di negeri ini, kata Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.

Dalam satu kenyataan media katanya, ramai di kalangan penternak ikan kolam berdepan masalah apabila kerajaan negeri menghalau mereka dan mengambilalih tanah bagi tujuan pembangunan yang lain.

“Projek-projek pembangunan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membelakangkan sektor perikanan terutamanya penternakan ikan air tawar,” kat Sivakumar.

Dalam soalan lisan di Dewan Rakyat pada 17 Jun berhubung jumlah tangkapan ikan laut dan air tawar bagi 2014, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memaklumkan jumlah pengeluaran ikan adalah 1.5 juta metrik tan, dengan ikan laut (1.4 juta metrik tan) dan ikan air tawar (106,371 metrik tan).

Manakala negeri paling banyak mengeluarkan ikan pada 2014 ialah Perak sebanyak 353 ribu metrik tan, diikuti Negeri Sabah (218 ribu metrik) dan Sarawak (167 ribu metrik tan).

Dengan maklumat ini kata Sivakumar, Perak boleh disifatkan negeri paling produktif dalam sektor perikanan.

Justeru ujarnya, kerajaan Perak harus mengambil segala langkah untuk memajukan industri perikanan supaya dapat terus kekal di tangga teratas sebagai pembekal hasil laut dan air tawar yang utama.

“Dalam kes-kes tertentu, kerajaan negeri tidak serius dalam memberi bantuan terutamanya dalam hal pemberian geran tanah atau pendudukan sementara kepada penternak ikan ini.

“Tindakan seperti ini boleh menyebabkan industri tersebut terbantut.

“Walaupun penternak bersedia melabur dan membawa masuk teknologi baru, ini tidak akan berjaya sekiranya kerajaan negeri enggan memberi tanah kepada mereka,” kata Sivakumar.

Tambahya, peraturan sedia ada berkenaan industri perikanan harus disemak semula kerajaan negeri dan persekutuan demi kebajikan penternak ikan air tawar dan nelayan yang bergantung kepada bantuan dan sokongan pihak berkuasa. – Roketkini.com




SUMBER: http://ift.tt/1FsopPy
Read more »

Saya sedih baca berita kekejaman terhadap haiwan

0 comments
SINAR HARIAN

Najib Najib Tun Razak
 
 
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa Rang Undang-Undang Kebajikan Haiwan 2015 yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini dapat melindungi haiwan daripada manusia yang tidak berperikemanusiaan.
  
Perdana menteri dalam catatan di laman Facebooknya berkata melalui undang-undang baharu itu, individu yang zalim terhadap haiwan akan menerima hukuman di atas kekejaman mereka.
  
"Saya memelihara kucing dan saya sedih setiap kali membaca sebarang berita adanya kekejaman terhadap haiwan.
  
"Kini, sesiapa yang melakukan kekejaman terhadap haiwan boleh didakwa di bawah undang-undang baharu ini," katanya.
  
Najib juga turut melahirkan rasa terima kasih kepada semua anggota Parlimen yang memberi sokongan meluluskan rang undang-undang itu.
  
Rabu lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kebajikan Haiwan 2015 yang mempromosikan kebajikan dan pemilikan bertanggungjawab haiwan.
  
Rang undang-undang itu membolehkan penubuhan Lembaga Kebajikan Haiwan yang antara fungsinya memantau kerja-kerja persatuan atau badan yang ditubuhkan bagi maksud mencegah trauma, kesakitan atau penderitaan kepada haiwan.
  
Ia turut mencadangkan denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 dan penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan kali pertama bagi kesalahan seperti menganiaya haiwan, membunuh dengan menembak tanpa sebab munasabah, pemberian racun dan usaha niaga pelagaan haiwan. - Bernama




SUMBER: http://ift.tt/1H462bg
Read more »

Syabas TLDM! MT Orkim Harmony & kru dah selamat ...

0 comments

KENYATAAN MEDIA
MT ORKIM HARMONY BEBAS DARI TAWANAN PEROMPAK

1. KUANTAN, 19 Jun 2015 - MT ORKIM HARMONY bebas dari tawanan perompak setelah 8 perompak melarikan diri ketika dalam pelayaran menuju ke Kepulauan Natuna, Indonesia.

Sebelum kejadian, kapal pengiring KD TERENGGANU telah diugut oleh ketua perompak untuk menjarakkan kedudukan kapal kepada tidak kurang dari 5 batu nautika dan sekiranya tidak, kru kapal akan dicederakan.

Ketua perompak menyatakan rancangan untuk meneruskan pelayaran ke Kepulauan Natuna.


 2.​ Kesemua 8 perompak telah melarikan diri menggunakan rescue boat MT ORKIM HARMONY kira-kira jam 8.30 malam dan turut mengambil butiran peribadi Kapten kapal, Master Nor Fazly bin Sahat.

Ketua perompak juga mengugut untuk mengancam keselamatan keluarga beliau sekiranya mendedahkan rancangan mereka untuk meninggalkan kapal.

Kapten kapal MT ORKIM HARMONY hanya memaklumkan kepada KD TERENGGANU pada jam 12.55 tengah malam iaitu hampir 5 jam setelah kesemua perompak melarikan diri demi keselamatan keluarganya.


3.​ MT ORKIM HARMONY kini, diiringi oleh KD HANDALAN dalam pelayaran menuju ke Pelabuhan Kuantan dan dijangka memasuki pelabuhan pada jam 2.00 pagi esok.

Kesemua 22 kru kapal iaitu 16 warga Malaysia, 5 warga Indonesia dan seorang warga Myanmar dalam keadaan selamat kecuali seorang kru mengalami kecederaan terkena tembakan di peha ketika rompakan berlaku pada 11 Jun yang lalu.


Kru kapal warganegara Indonesia yang cedera ditembak telah diterbangkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian menaiki pesawat EC725 dan telah selamat tiba pada jam 10.15 pagi tadi.

Kapten Kapal, Master Nor Fazly, ketika dihubungi, berada dalam ketakutan dan turut memaklumkan bahawa kesemua 22 kru kapal berada dalam keadaan sihat dan selamat kecuali seorang daripadanya cedera.

Muatan kapal, Unlead Gasolin (ULG 95), iaitu minyak petrol RON 95 hampir 6000 tan matrik yang bernilai RM21 juta selamat di dalam kapal tangki tersebut ketika ditemui.


 4. ​Aset laut dan udara telah diaturgerakkan bagi mencari perompak yang melarikan diri. Pesawat P3C Orion dari Tentera Udara Diraja Australia, 3 helikopter TLDM (Super Lynx dan Fennec), C130-Hercules dan B200T-Beechcraft dari TUDM bersama-sama KD PAHANG, KD TERENGGANU dan KD JEBAT sedang melaksanakan pencarian bot tersebut.


TLDM telah meminta kerjasama Tentera Laut Vietnam, Thailand dan Indonesia dalam misi mencari perompak-perompak.

Tentera Laut Indonesia telah bersetuju untuk membantu mencari perompak –perompak tersebut di perairan Kepulauan Natuna. Persetujuan ini telah disuara dan dinyatakan oleh Kepala Staf Angkatan Laut Indonesia, Laksamana Ade Supandi kepada Panglima Tentera Laut melalui perbualan telefon dan teks pesanan ringkas awal pagi ini.

Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Hj Jaafar
Panglima Tentera Laut
19 Jun 2015

Syabas TLDM!


Niat nak ucap tahniah pada APMM tapi mereka terlibat dalam operasi menyelamat.


Dah tak terlibat cuba jangan sibuk nak glamour!!!

Macam mana lanun boleh rampas? Colek di Mabul Sabah pun APMM yg bocor. Diesel berbillion bocor pun depan mata APMM tapi buat tak tahu!!!!



SUMBER: http://ift.tt/1L5ZAAb
Read more »

Aziz Bari: Siasat jika Tunku Idris menghasut

0 comments
MALAYSIAKINI

 


Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berkata, polis perlu menyiasat jika putera raja Johor bertindak menghasut melalui kenyataan berhubung hak Johor keluar daripada Malaysia.

Abdul Aziz berkata, Putera Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim tidak menikmati kekebalan undang-undang seperti sembilan orang Raja-Raja Melayu.

“Dalam apa jua kes, Peguam Negara dan pasukan polis perlu membuat pendirian sama ada putera raja tersebut melanggar undang-undang, khususnya Akta Hasutan 1948.

“Jabatan ini bertanggungjawab untuk menguatkuasa undang-undang dengan adil ke atas semua rakyat; putera raja Johor tidak kebal daripada undang-undang.

“Hanya sembilan orang raja-raja Melayu yang menikmati keistimewaan ini, tertakluk kepada peruntukan mahkamah khas untuk raja-raja,” kata Abdul Aziz dalam kenyataannya.

Katanya, tindakan itu perlu dilakukan dengan pantas, seperti operasi ke atas aktivis Sabah dan Sarawak yang didakwa menghasut untuk membawa negeri itu keluar dari persekutuan Malaysia.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, Tunku Idris juga sepatutnya mengehadkan ulasan dalam ruang lintup Perlembagaan Persekutuan.

Konteks hujah

Ini kerana, ulasan Tunku Idris di Instagram dilihat mengandungi fakta sejarah tidak tepat apabila menyebut Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dibuat pada 1946, sedangkan ia dimeterai pada 1948.

Tambahan pula, tulisan tersebut menyatakan bahawa sekiranya mana-mana daripada syarat tersebut dilanggar, maka terkeluarlah Johor daripada Malaysia – yang hanya wujud 17 tahun kemudian pada 1963.

“Undang-undang asas pada masa ini ialah Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah undang-undang yang menentukan hubungan dan hak di antara negeri dan kerajaan pusat.

“Putra Johor mungkin ada hujah tetapi dia perlu tumpukan dalam konteks dan skema Perlembagaan Persekutuan.

“Sesuatu perjanjian pada masa lalu sudah kehilangan keabsahan dan kuasa, apabila ada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang paling agung di tanah ini,” tegas Abdul Aziz.

Tulisan di Instagram itu adalah rentetan kepada kenyataan Menteri Kabinet, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menegur Tengku Mahkota Johor agar tidak campur tangan dalam politik.

Nazri bertindak demikian ekoran kritikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tidak hadir dalam debat bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.




SUMBER: http://ift.tt/1QG9ehM
Read more »

“Syukur Dapat Tengok Anak Kahwin Lepas Raya” – Banduan Pengampunan Sultan Perak

0 comments
Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
Pembebasan Bad Latif (belakang kiri) disambut ahli keluarganya termasuk isteri, Nashita (depan kanan) yang menunggu di Penjara Tapah pada hari pertama Ramadan.
 
 
PETALING JAYA: Seorang daripada 11 banduan yang mendapat pengampunan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bukan sahaja bersyukur kerana dibebaskan pada hari pertama Ramadan, malah tambah gembira apabila kini berpeluang menguruskan majlis perkahwinan anak sulungnya yang akan berlangsung selepas Aidilfitri.
Bad Latif Mansor, 49, mengakui pada mulanya rasa tertekan kerana pertama kali menjadi penghuni tirai besi, selain terpaksa berjauhan daripada keluarga.
Bapa kepada empat anak ini juga terkilan apabila setiap kali memikirkan dia perlu menjalani ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri hanya bertemankan rakan banduan lain.
“Bila terkenangkan Ramadan dan Syawal, saya terus rasa sayu, tetapi syukur Alhamdulillah dapat pengampunan Sultan Perak.
"Walaupun baru sahaja dibebaskan hari ini, dah ada banyak perancangan yang akan dilakukan melibatkan hal keluarga.
“Selain berpeluang berpuasa dan beraya bersama keluarga, saya juga dapat lihat anak sulung kahwin lepas hari raya nanti,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada malam Khamis.
Bad Latif adalah salah seorang daripada 11 banduan yang dihukum penjara sejak 18 Mac lalu, diberikan pengampunan oleh Sultan Nazrin Shah bersempena hari pertama Ramadan pada Khamis.

Kesemua 11 banduan itu menjalani hukuman penjara di Penjara Tapah atas kesalahan membabitkan diri dalam perhimpunan haram di hadapan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, ketika membantah pelantikan Menteri Besar yang baharu pada 2009.
Bad Latif yang dibebaskan pada malam Khamis berkata, anak lelaki sulungnya Anas, 22, bakal berkahwin pada 30 Ogos depan dan tarikh perkahwinan itu sebenarnya telah dipersetujui keluarga kedua belah pihak sebelum dia dipenjara.
“Tarikh perkahwinan sudah pun ditetapkan lebih awal lagi. Tetapi bila saya dihukum penjara, saya berpesan kepada isteri supaya teruskan majlis perkahwinan walaupun tanpa saya. Nak kata sedih, memanglah sedih sebab tak dapat lihat anak kahwin.
“Tapi sekarang saya cukup bersyukur dan terharu dengan peluang yang diberikan Sultan Perak kerana ‘menghadiahkan’ pembebasan ini untuk bersama keluarga malah dapat membantu persiapan untuk perkahwinan anak nanti,” katanya dengan nada gembira.
Ditanya mengenai pengalamannya di penjara sejak Mac lalu, lelaki berusia 49 tahun itu berkata, hukuman itu mengajarnya mengenali tentang diri sendiri serta hubungan kemanusiaan.
“Saya banyak bermuhasabah diri dan mempertingkatkan amalan agama. Saya juga banyak berinteraksi dengan banduan-banduan lain yang membuatkan saya belajar tentang kemanusiaan,” katanya.
Sementara itu, isteri Bad Latif, Nashita Md Noor, 49, ketika dihubungi berkali-kali mengucapkan syukur di atas berita gembira pada hari pertama Ramadan.
“Pengampunan untuk pembebasan suami sememangnya berita gembira buat saya dan Alhamdulillah ia berlaku pada hari pertama Ramadan, saya melihatnya sebagai satu bonus,” katanya.
Mengenai perkahwinan anak sulung, Nashita memberitahu, dia tidak membuat persiapan rapi memandangkan suaminya berada di penjara sebelum ini.
“Tetapi saya yakin dia akan dapat pengampunan dan berharap dapat dibebaskan lebih awal. Alhamdulillah, suami sudah bebas. Saya berharap perkahwinan anak saya berjalan lancar, InsyaAllah,” katanya.    

SUMBER: http://ift.tt/1L4iY0r
Read more »
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog