ASPAN ALIAS
Negara kita sesungguhnya sedang berada dalam krisis yang amat genting sekali. Dalam semua bidang kita dalam krisis. Dalam bidang pentadbiran negara kita masih terbelenggu dengan isu rasuah yang semakin menjadi-jadi dan tidak nampak tanda-tanda ia akan terlerai. Laporan Ketua Audit Negara bagi 2013 masih menunjukkan betapa lemahnya kerajaan kita ditadbir oleh pemimpin-pemimpin lemah yang ada pada hari ini.
Kita masih di dalam sebuah kerajaan yang rasuah dan salah tadbir yang amat serius. Inventory barangan dan kelengkapan yang tidak diselaras dengan betul kerana terlalu banyak barangan yang telah dibelanjakan masih berada dalam setor kerajaan sejak bertahun yang lalu yang sudah lusuh tidak digunakan dan ini semuanya pembaziran yang sangat mahal harganya.
Masih banyak projek kerajaan yang terlalu tinggi harganya dari yang sepatutnya dan ini adalah bayangan yang rasuah masih terlalu besar dan tiada penyelesaiannya. Ini sahaja sudah menunjukkan yang pegawai kerjaan masih tidak serius dalam usaha berjimat cermat sedangkan negara sedang menghadapi krisis kewangan yang begitu mendesak dan sangat perlu penyelesaiannya dengan deras dan cepat.
Keselamatan negara juga dalam krisis. Pencolekan terhadap pelancong dari Cina baru-baru ini merupakan manifestasi jelas yang keselamatan negara kita begitu ‘porous’ dan ia amat membimbangkan. Sesiapa sahaja boleh mencolek sesiapa dalam negara kita ini dan ia memakan masa dan tenaga yang begitu besar untuk penyelesaiannya. Kerajaan telah berbelanja tidak kurang dari RM300 juta dengan penubuhan Esscom yang sepatutnya memelihara keselamatan negara di Timor Sabah dan ini bukannya kali pertama kejadian ini berlaku.
Kemasukan pendatang asing dalam jumlah jutaan orang masih menjadi masalah besar dan kehadiran pendatang asing ini telah menjadi masalah kepada keselamatan rakyat ramai di setiap pelosok tanah air. Rompakan dan pecah rumah berlaku hampir setiap hari dan bukan sedikit jumlah jiwa yang terkorban dengan kehadiran mereka dari negara asing tanpa kebenaran ini. Kita masih tidak sedar yang sebagai sebuah negara maritime seperti negara kita ini pengawalan sempadan di laut itu amatlah diperlukan berada diperingkat dan tahap yang tinggi dan semua masalah seperti ini tidak berlaku suatu ketika dahulu.
Jika kita mahu melihat dan mengetahui bagaimana seriusnya penaklukan pemimpin-pemimpin UMNO terhadap negara kita, boleh kita baca dengan teliti ucapan Tengku Razaleigh Hamzah dalam pelancaran buku ‘Rich Malaysia and poor Malaysians’ yang ditulis oleh Anas Alam Faizli baru-baru ini. Apa yang disebutkan oleh Tengku Razaleigh dalam ucapan beliau itu hanya secebis dari perlakuan salah guna kuasa dan rasuah yang melibatkan pimpinan UMNO sekarang ini.
Tengku Razaleigh merupakan pemimpin UMNO yang telah diketepikan secara sistematik oleh pimpinan rakus UMNO yang takut dengan pengaruh dan kemampuan UMNO memimpin negara jika beliau menjadi Perdana Menteri. Ada pemimpin yang tidak mahu TR menjadi pemimpin negara kerana TR bukanlah orang yang mudah untuk menghalalkan segala perbuatan yang tidak direlakan rakyat. Maka beliau tidak henti-henti di permainkan oleh pemimpin rakus negara.
Sikapnya yang gentleman menjadikan beliau tidak sesuai dengan kehendak dan budaya politik pimpinan rakus negara semasa itu. Maka itulah sebabnya beliau tidak terlibat dengan segala perbuatan keji yang dilakukan oleh pimpinan negara kerana beliau sudah tiada dalam kabinet sejurus selepas beliau tewas dalam usaha beliau untuk menyekat apa yang berlaku hari ini dari berlaku.
Sekarang Tengku Razaleigh boleh bercakap tanpa halangan dan telah memberikan pandangan yang akhirnya bermaksud UMNO merupakan parti yang bermusuh dengan orang Melayu sendiri dalam ucapan pelancaran buku tulisan Anas Alam Faizli itu. Pandangan Tengku Razaleigh itu amat pedih di dengar tetapi itu adalah kenyataan. ‘The truth is always painful to hear’ dan jika kita mahu melihat perubahan apa yang di sebut oleh Tengku Razaleigh dalam ucapan beliau itu perlu diambil perhatian.
Dalam catatan sejarah, Tengku Razaleigh merupakan satu-satunya pemimpin dari luar Amerika Syarikat yang telah dipilih untuk mempengerusikan Lembaga Pengarah Bank Dunia dari 1977 hingga ke 1981. Dalam masa yang sama beliau mempengerusikan IMF serta dua lagi institusi kewangan yang berlainan fungsinya iaitu Bank Pembangunan Islam yang berpusat di Jeddah dan Bank Pembangunan Asia yang berpusat di Manila dan ini merupakan rekod cemerlang yang belum di alami oleh mana-mana pemimpin bukan sahaja di negara kita malahan di dunia ini.
Beliau merupakan ‘authority’ yang paling kuat untuk memberikan komen tentang apa yang berlaku di negara ini. Beliau merupakan bekas Menteri Kewangan Negara kita dan merupakan batang tubuh yang telah menubuhkan Petronas yang menjadi isi ucapan beliau dalam pelancaran buku yang di sebutkan tadi.
Petronas yang beliau tubuhkan dengan risiko keselamatan peribadi beliau sendiri sekarang telah diperguna oleh pimpinan negara untuk kepentingan politik parti dan peribadi pimpinan hari ini. TR tentu merasakan kesedihan kerana beliau telah menubuhkan syarikat petroleum nasional ini dengan peluh dan keringat tanpa bayaran. Alih-alih pemimpin yang mengambil kuasa negara mempergunakan untuk politik peribadi mereka dengan sewenang-wenangnya.
Saya mencadangkan kepada mana-mana pertubuhan supaya diadakan seminar khas tentang Petronas ini kerana syarikat petroleum nasional ini adalah syarikat milik rakyat dan bukannya syarikat milik pemimpin tertentu yag telah menggunakannya untuk menyelamatkan perniagaan anak beranak beliau sahaja.
Kesabaran TR berdiri sendirian dipinggiran politik kotor negara agaknya sudah sampai ketahap kehilangan kesabaran beliau. Itu sebabnya apa yang beliau perkatakan itu tidak dapat disambut oleh mana-mana pemimpin UMNO samada yang sedang berkuasa atau pada siapa yang sudah bersara.
Apa yang telah diperkatakan oleh TR dalam pelancaran buku yang disebutkan tadi tidak mendapat apa-apa reaksi dari pimpinan hari ini terutamanya dari Perdana Menteri mahu pun bekas-bekas Perdana Menteri kita.
Pendeknya apa yang diperkatakan oleh TR itu merupakan isu yang sebenarnya dan jika tiada siapa yang menjawabnya maka ia adalah pengakuan dipihak kerajaan hari ini bahawa mereka adalah pihak yang bertanggung jawab terhadap kecelaruan politik dan ekonomi negara pada hari ini.
Benar kata Anas Alam Faizli, negara kita kaya tetapi rakyatnya miskin. Apa sebabnya? Jawablah sendiri. Siapa yang patut melakukan perubahan negara? Itu pun jawablah sendiri kerana jawapannya sudah berada di depan mata. Hanya mungkin ia terselindung disebalik yang terang.
SUMBER: http://ift.tt/1hCkJF1
0 comments:
Post a Comment