KL TODAY
SELASA lalu penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Mohd Aizam Mat Saman atau Adam, 30, mengejutkan dunia hiburan dengan berita bakal menamatkan zaman bujangnya dengan aktres berstatus ibu tunggal, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau lebih dikenali dengan nama Fiza Elite, 32.
Lebih mengejutkan, kedua mereka tidak pernah digosipkan bercinta tetapi mengambil keputusan untuk berkahwin setelah dua bulan berkenalan secara rapat.
Pasangan sama cantik sama padan itu memilih tarikh 26 September (semalam) untuk disatukan sebagai suami isteri di Jabatan Agama Islam Selangor, Shah Alam dengan mas kahwin RM300 bersama hantaran sepersalinan lengkap.
Hanya dengan sekali lafaz, mereka selamat diijabkabulkan oleh Pendaftar Nikah Daerah Petaling, Suhaimi Ahmad Wakid dan berwakil bapa pengantin perempuan, Abdul Halim dan dihadiri keluarga kedua pihak.
Menurut Adam, hubungan mereka mula serius selepas dia menyapa Fiza melalui pesanan ringkas Ramadan lalu kemudian mengambil keputusan untuk bertemu.
Malah, perubahan Fiza setelah berhijab membuatkan hatinya terpikat kerana ia merupakan ciri-ciri utama wanita pilihannya.
“Pertemuan pertama setelah Fiza berhijab benar-benar beri kesan kepada saya. Selepas pulang dari perjumpaan itu, saya sering teringatkan dia sehingga saya berdoa dan mohon petunjuk Ilahi.
“Apabila wajahnya muncul dalam solat, saya yakin dia jodoh saya dan terus melamarnya pada pertemuan ketiga,” katanya.
Adam, Fiza saling melengkapi
Bergelar pengantin baru dan juga bapa ’segera’ kepada dua cahaya mata hasil perkahwinan lalu Fiza bersama bekas suami, Ahmed Farriq Zainul Abidin, bukanlah tanggungjawab yang sukar buat penyanyi yang pernah bernaung di bawah KRU Records ini.
Menurut Adam, sepertimana hatinya terbuka menerima Fiza, seperti itulah dia menerima kehadiran Ferra Aryana 5, dan Feeya Adyrra, 4, dalam hidupnya.
“Alhamdulillah… sebelum bergelar suami, saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai bapa kepada dua anak Fiza.
“Pengalaman menjaga adik-adik sejak kecil akan saya manfaatkan selepas ini. Insya-ALLAH, tiada masalah untuk menjaga mereka berdua,” katanya. Ditanya mengenai reaksi ibunya, Adam berkata, pada mulanya ibunya agak terkejut dengan keputusannya untuk mengahwini Fiza.
“Mulanya ibu ada bertanya sama ada saya mampu menjaga seorang wanitayang sudah mempunyai dua anak.
“Tapi hati saya sudah terpaut dan status bukan penghalang untuk kami mengecap bahagia,” ujarnya. Adam berkata, dia juga belum lagi merancang destinasi bulan madu sebaliknya ingin fokus kepada majlis resepsi pihak lelaki di Kota Kinabalu, Sabah.
Jelasnya, majlis tersebut bakal diadakan di rumah ibu saudaranya, tanpa upacara persandingan sebelum Aidiladha nanti.
Enggan terus hanyut
Adam yang kini dilihat sudah berhijrah mendalami ilmu agama, mengakui semakin tenang dan mengharapkan perkahwinannya bersama Fiza itu melengkapkan lagi kehidupannya.
“Usia sudah meningkat dan saya tidak mahu terus hanyut dengan dunia penuh glamor.
“Saya sedar dulu budak nakal dan jahil dalam agama. Sekarang ini saya mahu kuatkan benteng agama dan kini sedang mendalaminya,” kata Adam.
Bagaimanapun, jelas Adam, dia tidak akan menghalang Fiza untuk terus berlakon. Namun sebagai isteri, dia mahu Fiza menjaga batas-batasnya.
“Selagi ia tidak melanggar hukum agama, saya benarkan. Tapi saya tak sanggup melihat isteri saya dalam adegan bersentuhan dengan mana-mana lelaki,” ujar Adam yang akan menetap bersama isteri serta anak-anaknya di Kuala Lumpur.
Masih meneruskan karier seninya seperti biasa, Adam memberitahu, dia bakal melancarkan single terbarunya, Penggoda Jiwa yang ditujukan khas buat isteri tersayang.
“Ia berkisar bagaimana seorang wanita yang mampu membuatkan lelaki menjadi sasau apabila dilamun cinta. “Tidak dinafikan, ia juga sebagai simbolik cinta kami kerana lagu ini ditujukan istimewa buat Fiza,” katanya.
Fiza semakin tenang
Sementara itu, Fiza menjelaskan bahawa dia tidak menjangka jodohnya dengan penyanyi kelahiran Sabah itu. Apatah lagi anak-anaknya juga sangat selesa bersama Adam sejak pertama kali dipertemukan.
Jelas Fiza, sebelum berkahwin lagi, kedua puterinya memanggil Adam dengan panggilan Abi menunjukkan mereka sudah menerima Adam sebagai bapa mereka.
“Anak-anak saya seronok bersama dia (Adam). Tak sangka mereka serasi dan selesa bermain dengan Adam. “Ketika Adam melamar, saya juga tidak sangka dia betul-betul serius dan menerima status saya dengan seadanya,” katanya.
Fiza berkata, dia juga semakin tenang sejak bertemu dengan Adam, malah mengharapkan perkahwinannya kali ini akan kekal hingga ke akhir hayat.
“Saya tertarik dengannya kerana dia banyak bagi nasihat dalam agama sebab itulah saya tidak teragak-agak menerima
lamarannya. “Saya juga percaya dia mampu membimbing saya dengan baik,” katanya.
lamarannya. “Saya juga percaya dia mampu membimbing saya dengan baik,” katanya.
SUMBER: http://dialograkyat.blogspot.com/2013/09/adam-fiza-jodoh-saya.html
0 comments:
Post a Comment