Siaran TV Digital Sepenuhnya Hujung 2016

RAKYATNEWS

alt


KUANTAN  - Siaran televisyen digital atau Digital Terestrial Televisyen (DTT) dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara pada hujung tahun depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata sebagai permulaan MYTV Broadcasting (MYTV), selaku pihak bertangungjawab membangun dan menguruskan infrastruktur itu, telah memasang alat pemancar atau 'transmitter' untuk siaran ujian di tiga tempat di pantai timur iaitu Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Bakar, Kelantan dan Bukit Pelindung di sini.

"Kami menjangkakan pada Januari depan, semua daerah di Pantai Timur ini mula menerima siaran daripada MYTV Broadcasting (MYTV).
  
"Pemasangan set decoder di rumah-rumah yang terpilih telahpun dimulakan pada 17 Mei lalu dan ini merupakan sebahagian fasa ujian MYTV di daerah-daerah berkenaan," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pemasangan set dekoder siaran ujian MYTV di kediaman seorang daripada peserta siaran ujian berkenaan iaitu A Rahman Abu Bakar di Kampung Rumbia di Beserah, di sini hari ini.  
  
Ahmad Shabery berkata kempen siaran ujian MYTV akan diperluas ke Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat sebelum ke utara dan selatan Semenanjung dan seterusnya berakhir di Lembah Klang menjelang hujung tahun ini.
  
Untuk peringkat percubaan ini, katanya sebanyak dua juta set dekoder percuma akan diedarkan di seluruh negara untuk diberikan kepada isi rumah yang terpilih.
  
Antara kriteria yang ditetapkan untuk peserta menerima siaran ujian  MYTV ini mereka mestilah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), e-Kasih, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta tidak melanggan perkhidmatan tv berbayar, katanya.
  
Beliau berkata set dekoder yang diedar itu hanya bersifat sementara dan akan digantikan dengan dekoder sebenar MYTV secara percuma setelah perkhidmatan siaran tv digital dilaksanakan sepenuhnya pada awal tahun depan.

"Berdasarkan tinjauan tadi, saya amat berpuas hati kerana walaupun kualiti siaran adalah 'standard definition', namun ia hampir menyamai 'high definition' dan ini akan menjadi asas kepada siaran digital," katanya.
  
Ahmad Shabery berkata buat masa kini sebanyak 40 penyiar telah menunjukkan minat terhadap platform yang disediakan oleh MYTV ini yang akan membolehkan pengguna menerima lebih banyak siaran percuma.
  
"Namun pengguna perlu faham tidak semua rancangan yang ada dalam siaran televisyen berbayar seperti Astro dan HyppTV ada di dalam siaran DDT kerana kami mempunyai pakej yang berbeza," katanya.
  
Kempen siaran percubaan MYTV ini membolehkan isi rumah yang terpilih menikmati semua saluran sedia ada seperti TV1, TV2, TV3, NTV7, TV8, TV9, dan TV AlHijrah dalam kualiti transmisi digital. - Bernama




SUMBER: http://ift.tt/1IYd8cc

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog