Video : Teresa digesa minta maaf secara terbuka










Teresa Kok, Mohd Razlan

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim digesa meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung video sindiran sempena sambutan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini yang telah mencetuskan rasa tidak puas hati banyak pihak termasuk masyarakat Cina sendiri.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, video seperti itu tidak wajar dilakukan oleh mana-mana individu, apatah lagi seorang pemimpin politik ketika masyarakat berbilang kaum bergembira menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.



Sehubungan itu, katanya, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan sebulat suara mengutuk keras video lakonan Teresa itu kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu jelas sengaja dilakukan bagi menimbulkan kebencian terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).



“Orang Melayu, Cina dan India mesti melihat video itu supaya mereka boleh menilai sendiri pemimpin yang dipilih oleh pengundi Seputeh pada pilihan raya umum lalu.



“Kami mahu Teresa diberikan pengajaran di atas kebiadapannya bagi memastikan benih-benih kebencian yang terus disebarkan itu tidak menular dalam kehidupan masyarakat negara berbilang kaum," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.



Sebelum ini, video sindiran sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang memaparkan Teresa selaku moderator bersama tiga tetamu undangan mendapat kecaman pelbagai pihak, khususnya pengguna laman sosial.



Video berdurasi hampir 12 minit yang disiarkan di YouTube itu antara lain memperlihatkan barisan tetamu undangan berkenaan mengeluarkan kenyataan menyindir beberapa perkara, termasuk sistem pendidikan negara dan isu keganasan di Sabah.



Sindiran-sindiran lain didakwa turut ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.



Malah, seorang tetamu dikenali Master Yan Yan yang ditanya tentang Tahun Melawat Malaysia 2014 mengutuk Sabah dengan kenyataan berikut :



“But then, you can travel to Sabah, where you get to see pirates, with a bonus show of kidnapping and scenes of open fire." (anda boleh melancong ke Sabah, di mana anda boleh melihat lanun, dengan pertunjukan bonus penculikan dan babak tembakan).



Dalam pada itu, Mohd. Razlan juga memberitahu, pihaknya akan menayangkan video tersebut kepada orang ramai di setiap bahagian bagi mendapat maklum balas rakyat selepas menontonnya.



“Kita akan membuat kajian sikap, adakah mereka merasakan video itu meningkatkan semangat perkauman atau sebaliknya.



“Jika keputusan kajian menunjukkan penayangan video tersebut mampu menimbulkan kemarahan serta menyemai semangat perkauman, kita mahu kerajaan ambil tindakan tegas terhadap Teresa," ujarnya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ningggal.blogspot.com.at 11.54 am on February 02,2014.



SUMBER: http://ift.tt/1biV9QU

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog