Saidatul Badru :Perjuangan PKR itu 'sampah'

KUALA LUMPUR 13 Dis. - Perjuangan yang menyimpang daripada aspirasi kaum dan agama yang dibawa oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya adalah 'sampah' daripada perspektif orang Melayu serta bumiputera di Sabah.

Bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Mohd. Said berkata, rakyat dari Negeri di Bawah Bayu itu semakin sedar bahawa parti berkenaan tidak mampu mengangkat kebajikan mereka lalu kembali menyokong UMNO.



Sehubungan itu, kata beliau, tindakan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menyifatkan pemimpin-pemimpin PKR negeri itu yang keluar parti sebagai 'kotoran parti' hanyalah untuk menyedapkan hatinya sendiri.



"Rafizi tidak perlu bongkak menggelar yang keluar parti macam-macam. Dia perlu bertanya kepada diri sendiri apakah dia yang sebenarnya sampah atau kekotoran kerana sehingga kini masih kekal dalam parti ketika orang lain sudah meninggalkannya.



"Siapa budak mentah Rafizi ini? Kami yang mempelopori PKR suatu ketika dahulu dan kami tahu betapa tersasarnya parti itu, Rafizi ini entah siapa tiba-tiba cakap begini. Apa yang dia tahu pasal perjuangan?" soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.



Beliau mengulas kenyataan Rafizi yang menghina mereka yang meninggalkan PKR sebagai kotoran atau tidak ubah seperti najis seperti dipetik dalam portal Malaysia Today yang antara lain menyebut, Thank you for sucking away our dirt yang didakwa ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan tindakan beberapa ahli PKR, khususnya di Sabah yang mengumumkan keluar daripada parti itu baru-baru ini.



Pemimpin-pemimpin PKR negeri yang bertindak keluar parti itu ialah Akhmain Sabtu (Kudat); Anthony Mandiau (Kota Marudu); Juhani Abd. Halim (Silam); Mohd. Jun (Kalabakan); Mustapha Tambuyung (Kinabatangan) dan Lokman Ureh (Semporna) Mengulas lanjut, Saidatul Badru yang juga Yang Dipertua Persatuan Anak-anak Negeri Sabah (Perasa) Kuala Lumpur menjelaskan, Rafizi yang belum matang dalam selok belok politik di Sabah serta di seluruh negara perlu mencerminkan diri dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.



"Tidak sedarkah Rafizi dan pemimpin PKR lain bahawa mereka yang keluar parti bukan dipecat, kami keluar kerana berasakan perjuangannya sudah menyimpang serta tidak menguntungkan kaum Melayu dan bumiputera di negara ini," katanya.



Perkara sama ditekankan bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah yang menyifatkan Rafizi sebagai seorang budak hingusan dan masih bertatih semasa beliau dan pelopor-pelopor PKR yang lain berjuang lebih sedekad lalu.



"Rafizi jangan celupar, kami bekas pemimpin PKR keluar atas prinsip masing-masing. Siapa dia mahu cakap orang lain sampah atau kotoran sedangkan kita telah melalui rintangan sebelum ini?" soalnya.(Utrusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 8.50 am on Disember 14,2013.



SUMBER: http://abnmulya.blogspot.com/2013/12/saidatul-badru-perjuangan-pkr-itu-sampah.html

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog