KUCHING Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menghantar laporan penuh kepada Wisma Putra, berhubung isu insiden helikopter yang terbang ke kawasan Kalimantan.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, insiden itu bukanlah satu pencerobohan, sebaliknya ia berpunca daripada keadaan bentuk muka bumi di kawasan berkenaan.

“Kami sepatutnya mendarat di Sungai Melayu berhampiran sempadan, tetapi tempat pendaratan helikopter ditenggelami air.

“Juruterbang membuat keputusan untuk mendarat di kawasan lebih baik, tanpa menyedari ia telah memasuki sempadan Indonesia dan tempat pendaratan helikopter yang kami nampak itu milik Tentera Indonesia,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Polis Sarawak di Masjid Al Mujahidin, Kompleks Kuarters Polis, pada Rabu.

Ahmad Zahid berkata, keadaan muka bumi yang mencabar itu merupakan punca juruterbang melangkaui sempadan negara dan ia bukan salah juruterbang berkenaan.

Selepas mendarat di kem Tentera Indonesia, helikopter itu kemudiannya berpatah balik ke sempadan Malaysia dan mendarat di Balai Polis Wallace Bay yang juga sebahagian daripada lawatan beliau.

Ahad lalu, Ahmad Zahid dijadualkan melawat beberapa balai polis di pedalaman Sabah, berhampiran sempadan Indonesia.

Media Indonesia, Kompas melaporkan, helikopter Sabah Air yang membawa Ahmad Zahid dan rombongannya, menghadapi masalah mendarat dan situasi itu disedari Tentera Nasional Indonesia yang sedia memberi bantuan, sekiranya diperlukan.

“Saya berharap kedua-dua media tempatan dan antarabangsa tidak memanipulasi situasi sebenar,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, KDN juga telah menghantar laporan kepada Kedutaan Indonesia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung insiden itu dalam minggu ini.