Najib perdana menteri paling lemah



Oleh RAYUSA 

CITRA dan keperibadian pemimpin Islam dahulu (dalam hal ini Islam diambil sebagai contoh kerana di manamana dan bila-bila pun Islam mesti yang teratas) yang kayaraya sebelum bergelar pemimpin menjadi miskin setelah terpilih memegang amanah tersebut.

Perlu diketahui dan diingati bahawa orang Islam dahulu juga dengan rendah hati dan berhemah enggan menerima jika dipilih menjadi pemimpin kerana merasakan ia satu tanggungjawab yang sangat besar dan terlalu berat.

Amat berbeza dengan pemimpin Islam hari ini yang meskipun miskin atau hidup susah/sederhana sebelum dipilih (baca: ada yang berusaha dengan apa cara pun untuk menjadi pemimpin) kaya-raya setelah menjadi pemimpin, misalnya sebagai wakil rakyat.

Antara tanda akhir kiamat ialah semakin banyak orang bodoh atau bukan ahli menjadi pemimpin, sedangkan orang pandai atau ahli dipimpin dan tertindas – ertinya, sesuatu bidang dikendalikan oleh yang bukan ahli.

Seseorang pemimpin perlu lebih baik dan bijak daripada orang yang dipimpin atau rakyat. Pemimpin apa kalau tidak cerdik dan dia yang perlu dipimpin? Pemimpin adalah orang yang memimpin, bukan dipimpin.

Sememangnya dia juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada salah dan silap. Walau bagaimanapun, kesalahan dan kesilapan itu jangan pula sehingga menjahanamkan pimpinan dan komuniti yang dipimpinnya.

Pemimpin sejati perlu sedar dia hanya seorang pemimpin, bukan berkuasa mutlak dan mengambil kesempatan menindas orang yang dipimpinnya. Dia tidak menguasai segala yang ada merangkumi ekonomi dan media atau perhubungan raya. Oleh kerana itulah setiap pemimpin Islam amat wajar mencontohi sikap Sayidina  Umar al-Khattab selepas dilantik menjadi khalifah Islam kedua menggantikan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq.

Sayidina Umar mengakui beliau bukan yang terbaik dalam kalangan umat Islam. Namun demikian, beliau sanggup memikul tanggungjawab yang diamanahkan dan bersedia pula meminta kerjasama rakyat yang dipimpinnya. Beliau langsung tidak berniat untuk menindas dan menjalankan pemerintahan kuku besi meskipun kebengisan, kegarangan, keberanian dan ketegasannya sudah cukup dikenali dunia Islam ketika itu.

Antara katanya yang masyhur ialah: “Aku bersedia menjadi khalifah menggantikan Abu Bakar.
Tetapi, silalah menegur andainya aku melakukan kesilapan dan kesalahan sepanjang menjalankan tugas.”

Bangun seorang rakyat yang dengan tegas menghunus pedang sambil berkata, “Aku akan betulkan kamu dengan pedang ini, ya Amirulmukminin!”

Namun begitu, Umar tidak marah atau mengamuk.

Sebaliknya, beliau gembira dan bersyukur kerana ada rakyat yang bersedia untuk menegur jika beliau melakukan kesalahan agar perkara itu dapat diatasi untuk kepentingan bersama. Orang itu tidak dimarahi, dipukul atau dipenjarakan, apatah lagi dibunuh oleh Umar.

Umar langsung tidak sebagaimana pemimpin Islam hari ini yang pantang ditegur. Jika ditegur, orang yang menegur itu akan dikenakan tindakan tertentu seperti dipecat daripada jawatan, ditukarkan tempat bertugas dan sebagainya.

Malang sekali, kepimpinan negara kita sekarang amat buruk.
Ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri kelima, beliau dianggap lemah, dan langsung tidak berwibawa.

Walau bagaimanapun, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak yang menggantikannya lebih lemah, malah boleh dianggap sebagai perdana menteri paling lemah dalam sejarah pentadbiran negara. Perdana menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengakuinya. Beliau malah tidak menyangka bahawa Najib lebih lemah daripada Abdullah!

Mungkin tidak perlu diulang lagi dalam tulisan ini kerana kita semua sedia maklum. Cuma, kekesalan dan kesedihan sangat dirasai kerana antara kesan negatif daripada pentadbiran Najib ialah Ringgit Malaysia merudum paling teruk dalam sejarah negara. Belum pernah mana-mana menteri kewangan, termasuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjahanamkan mata wang negara kita.

Namun begitu, malang sekali setelah “berjasa” sebegitu besar pun, Najib tetap mengekalkan dirinya sebagai menteri kewangan dalam rombakan Kabinet pada 28 Julai lalu. Di mana letaknya fikiran dan rasa malu beliau? Adakah beliau memang tertekan kerana perlu mengikut (kemahuan) “kekuasaan” isterinya,
Datin Seri Rosmah Mansor sebagaimana yang telah lama menjadi “buah mulut” rakyat hingga tidak mahu/boleh melepaskan jawatan tersebut?

Setelah memberikan “persembahan” yang buruk dalam hampir semua aspek pentadbiran tanahair, Najib masih tebal muka tampil di seluruh negara dan dunia berucap atau merasmikan pelbagai acara. Langsung tiada rasa malu.

Yang kelihatan di dada akhbar dan televisyen – pastinya arus perdana - adalah penampilan Najib yang hebat dan meyakinkan.

Ini kerana beliau telah menguasai media negara. Dengan penguasaan mutlak terhadap media, tentulah yang mulus dan indah sahaja yang disiarkan.

Jika menteri berkaitan dianggap kurang memenuhi kehendaknya, Najib akan membuat pertukaran.
Barangkali ada yang tidak kena dengan Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek hingga ditukar dari kementerian komunikasi dan multimedia ke kementerian pertanian dan industri asas tani.

Tempat Shabery digantikan oleh Dato’ Mohd Salleh Keruak.

Mungkin Najib merasakan Salleh sesuai dengan kementerian itu.

Namun demikian, berdasarkan prestasi Najib, beliau hanya akan memilih orang yang boleh mempertahankannya. Mungkin juga pelantikan Salleh untuk terus menawan hati pengundi Sabah.

Najib juga tidak boleh ditegur atau dikritik, sama seperti pengkiitik nombor satunya sekarang, Mahathir. Beliau telah memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan.

Lebih bijak daripada rakyat memang perlu kerana pemimpin bertanggungjawab membawa perubahan positif. Kemajuan dan pembangunan positif tidak mungkin dapat dicapai atau dijana oleh kebodohan dan kejumudan pemikiran. Kalau rakyat yang lebih bijak, rakyat tersebut yang wajar menjadi pemimpin.

Berdasarkan apa yang telah berlaku, Najib bukan seorang pemimpin yang lebih bijak daripada rakyat. Jika ada yang tetap mengatakan beliau bijak, kebijaksanaan itu tidak berguna - hanya membawa keburukan. Dimaklumi, Najib telah melaksanakan pemberian BR1M.

Langkah itu bukan bijak. Mahathir sendiri menentang. Pemberian BR1M juga dianggap sebagai rasuah dan menyebabkan negara berbelanja besar.

Najib berasal daripada keluarga kaya. Beliau tidak pernah hidup susah. Walau bagaimanapun, ahli Parlimen Pekan itu semakin kaya selepas menjadi perdana menteri.

Baru-baru ini heboh pula RM2.67 bilion dalam akaun beliau yang akhirnya dikatakan adalah derma oleh SPRM, bukan daripada 1MDB.

Beliau turut tersenarai sebagai antara 10 individu terkaya di Malaysia.

Sekarang kebanyakan rrakyat semakin marah dan benci dengan pemimpin yang mengamalkan rasuah.
Menerima hukuman atas kesalahan rasuah juga kini bukan lagi jaminan untuk diterima semula oleh rakyat.
Hukuman tersebut tidak semestinya telah mencuci atau menebus dosa pemimpin terbabit. Rasuah telah dilakukan dan tiada jaminan tidak akan dilakukan lagi selepas terpilih semula sebagai pemimpin.

Selain BR1M sebagai penambat hati rakyat (yang masih buta/ pekak dan bisu), Najib juga telah “menutup mulut” ketua bahagian Umno dengan pemberian wang yang lumayan. Jadi, rasuah menyelamatkan Najib meskipun semakin memusnahkan negara.

Justeru, sama ada terpilih kerana rasuah dan terus mengamalkan rasuah setelah menjadi pemimpin, rakyat mesti menolak pemimpin berkenaan. Dalam kata lain, rakyat perlu menolak Najib dan Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Yakinlah. Pemimpin yang naik kerana rasuah, kemudian gagal mengatasi segala permasalahan dan cuma tahu berkuasa serta mengumpulkan kekayaan peribadi akan segera jatuh. Dia akan musnah kerana rakyat mempunyai kuasa untuk menaikkan dan menjatuhkannya. Kalau rakyat sudah benci, tamatlah riwayat politiknya!



SUMBER: http://ift.tt/1LbAoqV

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog