Di Sekitar Majlis Kesyukuran Umno Kota Belud











Datuk Salleh, Dato Rahman, Datuk Musbah dan Datuk Japlin

SEMALAM OKB sempat menghadiri Majlis Kesyukuran Umno Bahagian Kota Belud bertempat di Dewan Datuk Musbah, Taun Gusi.

Tetamu majlis itu adalah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan yang juga MP Kota Belud- Dato Rahman Dahlan.



OKB Datang atas jemputan Pengerusi Penganjur Majlis tersebut, Datuk Musbah Haji Jamli yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah, Adun Tempasuk dan Timbalan Ketua Bahagian Umno Kota Belud.



Kerana Majlis itu merupakan Majlis kesyukuran Umno Kota Belud, sudah tentu semua jajaran kepimpinan Umno Kota Belud hadir diketuai oleh Ketua Bahagiannya- Datuk Dr Salleh Tun Said.



Pembuka tirai Majlis adalah persembahan penyanyi-penyanyi tempatan dengan mempersembahkan lagu-lagu hit tanah air.



Tiga pemimpin berucap termasuk tetamu Majlis- Dato Rahman. Berikut intisari ucapan yang sempat dicerna oleh OKB.



Datuk Musbah Sebagai Penganjur



Majlis itu disifatkan oleh Pengerusi itu sebagai kesyukuran kerana selepas parti berdepan dengan PRU-13 dan pemilihan Parti yang berlangsung pada tahun 2013; parti berserta kepimpinan senantiasa bertaut bagi meneruskan perjuangan. Majlis itu juga memperkukuh perjuangan pemimpin dan parti untuk membela rakyat. Perjuangan tidak berpenghujung, perjuangan perlu kesabaran, perjuangan perlu komitmen, yang penting matalamat menjuarakan rakyat tercapai. Atas kesabaran rakyat dan komitmen pemimpin, maka berbagai program berjaya diadakan di Kota Belud. Program Jelapang Padi Kota Belud menjadi mercu tanda kesabaran itu, kerana program itu telahpun menjadi program kebangsaan.Beliau memberi komitmen kepada akar umbi parti, selagi nyawa dikandung badan, maka selagi itu perjuangan membela rakyat Tempasuk khas dan Kota Belud umumnya akan diteruskan.



Dato Rahman



Kuat Umno Kota Belud, kuatlah Umno, atas sebab Umno Kota Belud adalah anak sulung Umno Sabah. Atas sebab itu, Kota Belud dipilih sebagai Projek perintis pertama NBOS (National Blue Ocean Strategy) dan Kementerian beliau memperuntukan dana RM37 juta untuk melaksanakan program itu.



Sebagai MP Kota Belud, beliau juga berjaya meyakinkan Kementerian Pelancongan Persekutuan agar menaik taraf kemudahan bagi Pulau Mantanai untuk dijadikan tarikan pelancongan, atas sebab Kota Belud, perlu bergantung kepada pelancongan untuk mempertingkat pendapatan penduduknya.



Selain itu, beliau juga memberi "update" berkaitan Pusat Perkhidmatan Minyak dan Gas yang dibangun di Kuala Abai, dan perkirakan dalam tempoh 2 tahun projek itu akan siap. Apabila siap kelak, maka peluang pekerjaan bakal terwujud dan sudah tentunya untuk penduduk Kota Belud.



Rahman juga memberi tahu majlis, bahawa beliau kini sebagai anggota tetap Majlis Ekonomi Bumiputera Kebangsaan; atas peluang yang ada pada beliau itu, beliau memastikan sebarang program perlu sampai di kalangan rakyat Kota Belud, selagi program itu masih panas lagi.



Dalam soal politik, Rahman juga memberi tahu majlis, bahawa bagi mengatasi keterputusan hubungan antara penduduk bandar dengan Umno/Bn, maka satu jawatan kuasa khas yang mewakili penduduk akan diwujudkan di bandar-bandar/pekan-pekan. Untuk itu, sedikit masa lagi, Kota Belud akan mendapat 48 jawatan baru yang berkaitan dengan program itu.



Rahman juga meningatkan ahli Umno, bahawa Umno perlu senantiasa kuat, agar supaya boleh mendokong komponen parti Bn yang lain menjadi kuat. Dalam segi parti politik, Umno lah yang terkuat di Dewan Rakyat dengan jumlah 88 kerusi, diikuti DAP 38. Umno perlu terus kuat, untuk menjadi tulang belakang kerajaan; untuk itu, pembelaan terhadap bumiputera dapat diteruskan.



Datuk Dr Salleh- Ketua Bahagian Umno



Salleh yang menyampaikan ucapan dengan bersahaja, mampu menggamit hadirin. Beliau menyampaikan ucapan yang berkisar kepada kerjaya seorang ahli politik. Pemimpin politik katanya, adalah seseorang yang mengabdikan dirinya semata-mata untuk membela rakyat dan membantu rakyat. Atas sebab itu, parti yang disertai pemimpin seperti itu, adalah wadah untuk merealisasikan semua itu.



Salleh mengutip pendapatan Datuk Rizalman Abdullah " Pendapat sudah diberi, Pendapatan bila pula". Menurut Salleh, maksud kata-kata itu, perjuangan sudah dilakukan, kerja-kerja sudah dilaksanakan dengan berjaya, bila pula hasilnya diperolehi?



Hasil perjuangan pemimpin dan parti sehingga dapat membentuk kerajaan, adalah dalam bentuk program atau projek. Kerajaan menyediakan berbagai infrastruktur, kemudahan pendidikan, kemudahan perumahan dan banyak lagi demi faedah rakyat. Keamanan, kebebasan sehingga rakyat bebas bergerak, bebas mencari penghidupan adalah "pendapatan" yang disebabkan perjuangan.



Salleh dalam pendekatan politiknya, meminta semua lapisan akar umbi Umno dan pemimpinnya, agar BERJALAN SEIRING, bukan berjalan di belakang atau berjalan di depan, kerana beliau tidak akan selamanya menjadi pemimpin. Disebabkan berjalan seiring, maka akan terasa semua berada dalam satu pasukan.



Perjuangan membela rakyat tidak berpenghujung, beliau akur dengan pandangan Datuk Musbah. Perjuangan membela rakyat menerusi Parti Umno akan terus berjaya, jika Umno Kuat. Kuatnya Umno kalau ahlinya senang hati dan merasa terbela.



Meskipun perjuangan pemimpin dan parti membela rakyat, namun sering tergendala kerana karenah birokrasi yang terdapat di kalangan kakitangan kerajaan. Beliau menganalogkan karenah birokrasi itu, dengan melekatkan stem pada sampul surat. Tiada siapa akan bertanya, bagaimana kah stem itu dilekatkan pada sampul surat, yang penting stem itu melekat. Demikian juga berkaitan dengan program/projek membantu rakyat, pemimpin atau parti sebenarnya tidak berminat bagaimana program/projek itu direalisasikan, yang penting ianya menjadi kenyataan untuk faedah rakyat.



Pemimpin dan rakyat perlu ada konsensus, ertinya pemimpin perlu menjadi pemimpin; kerana jika semua jadi pemimpin, siapa pula yang dipimpin? dalam organisasi perlu ada aturan, perlu ada hieraki kepimpinan daripada yang terbawah sampailah yang teratas. Ertinya kempimpinan seperti ular yang bergerak, di mana kepala di situlah ekor mengikut, barulah satu organisasi senantiasa kuat dan kukuh.



Majlis kesyukuran adalah satu wadah mengeratkan hubungan antara akar umbi dan pemimpin, mengeratkan hubungan antara yang dipimpin dan yang memimpin. Majlis kesyukuran juga mampu merungkai berbagai masalah, mampu menyelesaikan berbagai masalah. Atas sebab itu, majlis seperti itu, perlu diteruskan dari masa ke semasa, bukan sahaja sebagai acara santai-santai, akan tetapi sebagi proses memperbaharui hubungan silaturahim. Datuk Musbah diberi kredit oleh beliau, kerana mengajurkan majlis seumpama itu.





SUMBER: http://ift.tt/1fzeePT

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog