KAJANG - Pasangan suami isteri yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang kanak-kanak di sebuah rumah di Kepong akan didakwa di mahkamah hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai membunuh anak mereka sebelum disimen dan ditanam di dalam lantai bahagian dapur rumah sewa mereka.

Menurutnya, kertas siasatan telah lengkap dan diserahkan kepada pihak pendakwa raya bagi proses seterusnya.

“Pasangan itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Selayang.

“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan bukti,” katanya selepas majlis penyerahan tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini, semalam.

Sinar Harian pada 31 Mei lalu, melaporkan pasangan tersebut ditahan di Keningau, Sabah hasil kerjasama polis Sabah dan Selangor.

Tangkapan tersebut susulan penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan lapan hingga 10 tahun yang dibungkus dengan plastik putih dan ditanam di bawah lantai dapur sebuah rumah teres di taman perumahan di Taman Usaha Jaya, Kepong.