Oleh SSK
1. Tidak perlu menjadi seorang genius politik untuk melihat keadaan sekarang di mana kedua-dua gabungan Barisan Nasional(BN) dan Pakatan Rakyat sedang menghadapi krisis sama ada antara parti dan dalaman parti. Parti yang keluar dari kemelut ini merupakan parti yang mempunyai pemimpin atau pemimpinnya memiliki kemahiran pengurusan krisis yang hebat.
2. Kebanyakan parti politik di Semenanjung sama ada anggota BN atau Pakatan Rakyat tidak bebas daripada krisis dalaman. Walaupun kita di Sabah bersyukur kerana tidak terpalit dalam dilema ini, kita tidak boleh menafikan bahawa krisis di Semenanjung akan pasti merebak dan memberi kesan kepada kita.
3. Oleh itu, Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mempertimbangkan semua aspek dan kesan krisis ini dalam membuat sesuatu keputusan. Adakalanya keputusan yang hanya memenuhi satu kumpulan akhirnya boleh mengasingkan yang lain.
4. Bagaimanapun, dalam mana-mana krisis, kejayaan mengharunginya banyak bergantung kepada sokongan atau semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh timbalannya, Naib-Naib Presiden dan anggota Majlis Tertinggi Umno. Apa juga percanggahan di peringkat kepimpinan parti tentu sekali akan merubah landskap dan seterusnya mempengaruhi kesan krisis itu. Keadaan ini amat genting ketika berdepan dengan krisis.
5. Krisis hukum Hudud bukanlah angkara Umno. Namun ia boleh memberi kesan kepada Umno. Apabila seorang pemimpin membuat kenyataan menyokong Hudud manakala pemimpin lain menyatakan pendirian yang bertentangan atau meminta parti itu mengambil pendirian tegas, maka ini akan membawa Umno ke kancah bahaya terheret ke dalam krisis yang bukan datang dari Umno sendiri.
6. Setakat ini, Perdana Menteri belum membuat apa-apa ketetapan berhubung isu Hudud. Ramai pemimpin lain telahpun berbuat demikian yang kelihatan memberikan gambaran seolah-olah `itulah pendirian rasmi Umno' tetapi ia tidak benar sama-sekali. Kadang-kadang saya tertanya-tanya sama ada mereka hanya cuba untuk membantu atau cuba untuk menggagalkan pelaksanaannya.
7. Mari kita tunggu kenyataan Perdana Menteri mengenai perkara ini.
8. Sebagai contoh, ada yang mengatakan Perdana Menteri perlu memberi penjelasan isu 1MDB ekoran dakwaan pembangkang kononnya berlaku penyelewengan di syarikat besar itu. Tetapi perkara ini kini dalam siasatan. Adakah Perdana Menteri tidak sepatutnya membenarkan siasatan disiapkan terlebih dahulu atau tunggu hasil siasatan itu barulah membuat kenyataan?
9. Terdapat pihak yang menuduh Perdana Menteri tidak membenarkan kebebasan bersuara. Tetapi apabila Perdana Menteri membenarkan mereka untuk bersuara, mereka berkata Perdana Menteri perlu melakukan sesuatu atau mengambil tindakan untuk menutup mulut mereka yang membuat tuduhan itu. Kemudian apabila Perdana Menteri menyaman mereka yang berbohong tentang isu 1MDB, mereka berkata Perdana Menteri tidak menghormati kebebasan bersuara.
10. Jadi, apa yang mereka mahu? Diam juga salah. Mengambil tindakan juga salah. Nampaknya orang-orang ini tidak konsisten dan tidak benar-benar tahu apa yang mereka mahu. Atau mungkin sebab sebenar mereka tidak ikhlas.
11. Adalah menjadi hak parti pemerintah Kelantan untuk meluluskan pindaan syariah di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Itulah demokrasi. Patutkah Perdana Menteri mengutuk PAS kerana mengamalkan demokrasi?
12. Biarlah Parlimen membuat keputusan apabila usul Undang-undang Hudud ini dibentangkan untuk dibahas (sekiranya usul diterima oleh Speaker Dewan Rakyat nanti).
13. Perdana Menteri hanya merupakan salah seorang daripada 222 ahli Parlimen. Jadi, masih ada lagi 221 ahli Parlimen yang mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka di Dewan Rakyat. Mengapa perlu membuat kenyataan sekarang, terutama Perdana Menteri seolah-olah Perdana Menteri yang mengusulkan isu Hudud di Kelantan?
14. Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin pembangkang, dan Pakatan Rakyat enggan menyingkirkannya sebagai ketua pembangkang walaupun beliau kini sedang menjalani hukuman penjara. Oleh itu, Anwar seharusnya menyatakan pendiriannya mengenai Hudud terlebih dahulu sebelum meminta Perdana Menteri melakukan perkara yang sama. Jadi mengapa pemimpin-pemimpin Umno tidak menyasarkan komen mereka pada Anwar?
15. Begitu juga dengan pihak pembangkang. Pemimpin mereka sendiri terus menyepi, dan mereka mengkritik Perdana Menteri kerana "tidak bersuara" menyatakan pendirian mengenai isu Hudud.
SUMBER: http://ift.tt/1HoLBkD
0 comments:
Post a Comment