Gempa Bumi: Amanah Raya Berhad Sedia Uruskan Tuntutan Insurans

MSTAR ONLINE    
Nancy Shukri
 
 
KUNDASANG: Amanah Raya Berhad akan menyediakan bantuan bagi tuntutan insurans dan harta pusaka kepada keluarga yang anggotanya terkorban dalam gempa bumi di Sabah baru-baru ini terutama bagi keluarga malim gunung. 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata syarikat pemegang amanah utama di Malaysia itu akan menemui anggota keluarga tersebut untuk membuat persediaan.

"Kalau mereka memerlukan bantuan untuk tuntut insurans ataupun tuntutan harta pusaka, Amanah Raya boleh bantu. Sebab kerja-kerja malim gunung ini amat bahaya jadi berkemungkinan mereka ada insurans hayat," kata beliau.

Nancy memberitahu demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan makanan kepada mangsa gempa bumi di Pusat Operasi Taman Kinabalu di sini, Isnin.

Beliau berkata Amanah Raya akan mengenakan bayaran minimum kepada anggota keluarga terbabit bagi khidmat itu.

Selain Nancy, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun juga melawat pusat itu  untuk meninjau kawasan tragedi dan menghulurkan bantuan kepada keluarga terbabit.

Beliau berkata kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang menguruskan bantuan kewangan kepada waris enam warga Malaysia yang terkorban dalam gempa bumi dan mereka akan menerima bantuan khas untuk kanak-kanak antara RM100 dan RM450 setiap bulan.

"Bantuan ini saya harap dapat meringankan beban keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang dan bantuan itu akan terus diberi sehingga umur kanak-kanak itu 18 tahun," kata beliau.

Azizah berkata kementerian juga menyediakan khidmat kaunseling untuk anggota keluarga terbabit dan anggota keluarga malim gunung.




SUMBER: http://ift.tt/1FEH63Z

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog