shahbudindotcom
Lawatan rasmi Najib Razak ke Arab Saudi sambil menunaikan umrah bermula Sabtu lalu hingga semalam bersama dua Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein, menimbulkan spekulasi yang makin meluas bahawa ia akan disusuli dengan rombakan kabinet selepas ini.
Baik dalam suasana aman, apatah lagi ketika gelora politik makin membara berikutan kritikan berterusan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad ketika ini, hakikatnya amat janggal bagi Perdana Menteri membawa dua orang Naib Presiden UMNO sekaligus untuk mengiringinya bagi menunaikan umrah, kecuali ada permuafakatan yang perlu disepakati di tanah suci itu.
Lantaran itu menjadi perbualan ramai bahawa pemergian mereka ini ada kaitan dengan suasana politik yang sedang melanda negara. Apatah lagi, pemergian itu ketika tragedi gemba bumi Sabah sedang berlaku dan seolah-olah membawa kedua-dua Naib Presiden UMNO lebih penting daripada segala-galanya.
Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal yang diketahui agak berbeza pendirian dengan Najib sejak kebelakangan ini, terutama berhubung isu 1MDB, tidak ikut serta atau barangkali juga tidak dipelawa untuk berumrah bersama-sama ini.
Beliau difahamkan kini berada di Russia atas urusan rasmi kementeriannya.
Dengan Najib membawa kedua-dua Naib Presiden itu ke Mekah, cakap-cakap paling sensasi menjadi bualan ialah kemungkinan Muhyiddin Yassin akan digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana kedudukannya dalam kabinet lebih dianggap sebagai ancaman serta "duri dalam daging" kepada masa depan Perdana Menteri.
Najib dikatakan sudah tidak dapat menahan sabar lagi dengan karenah dan tingkah laku Muhyiddin yang tidak cukup setia dan kurang konsisten dengannya, terutama sejak isu 1MDB meletus.
Melalui penyingkiran Muhyiddin daripada jawatan nombor dua dalam kerajaan itu, Najib bukan saja ingin membuktikan sikap ingin terus melawannya terhadap serangan Tun Mahathir, bahkan mahu menunjukkan beliau benar-benar pahlawan Bugis yang masih ada sisa-sisa keberaniannya.
Tempat Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri dikatakan akan diambil alih oleh Zahid Hamidi manakala Hishammuddin yang merupakan sepupu Najib akan dikanankan lagi kedudukannya dengan diberikan portfolio Kementerian Kewangan untuk persediaan sebagai calon Perdana Menteri masa depan.
Shafie Apdal pula akan dipindahkan di kementerian lain yang kurang penting bagi mengekang pengaruh serta pergerakannya daripada terus memberi kesan negatif kepada Najib.
Sebuah agensi kerajaan yang berkaitan dengan perang saraf dikatakan telah menemui Najib beberapa minggu lalu dan mengemukakan cadangan yang antaranya ialah penyingkiran Muhyiddin daripada kerajaan dengan alasan "masa bertahan sudah berakhir" jika Perdana Menteri ingin terus kekal memimpin parti dan negara.
Agensi itu juga mahukan Najib memulakan fasa "menembak" dan "menyerang" pula selepas sekian lama mengambil pendekatan berdiam diri dan bertahan.
Selain itu, beberapa menteri juga difahamkan bakal digugurkan dalam rombakan yang akan dilakukan ini kerana Najib kini mula menyedari sebahagian daripada mereka hanya "bermain selamat" dan tidak membantunya menghadapi serangan, baik daripada Tun Mahathir atau pembangkang.
Antara pemimpin yang disebut-sebut bakal dimasukkan kembali ke dalam kabinet ialah Shahrir Samad, Pengerusi BNBBC yang sejak kebelakangan ini paling lantang mempertahankan Najib daripada serangan Tun Mahathir.
Najib dikatakan amat berpuas hati dengan cara, pendekatan dan hujah Ahli Parlimen Johor Bahru itu ketika membalas serangan yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.
Nama lain yang turut disebut bakal dibawa kembali ke dalam kabinet sejak dua tiga hari ini ialah Annuar Musa, Ahli Parlimen Ketereh kerana Najib ingin memanfaatkan keberanian dan kepetahan bekas menteri itu sebagai perisai barunya.
Dalam menghadapi serangan dan kritikan Tun Mahathir yang dijangka lebih panas selepas ini, Najib dikatakan tiada pilihan lain selain melantik Timbalan Perdana Menteri baru, menyusun semula kabinetnya dan meletakkan pemimpin senior yang berani seperti Shahrir Samad dan Annuar Musa untuk membentengi kedudukannya.
SUMBER: http://ift.tt/1KYLwtf
0 comments:
Post a Comment