Bertanya tentang 1MDB tidak setia kepada Umno, soal Shafie



Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kiri) berkata kesetiaan beliau kepada parti bukan kerana terpaksa. Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada perasmian Mesyuarat Agung Umno Bahagian Semporna yang dirasmikan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. – Gambar The Malaysian Insider, 15 Ogos, 2015.Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kiri) berkata kesetiaan beliau kepada parti bukan kerana terpaksa. Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada perasmian Mesyuarat Agung Umno Bahagian Semporna yang dirasmikan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. – Gambar The Malaysian Insider    Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kegagalannya untuk mendapatkan jawapan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga disingkirkan daripada Kabinet, bukan bermakna beliau tidak lagi setia kepada parti. 
"Kesetiaan saya kepada parti bukan terpaksa," katanya yang sudah berjuang habis-habisan selama 30 tahun demi Umno.
  "Dengan bertanyakan soalan, ia tidak bermakna saya mengkhianati parti," kata Shafie dalam ucapan alu-aluan pada perasmian Mesyuarat Agung Umno Bahagian Semporna yang dirasmikan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

"Kami (Muhyiddin dan beliau) bertanya kerana kita ingin tahu.  "Rakyat yang kita wakili ingin tahu.
  "Kami, sehingga bila-bila adalah wakil rakyat," katanya.
  Shafie yang sebelum ini menegaskan beliau bukan seorang yang mengejar pangkat dan kedudukan berkata, pertanyaannya ke atas 1MDB adalah kerana ia memberi kesan kepada parti dan ahli Umno terpaksa menanggung beban itu.
  Beliau berkata, Umno mempunyai ahli yang cukup ramai berbanding parti lain.
  Shafie berkata, biarpun tidak lagi mempunyai kedudukan dalam kerajaan, beliau akan terus memperkukuhkan parti dan membangkitkan semua masalah yang boleh menjejaskan Umno.
  Beliau berkata, tidak ada makna jika pemimpin berjuang untuk melindungi kedudukan mereka dalam parti sedangkan tidak berani menangani isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan parti.
  "Apa gunanya berjuang untuk jawatan?
  "Saya bukan jenis macam itu, tetapi apa yang saya bimbang ialah apabila rakyat menolak kita, kerana kita tidak melakukan apa-apa untuk memperkukuhkan parti."
  Beliau berkata, ketika beliau membangkitkan persoalan mengenai syarikat pelaburan negara itu: "Saya tidak takut kehilangan kedudukan saya (dalam Kabinet) kerana saya mempertahankan kepentingan rakyat."
  "Saya tidak kejarkan kedudukan. Saya tidak kejarkan kekayaan."
  Shafie berkata, jika beliau jenis orang sepeti itu, beliau akan diamkan sahaja, menutup mulutnya kerana beliau sudah dinasihatkan oleh beberapa ahli Umno dan "menjaga kerusi panas (Kabinet)".
  Bagaimanapun, beliau memberitahu 2,000 perwakilan dan 700 pemerhati serta tetamu yang hadir, beliau enggan tunduk kepada ancaman sedemikian.
  "Mengapa bertanya tentang 1MBD adalah salah?"
  Shafie berkata walaupun beliau tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan, beliau akan terus meningkatkan kesejahteraan rakyat di Semporna.
  "Saya sedar akan halangan dan cabaran di hadapan saya sekarang, tetapi percayalah, saya akan terus berjuang untuk apa yang sepatutnya menjadi milik mereka."     

SUMBER: http://ift.tt/1Jj37wq

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog