SEJAK BILA USUL TAK PERCAYA DI PARLIMEN SUATU KESALAHAN JENAYAH?

shahbudindotcom

 
 
Gagal membuktikan kata-katanya untuk mendedahkan siapakah pemimpin UMNO yang dimaksudkannya sedang berusaha menggulingkan kerajaan melalui undi tidak percaya di Parlimen, Zahid Hamidi akhirnya berdalih dengan mengatakan telah menyerahkan segala maklumat berkaitan kepada pihak polis.

Kenapa serah kepada polis? Apakah mengusulkan undi tak percaya di Parlimen suatu jenayah?

Apa yang polis boleh lakukan sedangkan ia adalah urusan Ahli-Ahli Parlimen yang dibenarkan oleh perlembagaan?

Kalau jenayah, adakah menjatuhkan kerajaan Perak pada 2009 dahulu yang diketuai Najib Razak juga merupakan jenayah?

Begitu juga di Sabah sebelum ini di mana beberapa kali pertukaran kerajaan berlaku melalui aksi lompat-melompat wakil rakyatnya, adalah ia turut merupakan jenayah sama?

Pada mulanya memang ramai  yang bangga apabila Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Beliau adalah pemimpin Perak pertama dilantik ke jawatan itu. Ditambah dengan kedudukan Najib yang semakin lemah dan banyak masalah, ada yang mula berangan dan berdoa agar Zahid juga berjaya menduduki kerusi Perdana Menteri akhirnya.

Tetapi belum pun sampai sebulan, sudah ada yang malu mengaku berasal dari Perak. Tindakan Zahid yang gagal meletakkan dirinya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seolah-olah masih merasakan dirinya Ketua Pemuda UMNO atau Setiausaha Politik kepada Najib, membuatkan ramai yang kecewa dengan penampilannya.

Caranya menangani isu undi tak percaya yang dikaitkan dengan usaha menggulingkan kerajaan yang didedahkannya sendiri, menjadikan wataknya menjadi perbualan di mana-mana.

Sudahlah gagal mendedahkan siapa pemimpin yang dimaksudkannya itu, beliau juga dilihat "propa" apabila kata-katanya bahawa pemimpin tersebut akan berjumpa Perdana Menteri pada jam 6 petang Ahad lalu, turut tidak menjadi kenyataan.
 
 
 
 
Dengan selamba Zahid kemudiannya berkata, pemimpin terbabit membatalkan pertemuannya dengan Najib kerana "ramai wartawan menunggu di pintu masuk Seri Perdana."

Akhirnya wartawan pun turut diletakkan beban kesalahan atas kegagalan membuktikan kebenaran dakwaannya itu. Bukankah beliau sendiri yang mengatakan pertemuan itu akan diadakan pada hari Ahad jam 6 petang?

Adakah Zahid sebenarnya mengharapkan wartawan akan pergi bercuti atau bersiar-siar di KLCC apabila  beliau mendedahkan mengenai pertemuan itu? Bukankah kerja wartawan mengejar berita?

Setelah gagal mendedahkan siapakah pemimpin tersebut dan pertemuan dengan Najib itu pula tidak menjadi kenyataan, Zahid kemudian berkata, segala info mengenai perkara itu sudah diserahkan kepada pihak polis dan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya?

Kenapa berselindung di sebalik polis dan Peguam Negara? Bukankah ketika mendedahkannya pada Sabtu lalu, Zahid berkata, sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau akan berusaha menghalang undi tidak percaya itu daripada menjadi kenyataan?

Ini adalah isu politik dan ia seharusnya dihadapi secara politik. Alih-alih serah pada polis akhirnya. Sedarkah Zahid bahawa undi tidak percaya sama ada di Parlimen atau pun dengan membuktikan adanya majoriti lalu mengadap Agong, adalah dibenarkan dalam perlembagaan dan ia bukanlah plot dalam bentuk kekerasan atau angkat senjata.

Ahli Parlimen diberikan imuniiti untuk menukar kerajaan melalui kelebihan jumlah kerusi yang dimiliki berdasarkan politik itu sendiri adalah "game of numbers".

Ada PhD takkan tak faham mengenainya?

Anwar Ibrahim sendiri pernah berusaha melakukannya sebelum ini melalui "Projek 16 September"  sehingga Ahli-Ahli Parlimen BN dilarikan ke Taiwan untuk mengelakannya daripada menjadi kenyataan. 

Kenapa ketika itu Zahid tidak bersuara atau mahu membuat laporan polis? Adakah sebab Anwar, bekas "bosnya" yang melakukannya, maka ia tidak pula dianggap salah?

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar sendiri sebelum ini ada berkata, pihaknya tidak mencampuri urusan berkaitan parti, sebaliknya hanya melihat jika usaha itu bertentangan dengan perlembagaan saja.

Habis, buat apa Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri mahu membebankan polis lagi?
 
 
 
 
Soalnya, di mana letaknya mengumpul "nombor" di kalangan Ahli-Ahli Parlimen ini suatu kesalahan? Selain PKR dan DAP sudah sedia menyatakan sokongan, terbaru ini Pas juga sudah mulai senada. Barangkali ia mungkin disebabkan Pas turut tertipu dengan isu derma RM2,600 juta sebelum ini sehingga Haji Hadi Awang dan Dr Haron Din pada mulanya tidak percaya Najib sanggup menerima wang sebesar itu ke dalam akaun peribadinya.

Belum sampai sebulan menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri dan hanya melalui isu undi tak percaya yang secara jelas menampakkan kedangkalannya, sudah ramai yang menganggap penampilan Zahid sekarang ini hanyalah ibarat "penglipur lara" dalam kerajaan yang tempat itu sebelum ini dimonopoli oleh Hasan Malek yang sudah tiada dalam kabinet dan Ahmad Maslan sudah kurang merapunya sejak dipindahkan ke kementerian lain.

Apa lagi hiburan daripada Zahid selepas ini agaknya? 
 
 


SUMBER: http://ift.tt/1TVxFt8

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog