KUALA LUMPUR: PAS hari ini mengumumkan pelantikan 14 Pesuruhjaya negeri bagi penggal 2015-2017, yang menyaksikan enam negeri mendapat ketua baru.


Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Presiden PAS hari ini, enam muka baru itu dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS negeri, dalam mesyuarat pertama Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat penggal 2015-2017 yang diadakan Rabu lalu.

Enam negeri itu adalah Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor.

Di Pulau Pinang, bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu digugurkan dan diganti dengan Mohd Fauzi Yusof.

Manakala Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar diganti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Amirudin Hamzah.

PAS Negeri Sembilan, Melaka dan Johor juga mendapat Pesuruhjaya negeri baru, selepas Mohamad Taufek Abd Ghani, Adly Zahari dan ADUN Parit Yaani, Aminolhuda Hassan digugurkan.

Jawatan mereka diambil alih Mustafa Daharun (Negeri Sembilan), Kamarudin Sidek (Melaka) dan Datuk Dr Mahfodz Mohamad (Johor).

Bagi Pahang pula, Rosli Jabar dilantik bagi menggantikan penyandang sebelum ini, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini menggalas jawatan Timbalan Presiden PAS.

Di negeri-negeri lain, semua penyandang Pesuruhjaya PAS negeri dikekalkan.

Mereka ialah Datuk Ahmad Yaakon (Kelantan); Satiful Bahari Mamat (Terengganu); Shukri Ramli (Perlis); Razman Zakaria (Perak); Datuk Iskandar Abdul Samad (Selangor); Paumin@ Aminuddin Aling (Sabah) dan Adam Ahid (Sarawak).