Ariffin Deraman Ariffin Deraman




KUALA TERENGGANU – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dijangka kehilangan deposit jika beliau benar-benar bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang.



Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, Zaid tidak mempunyai pengaruh besar yang boleh menyebabkan pengundi bertindak memilihnya pada pilihan raya semula itu pada 23 Mac ini.



Menurutnya, keputusan Zaid untuk bertanding bagi menghormati mandat rakyat Selangor terhadap kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim juga disifatkan tidak kukuh untuk menarik minat pengundi beralih sokongan daripada PR.



“Negara kita demokrasi. Sesiapa yang mahu bertanding pun terserah, tetapi kita melihat penyertaan Zaid Ibrahim tidak memberi kesan kepada undi PR sama ada beliau bertanding atau tidak, sama sahaja. Dia masuk pun tiada matlamat apa-apa,” katanya

kepada Sinar Harian, di sini.



Zaid Ibrahim sebelum ini mengumumkan hasrat bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Dun Kajang.



Melalui tulisan terbaharu dalam laman blognya, Zaid berkata, bertanding sebagai calon bagi kerusi itu akan membolehkannya menyentuh pelbagai isu politik dan ekonomi yang sedang melanda negara.



Mengulas lanjut, Ariffin berkata, perkembangan politik ketika ini dilihat tidak memberi ruang kepada calon Bebas untuk menang, sebaliknya pemilih memberi tumpuan kepada parti politik seperti BN dan PR.



Berbanding dahulu katanya, calon Bebas mampu menang disebabkan pengaruh yang ada pada seseorang individu.



“Tetapi sekarang, keadaan sudah berubah dan pengundi tidak lagi melihat kepada pengaruh individu sebaliknya parti. Kalau dahulu, jika pemimpin BN yang mempunyai pengaruh keluar parti dan bertanding Bebas, dia masih boleh menang khususnya di Semenanjung Malaysia. Kalau di Sabah dan Sarawak saya tidak tahu,” katanya.



Beliau turut menjelaskan, sekalipun Datuk Seri Anwar Ibrahim menang di kerusi terbabit, belum tentu Ketua Umum PKR itu akan menjadi menteri besar bagi menggantikan yang sedia ada sebagaimana yang heboh di media.