Najib perlu berani lakukan transformasi











Oleh AZIZ MUDA







PENTADBIRAN Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak kelihatan kehilangan arah kembali apabila undangundang lapuk, Akta Hasutan 1948 digunakan kembali ke atas rakyat negara ini mulai Mei lalu.



Sebelum itu, Najib yang begitu lantang bersuara untuk melakukan transformasi di dalam pentadbirannya dilihat sudah mula melangkah dengan baik ke arah perubahan yang ingin dilakukannya, dengan melakukan beberapa tindakan yang tidak sanggup dilakukan oleh perdana menteri lain sebelumnya di negara ini.



Antaranya termasuklah dengan mengemukakan cadangan yang telah didesak sekian lama oleh PAS dan Pakatan Rakyat agar memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Walaupun terpaksa menempuhi pelbagai halangan terutama daripada beberapa orang pemimpin Umno-BN sendiri, akhirnya hasrat beliau untuk memansuhkan akta itu terlaksana juga pada 16 September 2011.



Walaupun pemansuhan ISA digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 atau SOSMA yang juga mengekalkan ciri-ciri ISA, tetapi kepada rakyat, tindakan Najib itu setidak-tidaknya sudah memperlihatkan hasrat beliau untuk melakukan perubahan seperti yang dilaungkan, sekali gus sebagai awalan yang baik ke arah perubahan lebih besar yang akan menyusulinya secara berperingkat-peringkat.



Ketika rakyat sedang menaruh harapan besar kepada beliau untuk melakukan perubahan lebih jauh sejajar dengan status negara ini yang sedang menuju negara maju menjelang tahun 2020, Najib tiba-tiba mengejutkan seluruh rakyat negara ini dengan perubahan di sebaliknya, dengan kembali menggunakan Akta Hasutan



Perubahan sikap Najib itu menyebabkan bekas Pengerusi Solidariti Mahasiswa (SMM) yang juga Pengarah Eksekutif Lensa, Muhammad Safwan Anang @ Talib, 25, muncul sebagai mangsanya yang pertama.



Beliau didakwa di bawah Akta Hasutan kerana ucapannya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada malam 13 Mei lalu yang dikatakan menghasut orang awam untuk mengubah kerajaan secara tidak sah



Pada hal sekiranya diteliti ucapan keseluruhannya hanyalah berkisar tentang salahguna kuasa oleh SPR dan isu politik perkauman yang masih dimainkan oleh Umno-BN.



Dalam perbicaraan 5 September lalu, beliau dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Turut didakwa bersama beliau, Naib Presiden KeADILan, Chua Tian Chang atau Tian Chua, 51; aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim, 25; aktivis Hishamuddin Rais, 63; ahli PAS, Mohd Tamrin Abdul Ghafar, 64, dan peguam Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, 55.



Umum akan mansuhkan Akta Hasutan



Banyak pihak beranggapan, Dato’ Seri Najib pada dasarnya sememangnya menyimpan hasrat besar untuk melakukan transformasi di negara ini, khususnya yang membabitkan pemansuhan undang-undang drakonian yang tidak lagi relevan dengan perkembangan zaman seperti ISA dan Akta Hasutan.



Kesediaan untuk melakukan perubahan itu diumumkan sendiri oleh Najib pada 11 Julai 2012 dengan mengatakan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan akan digantikan dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.



Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warga negara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini.



“Dengan adanya akta baharu ini, kita akan lebih bersedia untuk menguruskan tahap kesilapan negara. Ia juga akan membantu mengukuhkan dan melindungi perpaduan negara serta memupuk keharmonian agama,” katanya.



Najib juga berkata, kerajaan mengambil keputusan menguatkuasakan sertamerta semua akta baharu dan pindaan terhadap akta-akta sedia ada yang yang diumumkan dalam Pelan Transformasi Politik termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkahlangkah Khas), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Universiti dan Kolej Universiti.



Malah lebih jauh dari itu, Najib juga turut mengiringi pengumumannya itu dengan persetujuannya menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji cadangan penggunaan Akta Keharmonian Nasional yang membabitkan semua parti di negara ini. PAS sendiri diwakili Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa bagi menganggotai jawatankuasa itu.



Di luar jangkaan orang ramai, Najib yang dikatakan begitu berkarisma dan hebat di luar negara tibatiba boleh berubah pula pendiriannya dengan menguatkuasakan kembali Akta Hasutan, sehingga menyebabkan lebih ramai lagi rakyat negara ini yang akan menjadi mangsanya selain daripada yang disenaraikan itu.



Turut menjadi mangsa termasuklah pelajar institut pengajian tinggi swasta, Ali Abd Jalil; ahli Parti Reformasi Negeri Sabah, David Orok; Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya, Azmi Sharom; Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.



Lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat yang turut didakwa di bawah akta itu termasuklah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Adun Changkat Jering, Dato’ Seri Ir Nizar Jamaluddin, Adun Seri Delima, RSN Rayer, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.



Tindakan tersebut dilihat dilakukan oleh Najib bagi melumpuhkan Pakatan Rakyat walaupun dengan cara yang boleh menjejaskan imej negara di mata dunia, sehingga menyebabkan Malaysia kembali bermahajarela dengan penggunaan undang-undang lapuk di negara ini selepas era 22 tahun pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.



Perubahan Najib itu juga dilihat oleh pelbagai pihak akibat tekanan Mahathir ke atas beliau akibat tindakannya memansuhkan ISA yang disifatkan oleh Mahathir sebagai satu tindakan yang boleh mendatangkan kerugian besar kepada Umno-BN untuk terus memerintah di negara ini.



Wajarkah Najib tunduk dengan tekanan Mahathir?



Persoalan besar kepada seluruh rakyat negara ini, wajarkah Najib tunduk dengan tekanan Mahathir? Sedangkan dengan tindakannya itu, di manakah karisma dan kehebatan Najib sebagai seorang Perdana Menteri?



Apatah lagi Najib sendiri sebelum ini sudah begitu lantang bersuara untuk melakukan transformasi dalam pentadbirannya?



Dengan begitu mudah tunduk kepada tekanan Mahathir, apa akan jadi dengan transformasi yang ingin dilakukannya?



Sedangkan gagasannya untuk melakukan perubahan itu cukup besar.



Ia akan menaikkan imej negara dan imej Najib sendiri sebagai Perdana Menteri, sehingga mampu mentadbir negara dengan cara terbaik seperti juga yang dilakukan di negaranegara lain di negara ini, terutama negara-negara maju.



Sesuai dengan perkembangan zaman, sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi sudah tidak sewajarnya diperintahkan dengan cara kuku besi. Malah demokrasi itu sendiri amat perlu disuburkan bagi membolehkan rakyat turut mencapai kemajuan yang selari antara pembangunan jasmani dan rohani, dengan pemikiran-pemikiran yang kritis bercambah di setiap penjuru bagi memacu negara ke arah yang lebih baik.



Di sinilah perlunya najib memiliki keupayaannya sendiri dalam bertindak. Sebagai Perdana Menteri yang sudah berkeupayaan melakukan sedikit perubahan di peringkat awalnya, Najib tidak sepatutnya berundur ke belakang kembali, tetapi sewajarnya terus maju dengan tindakan-tindakan yang lebih berani untuk mencapai perubahan yang lebih baik selaras dengan kehendak rakyat dan keperluan negara.



Jika berundur, bererti Najib sendiri sudah menyerah kalah. Dengan itu, Najib pada pandangan rakyat sebenarnya tidak mempunyai keberanian untuk melaksanakan gagasannya sendiri, sehingga menjadikan slogan beliau yang diharapkan akan membawa perubahan yang lebih baik kepada negara hanya tinggal harapan dan Umno- BN tetap kekal dengan corak pemerintahannya yang lalu, meskipun era pemerintahan Mahathir sudah lama berlalu.



Dalam masa yang sama, Najib juga perlu sedar, tindakannya menggunakan Akta Hasutan kembali tidak juga akan menakutkan rakyat. Malah semakin ditekan dan semakin ramai yang dikenakan akta itu, semakin ramai rakyat yang akan bangkit menentangnya. Realiti ini boleh dilihat kepada kebangkitan anak-anak muda sendiri setelah Akta Hasutan digunakan kembali.



Anak muda tetap gigih berjuang hapus Akta Hasutan



Muhammad Safwan Anang sendiri yang juga bapa kepada anak berusia lapan bulan dalam kenyataannya 7 September lalu menegaskan, beliau tidak gentar dengan hukuman penjara 10 bulan yang dikenakan terhadapnya dan akan meneruskan kempen bantahan terhadap Akta Hasutan 1948.



Malah beliau dan beberapa penggerak pertubuhan bukan kerajaan anak muda dan mahasiswa telah menjelajah seluruh Lembah Klang bermula tarikh itu bagi menyampaikan mesej bantahan tersebut.



Selain itu, beliau dan rakan-rakannya turut mengambil inisiatif menggabungkan 11 NGO mahasiswa dan anak muda dalam gerakan mereka menerusi Gerakan Anak Muda Hapuskan Akta Hasutan (Hasut) yang dilancarkan pada 9 September lalu.



Antara NGO-NGO yang menyertainya terdiri daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se- Malaysia (Gamis), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Angkatan Pembebasan Bangsa Malaysia (APBM), Kelab Bangsar Utama, Geng Kotak, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Malaysia Youth and Student Democratic Movement, Mahasiswa Keadilan Malaysia dan Pro Mahasiswa Nasional.



Antara lain, mereka menuntut tiga desakan yang dipersetujui bersama. Pertama, mereka mahu Perdana Menteri menunaikan janji pada Julai 2012 untuk menghapuskan Akta Hasutan. Kedua, menggugurkan semua pertuduhan dan siasatan yang dibuat terhadap mangsa mengikut akta tersebut.



Tuntutan terakhir mereka, tiada akta baru diperkenalkan bagi menggantikan Akta Hasutan yang dihapuskan.



SUMBER: http://ift.tt/1rZm5fJ

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog