KUALA LUMPUR-Kementerian Pendidikan (MOE) Singapura hari ini mengumumkan lapan mayat warganya yang ditemui pihak berkuasa Malaysia telah dikenal pasti waris masing-masing sebagai enam pelajar dan seorang guru dari Sekolah Rendah Tanjong Katong (SRTK) serta seorang jurulatih lasak.

 

Mayat mangsa warga Singapura yang pertama ditemui ialah pada lewat malam Jumaat, iaitu pelajar perempuan sekolah rendah berkenaan berusia 12 tahun dikenali sebagai Peony Wee Ying Ping.

Mayatnya dibawa turun bersama mayat malim gunung, Robbi Sapinggi.

Manakala mayat lima lagi pelajar SRTK telah dikenalpasti waris masing-masing ialah Ameer Ryyan Mohd Adeed Sanjay, Emilie Giovanna Ramu, Matahom Karyl Mitzi Higuit, Rachel Ho Yann Shiuan dan Sonia Jhala.

Sementara itu, mayat guru terbabit disahkan sebagai Loo Jian Liang Terrence Sebastian dan jurulatih aktiviti lasak yang mengiringi rombongan pelajar SRTK yang turut terkorban adalah Muhammad Daanish Amran.

Semua mangsa terbabit adalah sebahagian daripada 29 peserta ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu sekolah itu.

“Operasi kini diteruskan bagi mengesan seorang lagi pelajar Navdeep Singh Jaryal Raj Kumar serta seorang lagi guru Mohammad Ghazi Mohamed,” kata MOE Singapura dalam kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, para pegawai MOE Singapura dan beberapa kementerian lain republik itu kini berada di Kota Kinabalu untuk memberi bantuan serta sokongan kepada keluarga terbabit dalam menghadapi detik-detik memilukan ini.

Persiapan sedang dibuat untuk membawa pulang anggota keluarga dan mayat mangsa ke Singapura secepat mungkin.

Laporan media sebelum ini menyebut bahawa sekumpulan pelajar dari SRTK berada di Gunung Kinabalu ketika gempa bumi itu berlaku pada Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, mayat Peony Wee Ying Ping yang diterbangkan pulang dari Sabah pagi tadi dilaporkan telah selamat tiba di Singapura.

Mayat mangsa sebelum itu dituntut dari bilik mayat Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu oleh kedua ibu bapanya yang datang dari Singapura.

Sementara itu, pihak SRTK telah mewujudkan satu sudut khas di sekolah itu untuk orang ramai menzahirkan rasa sedih serta ucapan takziah masing-masing ekoran kematian pelajar serta guru sekolah itu dalam gempa bumi bermagnitud 6.0 pada skala Richter itu.

Sudut berkenaan yang bermula hari ini akan dibuka sehingga Selasa, 9 Jun ini.