BATU PAHAT, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengakui hakikat bahawa Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak diberitahu mengenai wang derma yang diperoleh parti itu.


“Apa yang saya tahu, sepanjang kehadiran saya, kita tidak diberitahu pun,” katanya di dalam sidang media selesai merasmikan penutup Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Parit Sulong hari ini.

Meskipun tidak dimaklumkan kepada ahli MT, Shafie berkata bahawa hal berkenaan wang derma untuk Umno itu diberitahu di dalam mesyuarat Kabinet.

“Saya cuma dimaklumkan dalam Kabinet. Itu saya diberitahu dalam mesyuarat Kabinet yang terakhir saya hadiri. Dalam mesyuarat MT tidak ada,” jelasnya lanjut.

Beliau mengulas berkenaan isu wang derma yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM2.6 billion.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan RM2.6 billion di dalam akaun peribadi Najib adalah daripada sumbangan penderma dari Timur Tengah yang digunakan bagi tujuan kempen politik.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Tan Sri Shahrir Abdul Samad juga sebelum ini dilaporkan berkata, sejak zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir MT Umno dan juga Badan Perhubungan Umno Negeri tidak pernah dimaklumkan apa-apa sumbangan dan derma politik yang diperolehi oleh presiden atau bendahari parti.