Perlukah Polis Syarie?










Oleh Amin Iskandar



Pengumuman Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama menubuhkan Unit Polis Syarie sebagai langkah menyelesaikan isu-isu berkaitan penguatkuasan dan perundangan Islam adalah sesuatu yang membimbangkan.



Menurut Ahli Parlimen Bagan Datoh itu, KDN mendapat persetujuan Jakim untuk menubuhkan unit itu, yang antara lain akan mempunyai anggota polis berkelulusan ijazah dan ijazah sarjana serta ditempatkan di Jakim.



"Umat Islam di Malaysia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya penggunaan kalimah Allah oleh Kristian, fahaman Syiah, ajaran sesat dan tuntutan keterlaluan oleh Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).



"Mengenai isu kalimah Allah, mengapa mereka (golongan Kristian) masih berdegil dan tidak menghormati keputusan Mahkamah... penggunaan kalimah Allah dalam Bible hanya dibenarkan di Sabah dan Sarawak dan bukannya di Semenanjung Malaysia," katanya seperti dilaporkan agensi berita Bernama.



Tanpa sebarang perbincangan dan perdebatan awam terlebih dahulu mengenai peranan unit ini, menteri mengumumkan Malaysia akan mempunyai Polis Syarie.



Unit ini akan memainkan peranan mengawal tingkahlaku umat Islam dari perspektif Syariah yang dipegang kerajaan dan belum tentu saya dan anda bersetuju dengannya.



Entah mengapa penguatkuasa Islam yang sudah bernaung di bawah jabatan-jabatan agama tidak mencukupi.



Apakah Polis Syarie ini tugasnya antara lain untuk menembak pasangan-pasangan muda yang berkasih di taman-taman bunga?



Apakah Polis Syarie ini antara lain bertugas untuk menangkap umat Islam yang tidak ke masjid semasa waktu solat?



Saya secara peribadinya pernah melihat bagaimana polis-polis Syariah menjalankan tugas di Aceh, Indonesia.



Pada ketika itu saya bertugas untuk satu misi pemantauan pilihan raya antarabangsa di daerah berkenaan.



Sedang saya berjalan di pekan Biruen bersama rakan setugas wanita berasal dari Thailand dan juga penterjemah kami, tiba-tiba kami dikepung oleh sekumpulan lelaki bermotosikal.



Rupa-rupanya mereka ini adalah polis Syariah dan kami dikepung kerana rakan saya itu tidak memakai tudung.



Nasib baik kami mempunyai penterjemah yang merupakan warga Aceh.Setelah menyemak pasport rakan saya dan mengesahkan beliau merupakan warga Thailand, barulah kami dilepaskan.



Menurut penterjemah saya, polis Syariah ini antara lainnya bertugas untuk menahan umat Islam yang tidak solat Jumaat, pasangan belum bernikah berasmara dan pelbagai lagi salah laku.



Lihatlah betapa tidak coolnya Aceh dengan adanya polis Syariah, kehidupan beragama rakyat juga diatur oleh negara.



Apakah kerajaan Malaysia sudah tidak waras untuk menyusahkan lagi kehidupan umat Islam di negara ini yang sudah sedia susah dengan sistem dua perundangan – sivil dan Syariah.



Mengapa perlu kerajaan campur tangan dalam kehidupan harian umat Islam? Tidak cukup-cukup lagikah dengan apa yang sedia ada?



Bukankah lebih baik daripada membazirkan wang pembayar cukai menubuhkan Unit Polis Syarie, ia digunakan untuk menjaga kebajikan rakyat seperti dilakukan negara-negara kafir di Eropah dengan menyediakan rumah percuma (bukan mampu milik) kepada rakyat mereka yang tidak berumah.



Inilah malangnya menjadi Melayu-Islam di Malaysia, anda ditindas kiri dan kanan.



Anda diberikan ilusi “anda istimewa” kerana Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu walhal ia hanya terpakai jika anda rapat dengan golongan pembesar.



Lebih malang lagi, dalam isu Polis Syarie ini, tidak akan ada pemimpin politik Islam yang berani menyuarakan bantahan walaupun mereka tidak bersetuju.



Ini kerana takut hilang undi daripada majoriti umat Islam di negara ini yang kini sedang dilanda fenomena “Arabisasi”.



Terdapat perbezaan besar di antara Arab dan Islam. Jangan kita salah faham



SUMBER: http://ift.tt/1ldgQbL

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog