KOPERASI Majlis Belia Felda Malaysia Berhad (Coop MBFM) berhasrat menjadi pengeluar utama padi bagi pasaran domestik di negara ini.

Pengurus Besarnya, Norhafsyam Rasali berkata, ketika ini pihaknya sedang mengenal pasti lokasi sesuai untuk dijadikan jelapang padi.

“Kita dalam proses mengenal pasti tapak padi baharu di Sabah yang mana sasaran 2,023 hektar bagi penanaman padi dapat direalisasikan selewat-lewatnya pada 2016.

“Menerusi usaha ini, kita memberi tumpuan utama memperbanyakkan beras super special tempatan (SST) ke pasaran lokal. Ia bermula pada awal Ramadan dan bagi menambah bekalan beberapa negara luar antaranya Kemboja, ia sudah dikenali pasti bagi tujuan berkenaan,” katanya.

Selain beras SST, Coop MBFM akan memperkenalkan beras wangi daripada padi MRQ76 yang akan mula ditanam di kawasan seluas 600 hektar di Johor dan Kedah.

Terdahulu, Coop MBFM giat memasarkan beras keluaran mereka melalui beras jenama Belda.
 
Mengulas mengenainya, Norhafsyam berkata beras istimewa, Beras Sona Mahsuri itu dihasilkan dari padi yang ditanam di India dan Pakistan.

“Beras ini tiada lemak, kolesterol, gula dan natrium, mula mendapat perhatian dan dijual dengan harga RM40 bagi satu bungkus lima kilogram.

“Walaupun berdepan cabaran syarikat pengeluar beras lain, kita percaya dengan keistimewaan Belda sekali gus menarik minat beli orang ramai membelinya,” katanya.