DALIA ISMAIL, AZIZI SUNIP, JAY KHAIRUL
Antara pilihan dan terpaksa, golongan gelandangan masih mahu menyambut hari Lebaran, seperti umat Islam yang lain. - Foto TRP
KUALA LUMPUR- Ramadan yang pergi dan Syawal yang bakal menjelma esok bagaikan tiada erti bagi golongan gelandangan di ibu kota, Kuala Lumpur.
Bagi golongan gelandangan ini, hari raya adalah seperti hari-hari biasa yang lain.
Tiada istilah baju baru, memasak makanan tradisional seperti rendang, atau pulang ke kampung halaman untuk bertemu keluarga dan sanak saudara tercinta di malam hari raya.
Namun, walaupun kecewa, mereka tetap menerima perjalanan hidup bergelandangan ini sebagai takdir yang tidak perlu dikesali.
Bagi pasangan suami isteri, Zainal Mustafa, 31 dan isterinya Siti Safura Mohd Shaban, 36, yang baru enam bulan bergelandangan, hari raya tahun ini tidak memberi apa-apa makna kepada mereka apatah lagi terpaksa membesarkan anak perempuan mereka, Siti Zulaikha yang baru berusia sembilan bulan.
Sejak enam bulan lalu, keluarga ini berpindah-randah mencari tempat untuk tidur yang selamat dan sejak tiga hari lalu mereka tidur beralaskan kotak di persisir pejalan kaki di bangunan Segi College, yang tidak jauh dari bangunan Anjung Singgah yang menempatkan rumah tumpangan sementara untuk gelandangan di ibu kota.
Zainal yang berasal dari Sandakan, Sabah pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi dibuang kerja oleh majikannya, enam bulan lalu.
“Tanpa pendidikan tinggi, saya gagal mendapatkan pekerjaan dan wang simpanan kami juga sudah habis.
“Dulu kami menyewa rumah kemudian terpaksa menyewa bilik, tapi kini kami terpaksa hidup bergelandangan sebab tidak ada cukup wang,” kata Zainal ketika ditemui The Rakyat Post.
Siti Safura yang sibuk memilih pakaian kanak-kanak yang dikumpul untuk diberikan kepada gelandangan oleh satu badan bukan kerajaan berkata, beliau tidak sedih terpaksa behari raya tahun ini sebagai gelandangan.
“Saya tidak rasa sedih. Kawan-kawan dari NGO begitu prihatin. Mereka cuba buat kita ceria di malam raya, jadi kita tak perlulah nak rasa sedih pula,” katanya.
Pasangan ini juga tidak merancang untuk pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya kerana keluarga belum tahu keadaan mereka.
“Lagipun kita tidak tahu apa dalam hati orang. Kami tak mahu jadi bahan tawa orang,” kata Siti Safura yang berasal dari Klang dan mempunyai empat adik beradik ini.
Sementara itu, bagi Zainal, sebagai suami, beliau sedih kerana gagal menyediakan tempat tinggal yang sempurna untuk keluarganya, lebih-lebih lagi hari raya yang bakal menjelma esok.
“Sedih memang sedih. Tak sangka hidup saya begini, tapi ada rakan yang beri semangat dan isteri juga beri sokongan. Mungkin kami tidak lama jadi begini. Jika dapat pekerjaan tetap, masalah akan selesai.
“Saya tidak mahu menyusahkan ahli keluarga, kami rahsiakan apa yang berlaku,” ujarnya yang hanya berniaga di pasar karat di Jalan Petaling dan menambah, pendapatannya hanya cukup untuk makan mereka sekeluarga.
Zainal berkata, beliau tetap berusaha mencari pekerjaan tetapi bagi meningkatkan ekonomi keluarga dan keluar dari kehidupan bergelandangan.
Buat pertama kali, Zainal Mustafa bersama isteri dan anaknya terpaksa hidup bergelandangan ketika tibanya bulan puasa dan sambutan hari raya kerana hilang pekerjaan dan terputus sumber pendapatan sejak enam bulan lalu.
Berlainan pula dengan Muhammad Othman, 63, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan dan telah bergelandangan selama 15 tahun di ibu kota.
“Masuk tahun ini, sudah tiga tahun saya tidak pulang menyambut hari raya bersama tiga orang anak.
“Pakcik suka hidup begini, anak-anak tidak ganggu. Lagipun, pakcik tidak sesuai dengan anak menantu dan pakcik suka hidup sendiri,” kata Muhammad yang pernah bekerja sebagai seorang pemandu lori sebelum ini.
Walaupun anak-anank tidak pernah datang melawat, Muhammad berkata beliau tidak berdendam dengan mereka.
“Cuma ada rasa terkilan kerana tidak dapat bersolat raya dengan mereka, tapi kawan-kawan senasib di sini masih menceriakan dan kami akan berhari raya bersama,: katanya dan menambah sudah tiga tahun beliau tidak merasa memakai baju Melayu untuk bersolat sunat Aidilfitri.
Katanya, yang penting baju yang dipakai bersih dan boleh digunakan untuk bersolat dan biasanya mereka akan pergi bersolat Hari Raya di Masjid India, Kuala Lumpur.
Selama menjadi gelandangan, Muhammad berkata beliau tidak pernah meninggalkan solat fardu dan berpuasa.
“Walaupun tiada rumah yang sempurna dan tidur di tepi jalan, tidak bermakna kita tinggalkan suruha Allah,” katanya.
Muhammad Othman telah bergelandangan selama 15 tahun di ibukota. Sudah tigatahun dia tidak pulang menyambut hari raya bersama tiga orang anaknya.
Sementara itu, Norjahan Bibi, 65, yang berasal dari Meru, Klang berkata beliau menjadi gelandangan selepas kematian suaminya.
Beliau yang tidak mempunyai cahayamata sebelum ini pernah bekerja sebagai pencuci bangungan di kolej di Nilai.
Walaupun kini hidup sebatang kara dan menagih simpati orang lain, beliau merasa tenang berbanding ketika menumpang bersama adik beradiknya.
Norjahan Bibi, hidup sebatang kara, menjelang hari raya dia rindu nak makan rendang yang dimasak sendiri.
“Makcik tidak mahu mengganggu mereka kerana makcik orang miskin. Tahun ini sudah ada baju raya yang orang (NGO) bagi. Raya pun macam hari-hari biasa, jadi makanlah apa yang orang sedekah.
“Makcik ini tunggu masa Tuhan panggil, tapi makcik tetap rasa seronok kerana Tuhan masih sayangkan makcik,” ujarnya yang memberitahu pernah dua kali diserang sakit jantung ketika hidup bergelandangan.
Ktanya, beliau suka mejadi gelandangan kerana tiada yang mengganggu dan pada pagi raya beliau akan pulang ke Meru, semata-mata untuk melawat kubur suaminya.
“Makcik tak mahu jumpa sesiapa pun kerana adik beradik pun buat tidak tahu kerana makcik tak mahu susahkan hidup mereka,” katanya.
Ditanya apa yang dirindui pada hari raya, dengan suara perlahan beliau mejawab: “Rindu nak makan rendang yang dimasak sendiri, tapi tak ada apa-apa di sini untuk dimasak.”
LIHAT VIDEO DI SINI
SUMBER: http://ift.tt/1HCH3GZ
0 comments:
Post a Comment