KUALA LUMPUR - AJK Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki menyeru semua ahli Pas agar bersiap sedia untuk bersama saf kepimpinan yang baharu dalam rangka menjadikan parti itu sebagai pencatur utama kepada politik Malaysia.

Menurutnya, Pas akan menjadi gerakan Islam yang lebih terbuka dan bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi mencapai matlamat perjuangan Islam.

"Menyedari hakikat tersebut, seluruh ahli Pas diseru untuk merapatkan ukhuwah dan memperkukuhkan iltizam untuk bersama saf kepimpinan baru yang akan memberi fokus kepada gerak kerja sehingga ke akar umbi masyarakat, bukan sekadar menumpukan kepada isu.

"Pas akan menjadi sebuah gerakan Islam yang lebih terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi mencapai matlamat perjuangan Islam dan maslahah rakyat. Pendek kata, para pendukung Pas perlu bersiap sedia untuk bersama saf kepimpinan baru bagi menjadikan Pas sebagai pencatur utama (king maker) kepada politik Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 Mengulas lanjut, beliau menyebut bahawa Pas kini berada di landasan yang betul dalam usaha untuk membangunkan semula peradaban Islam di Malaysia.

"Saf kepimpinan Pas yang baru merupakan mereka yang begitu iltizam untuk membawa negara dan masyarakat Malaysia bernaung di bawah keadilan sistem kehidupan Islam. Demi mencapai tujuan ini, Pas akan mengimbangkan tiga aspek utama iaitu tarbiyah, dakwah dan siasah.

‎"Dalam konteks ini, Presiden Pas menjadi orang terpenting mengemudi Pas kembali ke landasan sebenar, yang kemudian disambut secara besar-besaran oleh perwakilan muktamar," katanya.

Menurutnya, terdapat empat petunjuk penting yang memperlihatkan Pas berada di landasan yang betul termasuk kesediaan parti Islam itu menghadapi senario politik Malaysia yang sedang menuju kepada sistem pelbagai parti.

"Pas kini semakin mendapat kembali kepercayaan pengundi-pengundi Melayu khususnya di kalangan generasi muda, sebagaimana yang dipaparkan dalam Pilihanraya Kecil Rompin baru-baru ini.

"Pas semakin membina kekuatan sendiri untuk menembusi dua lagi segmen pengundi, iaitu segmen pengundi bukan Melayu dan segmen pengundi bumiputera bukan Islam Sabah dan Sarawak.

"Pas semakin menguasai teknologi terkini terutama teknologi media dan teknologi maklumat yang merupakan faktor dominasi politik masa kini. Saf kepimpinan baru Pas didukung oleh golongan profesional yang mempunyai kepelbagaian latar belakang dalam bidang sains dan teknologi, bukan hanya mereka yang berlatar belakangkan profesion perundangan," katanya.