Tragedi Lahad Datu beri pengajaran pentingnya kesatuan rakyat pertahan kedaulatan negara: Musa


SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, berkata tragedi di Lahad Datu dan Semporna merupakan satu catatan sejarah hitam sekali gus memberikan pengajaran berharga tentang peri pentingnya kesatuan dan patriotisme rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, penganjuran Program Semarak ESSCOM yang bertemakan ‘Bersama Menjana Kesejahteraan’ sememangnya amat bertepatan ke arah menyemarakkan lagi semangat patriotik dan setia kepada negara.



“Kita amat berterima kasih kepada kerajaan pusat terutamanya Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang segera mewujudkan ESSCOM atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) susulan insiden pencerobohan yang mengejutkan kita semua berlaku pada awal tahun ini,” katanya.



Ketika berucap di Majlis Perasmian Program Semarak Bersama ESSCOM dan Pelancaran Portal ESSCOM di Dewan Masyarakat, di sini, kelmarin katanya usaha tersebut telah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam usaha mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.



Menurut beliau, kerajaan komited bagi menjayakan pelaksanaan ESSCOM yang merupakan agensi penguatkuasaan keselamatan di kawasan ESSZONE termasuklah menyediakan peruntukan kewangan untuk pembangunan infra dan aset berserta sumber manusia selain kemudahan yang diperlukan.



Di mana, tambahnya, kesungguhan kerajaan dapat dibuktikan menerusi pembentangan dalam Belanjawan Negara 2014 apabila menyediakan peruntukan yang besar sebanyak RM75 juta untuk ESSCOM semata-mata menjaga kedaulatan dan keselamatan rakyat negeri ini.



“Kesungguhan pihak kerajaan sudah pasti mengukuhkan lagi operasi ESSCOM dan pada masa sama pula turut bersetuju untuk membina lima lagi kem batalion pasukan keselamatan yang akan ditempatkan di ESSZONE seperti diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini,” ujarnya.



Mengulas lanjut, Ketua Menteri menegaskan penyertaan dan kerjasama daripada pelbagai jabatan dan agensi sangat penting dalam memantapkan kefahaman serta pengetahuan rakyat mengenai peranan dan fungsi ESSCOM.



Musa percaya melalui program itu masyarakat akan dapat memanfaatkan peluang ini untuk bekerjasama dengan semua agensi penguatkuasa, keselamatan dan penguatkuasaan khususnya pihak ESSCOM bagi memastikan keamanan sentiasa terjamin.



“Saya juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak pengurusan ESSCOM yang berjaya menerbitkan edisi khas Buletin ESSCOM dan mewujudkan portal berita ESSCOM Times yang memuatkan maklumat-maklumat sahih dan terkini berkaitan ESSCOM terutama yang melibatkan soal-soal keselamatan di ESSZONE.



“Harapan saya dengan penerbitan buletin berkenaan dan portal beritanya, rakyat akan dapat mendapat maklumat yang sahih dan tepat berhubung keadaan keselamatan di samping berpeluang mengikuti perkembangan terkini ESSCOM dari semasa ke semasa.



“Malahan, portal berita seumpamanya juga mampu membantu menangkis serta memberi penjelasan terhadap isu-isu keselamatan yang sering dimanipulasi pihak-pihak tertentu bagi menimbulkan rasa takut dan tidak selesa dalam kalangan rakyat,” kata beliau.



Sementara itu, dalam satu temubual bersama Radio Sandakan FM, Ketua Menteri turut memuji komitmen anggota pasukan keselamatan yang bertugas siang dan malam semata-mata untuk menjaga keamanan negara.



Sambil menghargai pengorbanan yang tidak ternilai itu, dia berkata kerjasama rakyat amat diperlukan dari segi memberikan maklumat bagi membolehkan pasukan keselamatan dapat bertindak cepat.



New Sabah Times





SUMBER: http://bayausbh.blogspot.com/2013/11/tragedi-lahad-datu-beri-pengajaran.html

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog