Tentera terpaksa tembak ke arah bot pam penceroboh


BERNAMA





SANDAKAN: Anggota tentera terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah bot pam penceroboh yang cuba meluru ke arah mereka sambil pengendalinya mengeluarkan sebilah parang di perairan Pulau Selingan, semalam.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Abdul Rashid Harun berkata berikutan itu, bot penceroboh yang terkena tembakan itu karam dan suspek terjatuh ke dalam air.



Beliau berkata seorang anggota tentera menyelamatkan suspek dan mendapati pengendali bot pam itu mengalami kecederaan akibat tembakan di bahagian betis kiri dan buku lali sebelah kanan.



Katanya suspek kemudian dibawa ke Pulau Bakungan Kecil (Malaysia) bagi mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dihantar ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut.



"Suspek kini dalam keadaan stabil dan masih mendapat rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.



Sebelum insiden itu, Abdul Rashid berkata, anggota tentera yang bertugas di Pulau Bakungan Kecil menerima maklumat bahawa terdapat beberapa bot dari Pulau Bakungan Besar, Filipina sedang menuju ke arah Pulau Selingan yang terletak hampir 25 kilometer dari pusat bandar Sandakan kira-kira pukul 1.45 tengah hari Rabu.



Bertindak atas maklumat berkenaan, enam anggota tentera yang menaiki bot

Boston

Whaler 54 bergerak ke lokasi itu, katanya.



"Setelah tiba di lokasi berkenaan, anggota tentera mendapati lapan bot pam berada di kawasan perairan negara Malaysia, dan hanya seorang sahaja yang ada dalam setiap bot pam tersebut," katanya.



Abdul Rashid berkata anggota tentera terbabit cuba "menghalau" mereka dengan melepaskan tiga das tembakan amaran namun hanya dua sahaja yang berpatah balik ke perairan Filipina manakala enam pam bot lagi tidak mengendahkan amaran itu.



"Sebaliknya mereka cuba membuat provokasi terhadap bot anggota tentera dan pada masa itu anggota tentera kita ternampak salah sebuah bot pam cuba menghampiri mereka sambil (pengendalinya) mengeluarkan sebilah parang menyebabkan anggota tentera tersebut melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot tersebut untuk mempertahankan diri," katanya.



Difahamkan selepas suspek ditembak, lima lagi bot penceroboh itu beredar kembali ke perairan Filipina.



Abdul Rashid berkata siasatan lanjut berhubung insiden itu masih diteruskan termasuk latar belakang kumpulan itu dan menegaskan Esscom akan terus meningkatkan operasi keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) bagi membendung pencerobohan.



Esszone merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. Daerah-daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.



Esscom yang ditubuhkan pada 1 April tahun lepas bertanggungjawab menyelaras operasi pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. - Bernama





SUMBER: http://ift.tt/1vRzR85

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog