USAHA TINGKATKAN KECEMERLANGAN TADBIR URUS PERLU DIMANTAPKAN: SALLEH

SALLEH MENYAMPAIKAN UCAPTAMA

KOTA KINABALU: Semangat dan tanggungjawab untuk meningkatkan kecemerlangan tadbir urus perlu dimantapkan dan diteruskan, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Bin Tun Said Keruak.

Beliau berkata ia penting memandangkan pelaksanaan tadbir urus yang baik menjadi landasan pembangunan yang holistik, untuk manfaat kerajaan dan rakyat.

Untuk mencapai matlamat itu, katanya, maka pembangunan akhlak dalam kalangan penjawat awam perlu dikawal.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Seminar Tadbir Urus Cemerlang Dalam Organisasi Edisi Ke-8: Strategi Lautan Biru dalam Tadbir Urus Organisasi, anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini malam tadi.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah berkata, pada masa ini terdapat seramai 1.61 juta kakitangan awam di seluruh negara. 

Daripada jumlah ini, seramai 5,000 kakitangan mendapat markah skor pencapaian di bawah 60 peratus. 

"Apakah yang dimaksudkan dengan skor yang rendah ini?  Ertinya terdapat kakitangan awam yang tidak berfungsi dengan baik kerana ada masalah disiplin seperti gagal dikesan datang bekerja, lewat ke tempat kerja dan sering ponteng kerja kerana terbabit dalam perniagaan atau bekerja di tempat lain. 

"Menurut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, terdapat juga kakitangan yang sengaja tidak hadir bertugas selama 200 hari setahun.

"Situasi sebeginilah perlu diatasi dengan baik agar tidak menjejaskan strategi yang diperkenalkan," katanya.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata negeri Sabah menyokong penuh usaha kerajaan, khususnya yang menjamin kesejahteraan rakyat, termasuk menerusi Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS).

Katanya, NBOS adalah  inisatif yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pada November 2009 bagi kerajaan meneraju negara ini ke arah sebuah negara membangun, berpendapatan tinggi, harmoni dan sejahtera dalam semua aspek. 

"Strategi Lautan Biru ertinya mereka boleh  mencipta ruang yang tidak ada saingan. 

"Pada masa ini terlalu banyak syarikat dan organisasi yang bersaing dalam laut merah, iaitu satu tempat yang tidak mempunyai ruang untuk pembangunan yang sebenarnya. 

"Imej lautan luas menggambarkan kemungkinan-kemungkinan dan potensi yang ada, yang perlu diteroka dan diuruskan secara kreatif dan inovatif," katanya.

Salleh berkaya penerapan NBOS dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mampu mengurangkan kos dan menghasilkan objektif pada tahap maksimum untuk manfaat rakyat dan negara.

Enam NKRA yang digariskan adalah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam.

Sambil mengalu-alukan inisiatif UUM menganjurkan seminar itu, beliau optimis dengan keprihatinan, sokongan dan muafakat semua, keselamatan dan keamanan rakyat terus dapat dipertingkatkan.

Beliau yakin NBOS akan menjadi sebahagian daripada platform yang akan menjayakan pembangunan negara sebagaimana digariskan kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). 

"RMK-11 ini merupakan untuk pusingan terakhir sebelum kita muncul negara maju," katanya.



SUMBER: http://ift.tt/1ItdJoJ

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog