Bukan ‘buru’ Nancy, tetapi rakyat mahu jawapan kenapa Ibrahim tak didakwa

03.06.13-LKS-ceramah kluang-perjuangandi teruskan (10)


Roketkini.com





KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, beliau tidak pernah membuat ikrar, mahu pun ancaman dengan maksud bahawa DAP akan ‘memburu’ Nancy Shukri berikutan isu ugutan membakar kitab Injil oleh Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.



Kit Siang dalam satu kenyataan berkata, artikel di Malay Mail Online pada 21 Oktober bertajuk ‘DAP vows to hound Nancy Shukri over Ibrahim Ali’s Bible-burning threat’ (DAP ikrar buru Nancy Shukri berikutan ugutan membakar kitab Injil oleh Ibrahim Ali) telah disalah erti dan mengelirukan.

Jelas Kit Siang, kenyataannya menegaskan adalah tidak adil kepada Nancy ‘diburu’ lebih dua minggu kerana jawapannya di parlimen bahawa Ibrahim tidak akan didakwa, namun yang dimaksudkan Kit Siang adalah kemarahan rakyat Malaysia atas kegagalan Nancy memberi penjelasan mengenai dua perkara.



Pertama, keputusan Peguam Negara yang tidak mendakwa Ibrahim Ali dan kedua, jawapan Nancy bahawa tindakan Ibrahim bertujuan mempertahankan agama Islam dan dilindungi oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan



“Ugutan Ibrahim Ali untuk membakar Bible berbahasa Melayu dan kemudiannya menikmati kekebalan undang-undang akan terus ‘memburu’ Nancy, sehinggalah kerajaan memberikan satu jawapan yang munasabah dan memuaskan berhubung perkara itu.



“Tiada ada apa-apa yang peribadi tentang kontroversi ini, melainkan ia berkenaan prinsip asas pentadbiran bertanggungjawab, berperlembagaan dan demokratik,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.



Tambah Kit Siang, Nancy sebelum ini bertindak ibarat ‘robot’ yang hanya membaca teks disediakan Peguam Negara mengenai kegagalan kerajaan memberi jawapan munasabah kerana tidak mendakwa Ibrahim.



“Persoalannya, mengapa sehingga hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih membisu, ketika jelas tindakan Peguam Negara itu bertentangan dengan seruannya di persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menentang segala bentuk ekstremisme dan sikap tidak bertoleransi?



“Atau, apakah Malaysia kini mempunyai Peguam Negara paling berkuasa di kalangan negara Komanwel, lebih berkuasa daripada Perdana Menteri dan kabinet kerana tidak terikat kepada prinsip kebertanggungjawaban dan perlu menjawab kepada Parlimen?” soal Kit Siang.



Tambahnya, perkara tersebut bertentangan dengan prinsip tadbir urus, kerana Peguam Negara di Malaysia berpotensi menyalahguna kuasa dan budi bicaranya.



Malah, sehingga hari ini tiada penjelasan mengenai pihak mana yang menyediakan jawapan bertulis Nancy Shukri kepada Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng pada 7 Oktober lalu berhubung rasional kerajaan tidak membuat pendakwaan terhadap Ibrahim Ali.



“Jika jawapan itu disediakan pegawai undang-undang tanpa kelulusan Peguam Negara sendiri, ini bermakna Menteri di Jabatan Perdana Menteri hanya diberi tugas sekadar pembantu kepada Peguam Negara, bahkan kepada pegawai undang-undang pula.



“Keadaan ini seolah-olah satu penghinaan kepada menteri Undang-Undang,” kata Kit Siang. – Roketkini.com





SUMBER: http://ift.tt/1DJHQ8K

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog