KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa Rang Undang-Undang Kebajikan Haiwan 2015 yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini dapat melindungi haiwan daripada manusia yang tidak berperikemanusiaan.
  
Perdana menteri dalam catatan di laman Facebooknya berkata melalui undang-undang baharu itu, individu yang zalim terhadap haiwan akan menerima hukuman di atas kekejaman mereka.
  
"Saya memelihara kucing dan saya sedih setiap kali membaca sebarang berita adanya kekejaman terhadap haiwan.
  
"Kini, sesiapa yang melakukan kekejaman terhadap haiwan boleh didakwa di bawah undang-undang baharu ini," katanya.
  
Najib juga turut melahirkan rasa terima kasih kepada semua anggota Parlimen yang memberi sokongan meluluskan rang undang-undang itu.
  
Rabu lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kebajikan Haiwan 2015 yang mempromosikan kebajikan dan pemilikan bertanggungjawab haiwan.
  
Rang undang-undang itu membolehkan penubuhan Lembaga Kebajikan Haiwan yang antara fungsinya memantau kerja-kerja persatuan atau badan yang ditubuhkan bagi maksud mencegah trauma, kesakitan atau penderitaan kepada haiwan.
  
Ia turut mencadangkan denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 dan penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan kali pertama bagi kesalahan seperti menganiaya haiwan, membunuh dengan menembak tanpa sebab munasabah, pemberian racun dan usaha niaga pelagaan haiwan. - Bernama