Hati-Hati, Rakyat Sedang Cuba Dikelirukan Daripada Isu Pokok RM2.6 Bilion

shahbudindotcom


Untuk mereka yang mungkin sudah terlupa, sengaja lupa atau buat-buat lupa, isu pokok yang sedang dihadapi negara ketika ini ialah berkenaan pengaliran wang sejumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Najib Razak.

Isu ini yang didedahkan oleh The Wall Street Journal (WSJ) sangat memerlukan penyelesaian segera ia kerana ia menjejaskan nama Perdana Menteri dan juga imej negara di mata dunia.

Rakyat juga ingin benar mengetahui kebenarannya supaya boleh menentukan sama ada mahu mengekalkan Perdana Menteri yang sama atau menukarnya dengan pemimpin lain.

Oleh kerana jawapan Najib masih kabur mengenai wang tersebut,  orang kampung dan makcik-makcik Felda mula menyoal, "apa nak dibuat dengan duit sebanyak itu?"

Sementara Najib tidak menafikan secara jelas berkenaan kemasukan wang tersebut, sebaliknya hanya berkata, "saya tidak ambil wang 1MDB untuk kegunaan peribadi", tetapi pasukan petugas khas  yang diketuai oleh Peguam Negara mengesahkan akaun bank yang didedahkan itu adalah miliknya dan sudah ditutup.

Bagaimanapun bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dalam tulisan di blognya seolah-olah mendapat maklumat yang sah bahawa wang RM2.6 bilion itu memang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib dan sebahagiannya telah digunakan untuk keperluan pilihanraya 2013 lalu.

Terdapat juga cakap-cakap dalam UMNO yang mengatakan bahawa Najib ada mengakui mengenai wang tersebut, namun menjelaskan ianya digunakan untuk mengurus parti dan perbelanjaan dalam pilihanraya.

Tetapi jika semua 222 kawasan Parlimen dalam pilihanraya lalu diberikan RM2 juta misalnya, bermakna tidak sampai RM500 juta pun wang itu dibelanjakan?

Di manakah lebihannya yang lain? 

Kiranya Najib mengatakan beliau tidak pernah menggunakannya untuk kegunaan peribadi, siapakah yang dapat mengesahkannya atau adakah sesiapa mengaudit akaun peribadinya?

Dengan ini, rentetan daripada pelbagai pendedahan mengenai 1MDB, isu wang RM2.6 bilion yang didakwa berada dalam akaun peribadi Najib adalah suatu perkara besar yang menjadi perhatian rakyat dan dunia sekarang ini.

Ia bukan sekadar boleh menjejaskan nama negara dan keyakinan rakyat, malah mencemarkan nama Tun Razak yang dikenali cukup sederhana dan berintergriti tinggi dalam memelihara amanah sebagai pemimpin.

Isu betul atau tidak berkenaan wang RM2.6 bilion ini sebenarnya cukup mudah jika Najib berani berterus terang. Kalau benar, mengakulah dan jika tidak benar, nafikannya berserta bukti-buktinya sekali.

Mengungkapkan kata-kata, "saya tidak pernah guna wang 1MDB untuk kepentingan peribadi" dan "saya tidak akan khianati amanah rakyat" bukan saja jauh daripada jawapan yang tepat, tetapi iuga boleh menimbulkan pelbagai tafsiran yang lain.

Oleh kerana pasukan petugas khas sudah ditubuhkan untuk menyiasatnya, kini rakyat negara ini dan dunia ternanti-nanti apakah hasil penyiasatannya nanti.

Akhbar perniagaan WSJ yang mendedahkan perkara itu juga tetap berpegang teguh dengan pendirian mereka, meskipun setelah menerima surat daripada peguam Najib. Ini bermakna WSJ sedia berhujah di mahkamah untuk membuktikan wang RM2.6 bilion itu pernah mengalir masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Jika pada awalnya ramai yang agak skeptikal terhadap pasukan petugas in kerana mereka perlu melaporkan hasil siasatan kepada Perdana Menteri yang dalam masa sama merupakan suspek, perkembangan selepas Hari Raya ini lebih caca-marba jadinya.

Serangan dan kritikan terhadap Najib nampaknya mulai dikalihkan dengan dakwaan mahu menjatuhkan Najib dan menggulingkan kerajaan yang dianggap suatu kesalahan. Selain Sarawak Report sudah disekat oleh SKMM, beberapa individu daripada pembangkang dan media juga mulai diancam untuk disiasat, terutama yang pernah bertemu dengan bekas Pengarah PetroSaudi International, Xavier Justo yang kini ditahan di Thailand.

Pemimpin politik kerajaan, pihak polis, malah Ketua Setiausaha Negara turut tampil bercakap mengenainya seolah-olah apa yang sedang berlaku ialah usaha menggulingkan kerajaan secara kekerasan. Hakikat bahawa hanya Najib yang terpalit dengan pelbagai keburukan yang mahu disingkirkan dan untuk menyelamatkan negara seboleh-bolehkan cuba disembunyikan.

Jika Tun Abdullah boleh diturunkan, apakah Najib terlalu suci untuk dihadapkan nasib yang sama? Bukankah menjatuhkan pemimpin merupakan permainan dan asam garam dalam politik demokrasi?

Tidakkah sejarah politik kita sendiri menyaksikan pemimpin bukan saja dijatuhkan ketika pilihanraya, bahkan juga di pertengahan penggal kerana kesalahan jenayah dan moral yang mereka lakukan?

Apakah Tun Abdullah yang cuma membenarkan "geng tingkat 4" menguasainya sehingga keputusan pilihanraya 2008 begitu merosot dan kemudian diturunkan dianggap telah melakukan dosa lebih besar daripada pelbagai skandal berkaitan 1MDB dan dakwaan berkaitan RM2.6 bilion melibatkan Najib sekarang ini?

Selain daripada isu menggulingkan kerajaan, pasukan petugas juga mula menahan beberapa individu yang ada kaitan dengan 1MDB. Sehingga ini dua orang sudah ditahan iaitu Jerome Lee Tak Loong dan Dr Shamsul Anwar Sulaiman untuk membantu penyiasatan.

Sebagaimana yang dipersoalkan oleh Rafizi Ramli, rakyat juga secara umumnya mulai tertanya-tanya, sudahkah Najib sendiri disiasat oleh pasukan petugas khas itu?

Menambahkan lagi caca-marba ialah berikutan wujudnya sekatan ke luar negara keatas beberapa pemimpin pembangkang seperti Rafizi Ramli dan Tony Pua serta tauke media, Tong Koi Ong yang menerbitkan The Edge yang diketahui banyak menyiarkan mengenai 1MDB.

Menyusul lagi hari ini, Tian Chua, Maria Chin Abdullah, Hishammudin Rais dan Adam Adli  juga menerima nasib yang sama. Ambiga Sreenavasam pula dilaporkan hanya dilarang ke Sabah dan Sarawak saja.

Apakah sekatan ke luar negara ini berkaitan dengan 1MDB atau dakwaan menggulingkan kerajaan? Jika kerana 1MDB, apa perlunya sekatan itu dikenakan kerana mereka bukannya suspek, sebaliknya cuma lantang mendedahkan pelbagai isu mengenai syarikat pelaburan itu saja?

Sementara suspek sebenar bebas ke mana saja, sekatan perjalanan ini juga seolah-olah ingin memberi gambaran mereka ini benar-benar merbahaya dan merupakan ancaman kepada negara sedangkan pendedahan yang mereka lakukan lebih membawa kebaikan untuk kita semua.

Dalam kita menanti penuh sabar dan debar hasil siasatan pasukan petugas khas itu, isu pokok yang perlu diberi perhatian dan dicari kebenaran yang sebenar ialah berkaitan wang RM2.6 bilion itu. Tidak harus sesiapa lari daripadanya.

Itulah isu sebenarnya, bukan yang lain-lain yang muncul satu persatu kebelakangan ini. 


SUMBER: http://ift.tt/1MmRNyO

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog