Peringatan TGNA tentang dunia dan akhirat kepada UMNO itu salah sasaran









Tok Guru Nik Aziz mempersoalkan kenapa Sarawak dapat royalti minyak, Sabah pun dapat. Begitu juga Terengganu. Kenapa Kelantan ada JPP (Jabatan Penyelaras Persekutuan) sedangkan rakyat Kelantan ada kerajaannya. Kenapa JPP wujud untuk memberikan wang ehsan kepada rakyat Kelantan. Jika royalti minyak diberikan mengikut perjanjian dahulu, orang Kelantan tidak payah diberikan wang ehsan.




Perjanjian pada 1975 dahulu jelas Kelantan mempunyai hak sebanyak 5 peratus dari hasil jualan minyak yang keluar dalam perairan Kelantan berdasarkan kepada harga F.O.B sebanyak dua kali setahun, setiap awal bulan Mac dan bulan Septembar secara tunai. Wang royalti itu sepatutnya dibayar kepada kerajaan pilihan rakyat Kelantan.




TGNA berkata tindakan Kerajaan Pusat itu tidak berkat dan berdosa di dunia dan akhirat. Kata-kata Nik Aziz ini betul dan benar, tetapi salahnya beliau mencari sasaran yang salah dalam menyebut dunia dan akhirat tadi. Mana UMNO faham apa yang TGNA cakap itu. Mana UMNO berfikir tentang dunia dan akhirat ini?




Bagi UMNO dunia pun tidak ada, akhirat pun tidak ada. Bagi mereka ‘at all costs’ kuasa mesti dipertahankan, tanpa mengira hal moral dan agamanya, maka manakan mereka sensitif jika TGNA menyebut tentang dunia dan akhirat itu?




Mereka tahu yang mereka (Kerajaan Persekutuan) mempunyai tanggungjawab untuk memenuhi janji-janji itu tetapi mereka sengaja tidak mahu memenuhi tuntutan itu kerana rakyat Kelantan memberikan sokongan kepada PAS. Dalam perjanjian itu tidak disebut samada pembayaran royalti itu hanya kepada kerajaan yang dikuasai oleh UMNO.




Satu lagi perkara yang rakyat perlu tahu semua negeri-negeri dalam Persekutuan kita ini mempunyai perjanjian yang sama walaupun negeri-negeri tersebut belum menghasilkan minyak. Perjanjian yang sama ditandatangani diantara Petronas dengan Negeri Selangor, Negri Sembilan, Johor dan lain-lain negeri dalam Persekutuan ini.




Perjanjian itu bukan setakat diperairan negeri-negeri tetapi ia juga termasuk minyak yang dijumpai di daratan. Maknanya jika suatu hari nanti terjumpa minyak di Bahau misalnya, Petronas wajib membayar royalti itu kepada kerajaan Negeri Sembilan kerana perjanjian itu sudah tersedia ditandatangani dengan semua negeri pada tahun 1975 yang lalu.




Tetapi Kerajaan Pusat memilih untuk tidak mahu memenuhi tuntutan oleh Negeri Kelantan kerana negeri itu adalah negeri yang dikuasai oleh PAS.




Oleh yang demikian kata-kata TGNA itu betul dan benar, tetapi mereka di Putrajaya itu ambil pedulikah tentang dunia dan akhirat ini? Jawabnya tidak!!




Justeru TGNA hanya membuang tenaga menyebut perkara yang tidak mahu difahami atau dipedulikan oleh Putrajaya. Putrajaya hanya perlukan kuasa dan menggunakan kuasa itu dengan sewenang-wenangnya.




Saya percaya pemimpin-pemimpin Persekutuan di Putrajaya tidak tersentuh pun hati dan jiwa mereka apabila TGNA menyebut tentang pembalasan di akhirat itu. TGNA hanya membuang tenaga dan masa secara percuma sahaja menyebut isu dunia akhirat itu. kepada Putrajaya.




Mereka tidak tahu apa yang akan dihadapi diakhirat nanti kerana mereka belum sampai lagi ke akhirat. Apabila sudah sampai nanti baru lah mereka tahu. Pendeknya semua akan tahu tentang dunia akhirat ini.




Perbezaannya hanyalah setengahnya tahu tentang dunia akhirat ini sebelum mati, setengah yang lain hanya tahu adanya akhirat ini setelah mati.





SUMBER: http://ift.tt/1BLI4Ls

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog