KUNDASANG- Daerah Ranau yang dilanda bencana, boleh dilanda dengan satu lagi banjir lumpur jika cuaca buruk berterusan.


Pakar geologi tempatan, Profesor Dr Felix Tongkul berkata beliau memberi amaran bahawa cerun rapuh bersaiz padang bola sepak boleh runtuh pada bila-bila masa dan boleh menyebabkan banjir lumpur.

“Selain hujan berterusan, gegaran juga boleh mencetuskan tanah runtuh,” katanya.

Pada 5 Jun lalu, selepas gempa bumi dan susulan beberapa gempa selepas itu telah menyebabkan bongkah-bongkah batu runtuh menjadi beberapa serpihan dan sisa runtuhan yang juga terdiri daripada pohon dan batu-batu bersaiz kereta menyekat aliran sungai di Liwagu.

Tambahnya, merujuk kepada tinjauannya hari ini, kedua-dua aras di Sungai Ulu Kadamaian dan Sungai Penataran di Kota Belud hampir melimpah kerana hujan lebat yang berterusan.

“Sekitar tengah hari, saya berada di Kampung Malangkap Baru untuk meninjau situasi Sungai Penataran. 
Hanya dalam masa satu jam, paras air sungai itu hampir ke tebing dan air sungai yang keruh berwarna coklat gelap dilihat seperti milo.

“Air mula melimpah ke aras tebing dan mula mengalir ke kawasan kampung. Perkara yang sama berlaku di kampung berdekatan Sungai Ulu Kadamaian,” kata pensyarah Universiti Malaysia Sabah itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tongkul berkata perkara yang sama juga boleh berlaku kepada Sungai Mesilou Kiri dan Sungai Mesilou Kanan.

“Sebagai penduduk kampung di daerah Mesilou perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan. Mereka perlu melaporkan sebarang tanda-tanda banjir kepada pihak berkuasa yang berkaitan, tanda awal adalah terbentuknya ‘empangan sementara’ di sepanjang sungai itu kerana aliran yang tersekat daripada sisa runtuhan gempa bumi tempoh hari.

“Pihak berkuasa juga perlu memantau risiko-risiko yang bakal berlaku di sungai berhampiran pada setiap masa,” ujar beliau.