Rakyat kena tinggalkan Malaysia kalau tak suka Najib?



Oleh RAYUSA 

AGAK mengejutkan apabila Dato’ Seri Najib Razak memberi kata dua kepada para menteri berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Najib dilaporkan meminta anggota kabinet berbuat demikian jika mereka tidak lagi menyokong beliau.

Najib berbuat begitu selepas Menteri Kewangan Kedua, Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada kabinet.

Setakat ini, menteri yang menyahut cabaran itu ialah Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein yang memberikan persetujuan bersyarat.

Melalui akaun Twitternya, Hishammuddin berkata, agensi tajaan kerajaan itu mesti menjalani proses rasionalisasi dan mana-mana pihak yang bertanggungjawab atas sebarang salah laku mesti dikenakan tindakan. Tambah beliau, proses rasionalisasi itu mesti dilakukan dengan telus.

Adakah perdana menteri menyindir timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin? Kebetulan Muhyiddin tidak menghadiri mesyuarat kabinet 29 Mei lalu ketika Najib didakwa memberi kata dua kepada para menteri kabinet beliau.


Menurut seorang pembantu timbalan perdana, Muhyiddin sedang bercuti. Tugasan rasmi terakhir beliau ialah pada 26 Mei lalu. Sejak itu beliau bercuti di luar negara.



Dalam beberapa majlis, Muhyiddin dilihat berselisih pendapat dengan bosnya itu dalam isu 1MDB.


Walau bagaimanapun, Dato’ Seri Mohd Nazri Abdul Aziz pada 1 Jun lalu menafikan Najib berbuat demikian. Katanya suasana mesyuarat kabinet itu juga tenang. Jelas beliau, perdana menteri hanya memberitahu mereka tentang perlunya mereka bersama-sama dan apa juga keputusan mestilah dalam satu suara.

Perdana menteri, tambah Nazri, menegaskan jika ada menteri yang tidak selesa dengan cara beliau menangani isu 1MDB, mereka boleh menghantar surat peletakan jawatan dan beliau memahaminya.

Menurut Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan lagi, semua menteri bersetuju, termasuk Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Shafie Apdal.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Mohamad Hassan pula berpendapat jika seseorang tidak sehaluan dengan ketuanya, dia bebas untuk “angkat kaki.”

Memang ia kelihatan seperti sebuah penyelesaian mudah. Namun demikian, kenyataan Mohamad itu dianggap penting. Kenyataan beliau itu dimuat naik di laman sesawang MyKMU.net dan YouTube, 1 Jun lalu.

Dalam klip video selama 44 saat itu, Mohamad berkata, manusia tidak boleh membuat pilihan mengenai dua perkara dalam dunia ini. Pertama, katanya, ibu bapa (yang memang tidak boleh dipilih), dan kedua, “bos.” Kalau anda tidak suka bos, katanya, bos tidak perlu pergi, tetapi anda yang perlu berbuat demikian.

Pun begitu, bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin (ZAM) berkata, Najib sepatutnya mencabar para menteri kabinetnya bersikap lebih agresif dengan melancarkan serangan balas terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad. Para menteri berkenaan, tegas ZAM, tidak boleh membiarkan bos mereka hanya disokong oleh golongan sampah.

ZAM mentakrifkan golongan sampah itu sebagai “orang yang sudah hilang kewibawaan dan integriti” serta “menyeleweng daripada parti asal atau daripada parti yang sudah bankrap”.

Malah, golongan tersebut juga bukan sahaja ditolak oleh masyarakat umum, tetapi juga dalam kalangan Umno sendiri.

Bagi beliau, jika hanya sampah-sampah yang jelas menyokong, akhirnya Najib akan tenggelam dalam timbunan sampah itu. Katanya, bersatu menyerang balas Mahathir adalah lebih baik daripada meletakkan jawatan yang akan memecahkan belahkan parti dan kerajaan.

Tambah ZAM, beliau hanya melihat pengerusi Majlis Penyokong BN (BNBBC), Dato’ Seri Shahrir Samad dan presiden persatuan wakil rakyat BN, Abdul Aziz Abdul Rahman yang banyak menyerang balas Mahathir.

Bagi beliau, ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin; Muhyiddin; naib presiden Umno, Dato’ Seri)
Ahmad Zahid Hamidi, dan Shafie sepatutnya mendahului Shahrir dalam berbuat demikian. Dengan itu, katanya, tidaklah Najib berada dalam krisis keyakinan diri yang amat runcing sekarang.

Sementara itu, ketika media dan pelbagai pihak mula memikirkan isu "kata dua" diberi oleh Najib kepada anggota kabinetnya, Naib Presiden KeADILan, Rafizi Ramli pula beranggapan tiada perubahan akan berlaku selepas ini.

Menurut Rafizi, sebarang “gegaran susulan” hanya memberi kesan sedikit sahaja.

Secara peribadi, beliau tidak fikir gesaan untuk meninggalkan kabinet akan membawa sebarang perubahan.

Kata ahli Parlimen Pandan itu, konsep bertanggungjawab secara kolektif dan peletakan jawatan kerana perbezaan polisi adalah untuk kabinet yang dianggotai tokoh bermaruah dan hal tersebut tiada di sini.

Sekali fikir, ada benarnya kata Najib dan Mohamad itu. Walau bagaimanapun, jika Najib berkata begitu dan disokong oleh para macainya, secara logik, adakah rakyat perlu meninggalkan Malaysia jika tidak menyukai beliau?



SUMBER: http://ift.tt/1Ip9SJa

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog