Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera – UMNO-BN muflis formula baru




shamsul_iskndr_01



Pengumuman Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera oleh Perdana Menteri hanya mengesahkan bahawa UMNO-BN gagal mencari formula baru untuk menangani permasalahan Bumiputera. Sementara saya percaya bahawa masih ramai bumiputera yang ketinggalan perlu dibantu dan ini tidak semestinya satu tindakan perkauman, ia mesti dilakukan dengan telus, bertanggungjawab dan cekap.



Kita wajar berasa bimbang kerana berdasarkan pengalaman lalu, agihan saham bernilai RM54 billion atas nama bumiputera menyusut begitu dahsyat sehingga tinggal RM2 billion sahaja. Adalah menjadi tanggungjawab moral untuk UMNO-BN menjelaskan bagaimanakah ini berlaku dan siapakah pemegang saham-saham ini. Kita juga menggesa senarai penerima 1.5 billion saham atas nama bumiputera yang diagihkan pada tahun 2010 turut didedahkan.



Keadilan tegas bahawa prinsip Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang pernah dikemukakan sebelum ini oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu permasalahan kemiskinan ditangani berasaskan keperluan adalah lebih segar dan diperlukan oleh negara kita. Berdasarkan petunjuk garis kemiskinan yang dipakai di Malaysia, insiden kemiskinan berdasarkan etnik menunjukkan Bumiputera meliputi 2.2%, Cina 0.3% dan India 1.8%. Dianggarkan terdapat sekitar antara 300 ribu hingga 400 ribu keluarga miskin, melibatkan kira-kira 1 juta orang.



Mereka ini terdiri daripada Bumiputera, peribumi Sabah dan Sarawak, kaum India, kaum Cina, orang Asli, baik di bandar mahu pun di desa, dan merentas usia.



Ketaksamaan kos hidup di bandar dan luar bandar juga perlu dipertimbangkan memandangkan banyak kegiatan ekonomi tersudut di Lembah Klang sehingga memaksa penghijrahan penduduk dan kini jumlah sekitar satu pertiga rakyat Malaysia di sana jelas bukan sesuatu yang lestari untuk jangka masa panjang.



Malangnya, UMNO-BN gagal memurnikan maksud Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sehinggakan ia ditafsir demikian. Sementara ditonjolkan jurang ekonomi antara kaum, yang tidak ditegaskan ialah semangat sebenar untuk membasmi kemiskinan merentas kaum dan mendekatkan jurang ekonomi sesama kaum. Ini akan membantu kita melihat dan memperbetul sesetengah dasar yang akhirnya hanya dinikmati oleh golongan yang sewajarnya sudah mampu berdikari dan turut membantu mereka yang memerlukan.



Keadilan tegas bahawa setiap warganegara Malaysia berhak dibantu untuk berdikari. Hakikat bahawa masih ramai Bumiputera memerlukan bantuan tidak harus dinafikan sambil kita mengiktiraf keperluan menangani permasalahan semua pihak sesuai dengan semangat Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.



Dalam menuju masa depan lebih baik, kita berharap keperluan orang Melayu tidak hanya disuarakan oleh orang Melayu, begitu juga dengan keperluan orang India, Cina serta semua suku kaum yang ada.



SHAMSUL ISKANDAR AKIN

Ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka

Ketua, Angkatan Muda Keadilan (AMK)



SUMBER: http://dialograkyat.blogspot.com/2013/09/agenda-pemerkasaan-ekonomi-bumiputera.html

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog