Pemimpin-pemimpin yang bermasalah besar, mangsanya rakyat



ASPAN ALIAS




Pemuda UMNO meminta peperangan siber di antara puak Dr Mahathir dan Daim yang berlawanan dengan puak Najib perlu diselesaikan dengan baik. Begitulah kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin. Beliau membuat kenyataan selepas mesyuarat Pergerakan Pemuda itu di PWTC semalam. Apa pun kenyataan Ketua Pemuda itu hanya satu ‘poitical statement’ yang simplistik yang tidak boleh membawa apa-apa ‘consequence’ yang positif. Pemuda masih berpolitiking seperti biasa sahaja dan elok diabaikan sahaja.




Sekarang perang proxi yang sudah sampai ketahap menelanjangkan lawan. Masing-masing mempunyai saham dalam melakukan keburukan yang sedang dialami oleh negara sekarang. Semuanya itu tinggal dalam rumah kaca. Apabila salah seorang membaling batu kepada rumah kaca rakan lamanya maka rakan lamanya itu juga boleh membaling kaca kerumah mereka juga.




Yang ‘interesting’ nya mereka yang menjadi pengikut atau ‘foot soldiers’ kepada masing-masing pemimpin itu. Mereka ini pula yang lebih hebat menari dengan gendang paluan kedua-dua belah pihak. Justeru seperti yang blog ini selalu sebutkan masalah yang dihadapi negara kita sekarang bukannya masalah dari rakyat asalnya. Masalah dan belahnya parti itu adalah oleh kerana pemimpin-pemimpin ini. Yang terasa miangnya ialah pengikut dan rakyat serta politik negara itu sekali.




Bagaimana puak Najib hendak mengkritik Mahathir atau Daim dengan betul kerana puak Najib itu sendiri merupakan puak yang sedang leka dan lalai dan terus menerus melakukan apa yang tidak disukai rakyat sekarang ini. Dia sebaliknya juga bagai mana puak Mahathir dan Daim pula hendak mengkritik Najib secara ‘credible’ kerana puak ini merupakan puak yang telah membina budaya ‘material’ yang sedang menguasai jiwa dan pemikiran ahli-ahli politik dan pemimpin negara kita sekarang ini?




Tidak ada pemimpin yang tidak berniaga dan berlumba-lumba dengan rakyat. Hasilnya berbagai-bagai cara dilakukan untuk memudahkan pemimpin-pemimpin menjadi kaya raya dengan menggunakan kuasa ditangan mereka. Jika sebelum menjadi pemimpin besar dan berkuasa besar mereka masih sibuk menghadapi ‘litigations’ kerana kegagalan perniagaan, mereka menjadi kaya raya setelah mendapat pangkat dalam kerajaan negara kita.




Sekarang mereka menghadapi tuduhan dan persepsi buruk dengan kekayaan dan perniagaan besar mereka dalam sedang berkelahi dalam usia yang sudah begitu lanjut yang sepatutnya berada dalam ketenangan dalam persaraan. Kita tidaklah kisah dengan pergaduhan mereka tetapi dengan pergaduhan ini kita telah dapat meyakinkan diri kita yang salah laku yang dituduh mereka lakukan semasa berkuasa dahulu semakin hari semakin jelas kerana ada pihak yang berani tampil untuk memberikan keterangan jika dipanggil bagi menyempurnakan penyiasatan.




Yang terlibat dalam pergaduhan ini adalah mereka yang besar-besar bernama dan bergelar. Yang bergelar Tun pun ada, Tan Sri pun ada dan ramai yang datuk-datuk dan nama panggilan yang lain yang semuanya besar-besar belaka.




Dalam situasi ini kita melihat yang berkawan semalam hari ini menjadi musuh dan yang telah bermusuh begitu lama kini sudah menjadi kawan. Masing-masing mempunyai rahsia yang mereka tahu tentang mereka yang berlawanan itu.




Mereka ini jugalah yang bercakap tentang perjuangan untuk Melayu dan kumpulan ini jugalah yang bercakap tentang keresahan terhadap keadaan negara pada hari ini. Mereka jugalah yang bercakap tentang keunggulan kepimpinan tetapi mereka jugalah yang memulakan keadaan ini. Yang lebih menarik lagi kumpulan ini jugalah yang bersuara mahu membetulkan keadaan negara sedang mereka adalah penyumbang kepada keadaan buruk negara sekarang ini.




Dalam keadaan sekarang, Ketua Pemuda nampaknya serba salah dan tidak mahu mengambil ketegasan yang jelas dalam isu ini. Elok Pemuda melihat dari sudut kenapa perkara ini boleh berlaku. Baik dari pihak Daim mahupun Najib masing-masing mempunyai alasan untuk mengkritik pihak yang lain kerana masing-masing mempunyai saham yang membuatkan pertengkaran sekarang ini berlaku.




Pemuda sepatutnya setia kepada UMNO dan bukannya kepada individu dan cuba bermain dengan membawa sentimen perpaduan yang tidak mungkin akan wujud di antara kedua-dua belah pihak ini. Selain tidak mempercayai di antara satu pihak dengan pihak yang lain tetap akan wujud dan tidak mungkin kendur kerana kedua-dua belah pihak tahu dan maklum tentang perkara yang dilakukan oleh pihak yang lain itu.




Keadaan sekarang sudah menjadi seperti perkelahian budak-budak atau kanak-kanak sekolah. Ia seolah-olah memberikan andaian yang ‘kau dulu apa kurangnya, pandai-pandai hendak mengkritik aku’. Perkelahian ini tidak disebabkan oleh kepentingan negara dan rakyat.




Tidak ada apa-apa keuntungan untuk orang ramai dalam perkelahian ini. Hanya jika boleh dianggap yang baik timbul, ialah ia telah mengiyakan yang pandangan banyak pihak yang mereka dari kedua-dua belah pihak ini telah melakukan perkara yang setidak-tidaknya tidak bermoral bagi keperluan negara dan rakyat telah mereka lakukan.




Jika ia tidak dilakukan tidak mungkin keadaan seperti ini akan berlaku. Masing-masing hidup da;lam rumah kaca dan mana-mana pihak pun tidak boleh membaling batu terhadap rumah kaca yang lain. Itu sebabnya keadaan negara sekarang menjadi kalut bukannya oleh kerana rakyat tetapi oleh kerana pemimpin dan cara pemulihannya ialah dengan melakukan ‘dismantling’ terhadap sistem yang ada dan lakukan pemulihan dengan memulakan negara baru seperti yang selalu blog ini sarankan. Keadaan sekarang sudah menjadi begitu kalut dan tidak boleh diperbaiki dengan memberikan pembetulan satu masalah satu lepas satu.




Kita tidak boleh hanya bergantung kepada ubat tahan sakit kerana kesemua anggota tubuh kita sedang sakit. Kita mesti mencari jalan untuk menghilangkan penyakit, bukannya setakat menghilangkan sakit yang terlalu banyak itu. Kalau kita merasa sakit kepala selalu dan sakit tengkok setiap waktu, ia tidak boleh diselesaikan atau diubati dengan memakan panadol sahaja. Ia hanya menghilangkan sakit buat seketika. Mungkin penyakit yang dihidapi seseorang itu ialah penyakit darah tinggi. Darah tinggi inilah yang perlu diubati dan bukannya menghilangkan sakit di kepala atau pun di tengkok.




Negara perlukan ‘overhauling’. Orang yang bergaduh tidak boleh mendamaikan keadaan. Ada orang lain yang mungkin boleh membentuk kedamaian ini. Jika pihak yang bergaduh ini hendak di yakini untuk menyelesaikan keadaan negara ia tidak mungkin boleh tercapai sampai bila-bila. Baik dari puak ini mahupun dari puak itu, kedamaian tidak boleh diperolehi jika tanggungjawab itu diberikan kepada mana-mana satu pihak.




Negara memerlukan banyak lagi masalah yang hendak diselesaikan dan diberikan perhatian. Ia bukan setakat masalah dua pihak yang berkelahi ini. Kita ada masalah yang lebih besar seperti untuk menyelesaikan masalah asas penubuhah negara kita seperti isu Persekutaun Malaysia yang melibatkan negeri-negeri Sabah dan Sarawak yang kian hari kian meruncing.




Sabah dan Sarawak memerlukan perhatian sebagai negeri-negeri yang ‘equal partners’ dengan Persekutuan Tanah Melayu (Semenanjung). Perjanjian Persekutuan Malaysia ini ditandatangani oleh 4 pihak (termasuk Singapura) pada tahun 1963 dahulu. Perjanjian itu bukannya ditandatangani oleh 14 negeri-negeri dalam Persekutuan ini. Jika masing-masing pemimpin dari peringkat persekutuan ini menumpukan kepada perkelahian untuk menegakkan benang basah masing-masing, bilakan masalah yang lebih besar untuk masa depan Persekutuan kita ini akan dapat diselesaikan?




Jika pemimpin utama sentiasa berada diluar negara bagaimana beliau hendak memberikan tumpuan kepada keperluan rakyat dan negara. Bagaimana hendak mencari formula untuk menjadikan Persekutuan ini lebih jitu kewujudannya dan mengurangkan rasa tidak puas hati di antara wilayah-wilayah dan persekutuan ini? Najib bukan seorang sahaja Perdana Menteri dalam dunia ini ramai, tetapi PM-PM negara lain tidak pula terbang seantero dunia ini setiap minggu dan bulan.




Kita abaikan sahaja mereka yang bergaduh ini terutamanya mereka yang menganggotai Dewan Legislatif negara. Ahli-ahli Dewan Legislatif negara perlu melakukan perkara yang boleh menyelesaikan isu-isu negara yang bertimbun-timbun dengan kadar yang segera. Mereka (ahli-ahli Legislatif) sebenarnya adalah rakyat kerana mereka mewakili rakyat dalam Dewan Tertinggi Legislatif itu. Mereka ini dipertanggungjawabkan untuk melihat negara kita keluar dari kemelut yang tidak ada penghujungnya sekarang ini. Masing-masing perlu menghentikan ‘politicking’ yang menjahanamkan negara. Jangan dibiarkan sekumpulan kecil manusia yang tamak dan haloba ini menentukan masa depan negara kita.




Perlu diingat kita tidak mempunyai tempat atau negara lain untuk tinggal. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Mereka yang telah menjadikan keluarga mereka kaya raya boleh mencari bumi lain untuk dipijak dan menjunjung langit ditempat dan wilayah yang lain.




Apa pun Najib perlu bersara dahulu, kalau boleh dalam kadar yang segera. Itu dahulu.






SUMBER: http://ift.tt/1JWn07h

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog