Keselamatan negara: Sindrom penafian kerajaan halang usaha pulih keyakinan masyarakat



lks (13)





KUALA LUMPUR: ‘Sindrom penafian’ yang dihidapi kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah penghalang terbesar dalam usaha memulihkan keyakinan masyarakat tentang keselamatan negara dalam mendepani krisis kehilangan pesawat MH370 dan kegagalan Pusat Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).



Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengulas tindakan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengelak daripada menjawab soalan media antarabangsa berhubung cara pengendalian kerajaan yang lemah pada peringkat awal kehilangan MH370.



Dalam sidang media sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan 2014 di PWTC semalam, Hishammuddin membidas soalan media sebagai cubaan membuat spekulasi yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat dan berdolak-dalik kononnya kerajaan tidak ingin “memandang ke belakang” dalam menyelesaikan krisis itu.



“Kenyataan beliau yang tidak ingin menjawab soal kelemahan kerajaan di saat awal kehilangan pesawat dengan alasan kerajaan ingin ‘memandang ke hadapan’ adalah tanda kerajaan dijangkiti sindrom penafian yang serius.



“Amat salah untuk beliau menyelar pengkritik kerana ‘memandang ke belakang di saat kerajaan memandang ke hadapan,’ kerana mustahil untuk kita memandang ke hadapan tanpa pemahaman tepat tentang apa yang berlaku sejak awal.



“Selepas krisis ini masuk hari ke-40 dan tanpa sebarang bukti kukuh tentang kedudukan pesawat, Hishammuddin perlu sedar bahawa keutamaan bukan lagi semata-mata untuk menemuinya, tetapi juga untuk mendapatkan jawapan terhadap 1001 persoalan berhubung apa yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.



Beliau juga menegaskan, krisis ini tidak boleh ditamatkan tanpa penyiasatan penuh dan terperinci berhubung apa yang berlaku, termasuk di saat-saat awal kehilangan pesawat itu 8 Mac lalu.



‘Sindrom penafian’ dalam kegagalan Esscom



Kerajaan turut mengalami sindrom sama berhubung masalah keselamatan di Pantai Timur Sabah apabila gagal menyelesaikan masalah pertindihan bidang kuasa di Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszon)



Beliau merujuk wawancara Malaysiakini bersama bekas Ketua Polis Sabah (2002-2004) Datuk Ramli Yusuff yang mengkritik Esscom, antaranya, kerana urutan pengarahan yang tidak jelas serta tidak dipimpin oleh polis yang lebih tahu selok-belok operasi di sana.



“Kritikan itu perlu difikirkan secara serius dan menjadi asas kepada keputusan segera Kabinet (untuk menyelesaikan masalah yang timbul),” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi.



Semalam, beliau mengetuai rombongan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat ke Esscom dalam misi pencarian fakta bagi meningkatkan keselamatan di Pantai Timur Sabah dan menentukan sama ada Esscom hanyalah ‘harimau tanpa taring’ yang tidak berperanan di sana. – Roketkini.com





SUMBER: http://ift.tt/1eUh2F2

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog