Oleh Eileen Ng (Klik sini untuk membaca temuramah oleh Malaysian Insider)
Datuk Seri Salleh Said Keruak muncul salah seorang penyokong paling tegar Datuk Seri Najib Razak, mempertahankan perdana menteri dan kontroversi yang menyelubungi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi blognya.
Datuk Seri Salleh Said Keruak muncul salah seorang penyokong paling tegar Datuk Seri Najib Razak, mempertahankan perdana menteri dan kontroversi yang menyelubungi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi blognya.
Speaker Dewan Sabah itu juga tanpa berselindung menentang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam blognya, berulang kali menulis menjawab kritikan beliau terhadap Najib dan 1MDB yang ketika ini berhutang RM42 bilion.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan itu terkenal di Sabah kerana menjadi ketua menteri ke-9 pada pertengahan 90-an apabila Dr Mahathir memegang jawatan perdana menteri.
Bapanya Mohamad Said Keruak, merupakan ketua menteri Sabah ke-4, 20 tahun sebelumnya dan kemudiannya menjadi Yang di-Pertua Negeri.
The Malaysian Insider (TMI) meminta Salleh menjelaskan tindakannya yang tiba-tiba bangkit membela Najib. Di bawah petikan temu ramah tersebut:
TMI: Mengapakah anda pilih untuk meluahkan pendapat anda menerusi blog?
DSSSK: Saya pilih blog kerana pertamanya, saya ingin ketengahkan pendapat peribadi saya, bukan pendapat Umno atau kerajaan negeri Sabah, dan kedua, saya mahu dekatkan diri dengan generasi muda Sabah yang akan mewakili majoriti pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.
Tidak ada salahnya untuk beri pendapat peribadi. Semua orang memiliki pendapat mereka sendiri. Tetapi anda perlu jelas yang itu pendapat peribadi bukan pendapat parti yang anda wakili, atau kerajaan di mana anda berkhidmat. Apa cara yang lebih baik untuk lakukannya daripada blog? Ini saya, Salleh yang sedang bercakap, bukan speaker DUN Sabah atau jurucakap Umno.
TMI: Di dalam blog anda, anda sering mempertahankan perdana menteri daripada pengkritiknya, termasuklah Dr Mahathir. Mengapa anda lakukannya? Adakah kerana tidak ramai menteri dan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang pertahankan Najib secara terbuka?
DSSSK: Isunya mudah. Dr Mahathir seperti tidak boleh setuju dengan semua perdana menteri selepasnya yang beliau pilih sendiri. Dr Mahathir marahkan Najib kerana, menurut Dr Mahathir, Najib beralah dengan Singapura.
Itu diulang berkali-kali. Saya merasakan itu tuduhan yang tidak adil. Negara perlu bertimbang rasa, bertindak sivil dan berbudi bahasa dengan jirannya. Dr Mahathir bercakap seperti Malaysia sedang berperang dengan Singapura.
Inilah sebabnya saya pertahankan perdana menteri. Saya rasa Najib lakukan perkara yang betul dengan berbincang dengan Singapura sebelum melakukan sesuatu yang akan memberi kesan kepada kedua-dua negara. Bolehkah Britain membina terowong ke Perancis tanpa mendapatkan persetujuan Perancis? Itulah isunya.
TMI: Adakah anda berasa Najib sedang diserang? Adakah beliau disalah faham? Adakah beliau seorang pemimpin yang baik dan berkemampuan?
A: Pihak pembangkang akan menentang mana-mana perdana menteri daripada Umno atau BN. Tetapi kini, di dalam Umno ada yang bergabung dengan pembangkang untuk menyerang perdana menteri. Ini membentuk persepsi yang perdana menteri sedang diserang.
Mengapa mereka tidak cuba bawa usul undi tidak percaya terhadapnya di dalam Parlimen? Barulah kita tahu sekiranya perdana menteri sedang diserang atau tidak.
Adakah Najib disalah faham? Setiap perdana menteri bermula daripada Tunku Abdul Rahman disalah faham. Malah Dr Mahathir juga disalah faham. Winston Churchill dan Margaret Thatcher juga disalah faham. Saya rasa biasalah, semua lelaki atau wanita hebat akan disalah faham pada satu ketika. Orang yang hebat sememangnya rumit. Jadi, orang biasa tidak boleh memahami mereka. Memang lumrahnya.
Mereka kata kita hanya boleh dihakimi selepas kita tiada, jadi mungkin kita patut biarkan sejarah menjawab soalan sama ada Najib seorang pemimpin yang berkemampuan atau tidak. Saya bagaimanapun percaya, sejarah akan menilai Najib dengan positif.
TMI: Apakah mesej anda kepada pengkritik Najib?
DSSSK: Apa sahaja mesej yang boleh saya berikan kepada pengkritik Najib? Jika mereka tidak suka Najib mereka akan terus tidak menyukainya, tidak kiralah apa yang saya kata. Ramai yang mindanya tertutup, tidak akan terbuka walaupun apa yang anda katakan.
TMI: Apa pandangan anda tentang kontroversi yang menyelubungi 1MDB?
DSSSK: Malaysia berdepan banyak isu — ekonomi, keselamatan, sosial, kaum, agama dan sebagainya. Tetapi cara 1MDB dimainkan memberi gambaran seolah-olah itu isu paling kritikal.
Walaupun jika 1MDB boleh dianggap masalah yang serius, ia bukannya satu-satunya masalah yang ada, ataupun yang paling serius. Saya anggap isu keselamatan, perkauman dan keagamaan mengatasi segala masalah kerana jika tidak dikendalikan dengan baik, boleh merosakkan negara dan mengakibatkan kehilangan nyawa yang banyak.
Jadi inilah sebabnya saya bercakap tentang 1MDB. Lebih-lebih lagi, nampaknya terdapat banyak manipulasi dan salah faham tentang 1MDB.
Di sebelah pihak, kita mahu PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) menyiasat 1MDB dan tampil dengan laporan menyeluruh. Pada masa sama, sebelum siasatan dan laporan diselesaikan, kita sudah ada pendapat dan pendirian sendiri tentang 1MDB. Malah ada mengatakan 1MDB perlu didapati bersalah hingga ia dapat membuktikan ia tidak bersalah. Ini bertentangan dengan prinsip keadilan, iaitu tidak bersalah hingga didapati bersalah.
Jadi, apa yang kita minta PAC lakukan? Adakah kita minta PAC buktikan yang 1MDB tidak bersalah dan jika ia tidak dapat lakukannya, kita akan anggap ia bersalah? Adakah kita akan letakkan seseorang dalam perbicaraan kes pembunuhan dan jika orang itu tidak boleh buktikan dia tidak melakukan jenayah tersebut, kita akan hantarnya ke tali gantung?
Kalau begitu kesnya, senanglah. Apa yang PAC perlu lakukan ialah keluarkan kenyataan mengatakan mereka sudah menyiasat 1MDB dan tidak menjumpai sebarang bukti menunjukkan 1MDB tidak bersalah, jadi bermakna, 1MDB bersalah walaupun tiada bukti juga menunjukkan ia bersalah.
Dalam kata lain, buktikan yang anda tidak menerima rasuah dan jika anda tidak dapat lakukannya, mestilah anda terima rasuah, walaupun tiada bukti anda melakukannya. Ini kerja gila!
Kita minta 1MDB jawab soalan yang ditimbulkan. Tetapi apabila mereka menjawab, kita tidak percaya mereka berkata benar. Jadi, mengapa minta mereka jawab soalan jika kita yakin apa yang mereka katakan tidak benar? Mintalah pihak ketiga, dan bukan 1MDB, untuk menjawab. Dan pihak ketiga ini ialah PAC.
Tetapi mereka hanya boleh menjawab selepas mereka siasat 1MDB. Inilah sebab mengapa saya bincangkan 1MDB dalam blog saya. Situasi ini sudah jadi tidak masuk akal dan ramai yang bercakap secara tidak rasional. Sudah jadi seperti histeria beramai-ramai. Tiada siapa yang mahu ketahui perkara sebenar lagi. Mereka hanya mahu dengar satu perkara: 1MDB bersalah.
Apa sahaja kenyataan selain dari "1MDB bersalah" tidak dapat diterima. Apa yang sedang berlaku? Kenapa tidak biarkan sahaja PAC dan 1MDB lakukan kerja mereka? Apa yang kita mahu ialah kerja yang baik. Tetapi kita tidak benarkan itu berlaku. Itu yang saya cuba katakan dalam blog saya.
TMI: Dengan kemelut 1MDB, bukankah ia satu idea yang baik bagi Najib untuk menjawab pengkritiknya dalam satu forum, dialog atau soal jawab siaran langsung bagi rakyat Malaysia mendengar pendapatnya, daripada dilabel penakut kerana tidak hadir ke forum Nothing to Hide tentang 1MDB?
DSSSK: Terdapat banyak kontroversi. Terdapat juga kontroversi kes liwat Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kad pengenalan yang diberikan kepada pendatang Sabah secara tidak sah semasa era Dr Mahathir.
Adakah Dr Mahathir setuju membincangkannya dalam perbahasan awam? Bagaimana pula dengan pembunuhan beramai-ramai Memali? Bolehkah Dr Mahathir setuju untuk bahaskan topik itu juga? Mengapa asyik salahkan 1MDB? Pembunuhan beramai-ramai Memali lebih serius, dan kepada kami di Sabah, isu kad pengenalan tersebut adalah isu nombor satu.
Jadi mengapa hanya salahkan 1MDB? 1MDB sedang cuba selesaikan semua isu. PAC juga masih belum melengkapkan siasatannya serta laporannya. Jadi mengapa ganggu semua ini?
Dialog Nothing to Hide itu sepatutnya menjadi dialog antara NGO dan Najib. Sepatutnya ia hanya untuk mereka yang dijemput. Kemudian mereka cuba tukarkannya kepada perbahasan Najib lawan Dr Mahathir. Bukan itu yang dipersetujui.
TMI: Isu menyelubungi 1MDB ditimbulkan seawal 2 tahun lalu, tetapi syarikat tersebut tidak menyangkal atau menjawab tuduhan dan menyebabkan orang ramai membina pendapat sendiri atau persepsi negatif terhadapnya. Adakah anda rasa 1MDB patut menjawab pengkritiknya sedari awal apabila isu salah urusnya timbul, daripada mendiamkan diri sehingga ia merebak seperti sekarang?
DSSSK: Pihak pembangkang menimbulkan pelbagai isu. Kita tidak boleh hendak menjawab setiap isu yang ditimbulkan. Kerajaan menghabiskan terlalu banyak masa membidas dan menjawab persoalan, hingga tiada masa untuk mentadbir negara.
Ini sudah menjadi tidak masuk akal. Biar PAC yang menjawab. Lagipun apa sahaja yang dikatakan 1MDB akan ditolak juga.
TMI: Dr Mahathir amat lantang menentang Najib dalam beberapa isu seperti 1MDB, BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan pembunuhan Altantuya (warga Mongolia Altantuya Shaariibuu). Dan tidak dapat dinafikan pendapatnya mempengaruhi pendapat rakyat terhadap perdana menteri dan BN. Bagaimanakah mudaratnya tindakan beliau terhadap BN dan Najib? Apa yang patut dilakukan untuk membendung pengaruhnya?
DSSSK: Dr Mahathir membantu pihak pembangkang menang besar pada 2008. Saya rasa Dr Mahathir mampu membawa mudarat kepada BN dalam pilihan raya akan datang. Kita lihat apa yang akan berlaku.
TMI: Negara juga kini sedang tegang dari segi hubungan antara kaum sejak pilihan raya umum yang lepas, dan kerajaan dilihat seperti tidak cukup mengambil langkah membanteras perbalahan antara kaum. Adakah anda rasa kerajaan tidak cukup bertindak untuk membendung ketegangan antara kaum? Apa yang perlu dilakukan untuk membawa kita kembali ke Malaysia yang harmoni di mana semua kaum saling menghormati?
DSSSK: Ahli politik dari kedua-dua pihak, dan dalam kes ini di barat Malaysia, memainkan isu ketegangan kaum dan agama. Tiada apa yang boleh dilakukan ahli politik sekiranya rakyat tidak menolak perkara ini. Jadi, rakyat perlu menolak ahli politik sebegini. Jika tidak, mereka akan terus memainkan politik sentimen kaum dan agama. – 16 Jun, 2015.
SUMBER: http://ift.tt/1cXHbI2
0 comments:
Post a Comment