Keselamatan Obama: Jangan lupa rakyat sendiri


DR RIDUAN MOHD NOR



Menjelang kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia pada Sabtu ini, dilaporkan kawalan keselamatan diperketatkan ke tahap tertinggi di negara ini. Sememangnya menjadi suatu polisi dan protokol kepada mana-mana negara yang bakal menyambut pemimpin tertinggi AS itu untuk bersedia dengan kawalan keselamatan tertinggi yang perlu ada bagi mengelakkan sebarang risiko.



Umum mengetahui bahawa Presiden AS mempunyai banyak musuh. Ia menandakan polisi negaranya yang tidak mahu bersahabat dengan negara-negara lain, terutama pesaing global. Malah, negara kerdil juga menjadi bahan belasahan negara Uncle Sam itu seperti yang berlaku di Afghanistan, Iraq dan lain-lain.



Membahayakan keselamatan Presiden AS akan membahayakan keselamatan negara ini sendiri. Jika berlaku apa-apa terhadap Barrack Obama semasa lawatannya nanti, maka sudah pasti negara turut terancam. AS tidak teragak-agak untuk menyerang mana-mana negara yang membahayakan pemimpin utamanya. Itulah risiko yang dihadapi dan negara memperketatkan keselamatan bagi menyambut ketibaannya bagi menjaga keselamatan rakyat dan negara juga dalam erti yang sebenarnya.



Dalam pada Malaysia menetapkan kadar keselamatan terhebat bagi menyambut ketibaan Presiden AS itu, suka diingatkan juga bahawa kadar keselamatan yang tinggi juga perlu diberikan kepada warga negara Malaysia sendiri. Meskipun Presiden AS ada keistimewaannya tersendiri yang mesti dilebihkan, namun jangan sampai keselamatan rakyat pula terabai. Isu jenayah yang berlaku di negara ini menjadi semakin serius dengan aksi ngeri menggunakan senjata ringan dan berat. Kecederaan dan kematian adalah risiko yang sentiasa dihadapi oleh mangsa sama ada dalam bentuk jenayah rompakan, samun, ragut, rogol, mahupun penculikan.



Kejadian penculikan di Semporna, Sabah dengan dua wanita menjadi mangsa dan samun melibatkan sebuah kapal yang kerugian 2 juta liter minyak diesel semalam di Pelabuhan Kelang benar-benar mengejutkan banyak pihak. Selain itu, misteri kehilangan pesawat MAS MH370 membuka mata bahawa keselamatan rakyat di negara ini sudah lama terancam.



Yang diinginkan, jika keselamatan Presiden AS menjadi keutamaan, dengan pasukan keselamatan negara diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, layanan yang sama atau hampir serupa diberikan kepada rakyat warga negara. Ia bukan bermakna pihak keselamatan perlu menjejaskan rutin warga negara atau mengubah landskap negara serta membelanjakan ratusan juta ringgit. Yang penting, tahap keselamatan dipertingkatkan dengan memastikan rakyat Malaysia merasa tenteram dan selesa dengan keamanan di negaranya. Yang diharapkan, jenayah akan terkawal manakala kawasan sempadan negara sentiasa dilindungi dari golongan lanun dan penjenayah.



Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat



SUMBER: http://ift.tt/1iQXENR

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog