shahbudindotcom
Tentunya ramai yang tertunggu-tunggu tarikh 7 Julai depan di mana Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Shafie Apdal sudah berjanji untuk memberi ulasan atau penjelasan mengenai pembelian empat hartanah oleh Mara di Australia yang menimbulkan kontroversi di kalangan rakyat.
Sebagaimana yang dilaporkan, Shafie akan membuat penjelasan itu dalam majlis berbuka puasa anjuran German Malaysian Institute pada tarikh tersebut.
Pada mulanya, melalui pendedahan oleh akhbar The Age, hanya apartment di Dudley International House yang didapati dibeli dengan harga lebih tinggi sebanyak RM13.7 juta yang kemudian didakwa dikembalikan dalam bentuk rasuah kepada beberapa pihak dalam Mara Inc yang menguruskan pembelian itu.
Tetapi melalui pendedahan selanjutnya oleh NOW atau National Oversight and Whistleblowers yang diketuai oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, rupa-rupanya tiga lagi hartanah tersebut turut juga dibeli dengan harga yang lebih tinggi daripada pasaran.
Melalui penyiasatan yang dilakukannya, NOW mendapati perbezaan harga belian berbanding harga pasaran bagi keempat-empat hartanah yang dibeli oleh Mara itu ialah kira-kira RM129 juta yang dipercayai diselewengkan dalam bentuk rasuah dan kepentingan peribadi.
Lantaran itu, NOW kini mempersoalkan ke mana dan masuk ke poket siapa wang berjumlah RM129 juta tersebut?
Lalu, tentu saja menarik untuk menunggu apakah ulasan dan penjelasan oleh Shafie Apdal pada 7 Julai nanti?
Jika dalam ulasan awalnya sebelum ini mengenai pembelian apartment di Dudley, beliau mengatakan semuanya mengikut prosedur yang ditetapkan dan hanya terdapat satu perjanjian saja dalam pembelian itu atau maksud tersiratnya ingin memberitahu tiada sebarang unsur rasuah berkaitan dengannya, apakah penjelasannya pada 7 Julai nanti menjurus ke arah mempertahankan Mara Inc juga?
Dalam isu 1MDB, Shafie Apdal adalah antara menteri yang jelas berbeza pendapat dengan Najib Razak dalam kaedah penyelesaian syarikat milik Kementerian Kewangan yang sarat dengan hutang serta mempunyai pelaburan meragukan itu.
Selain tidak menghadiri beberapa perjumpaan yang diadakan Najib bagi mengumpul sokongan sebaik kemelut 1MDB meletus, termasuk bersama Ketua-Ketua UMNO Bahagian di PWTC dan ketika program bersama rakyat di Tawau, Shafie juga agak pantas menolak kata dua Perdana Menteri yang mahu menteri-menterinya meletakkan jawatan jika enggan bersamanya dalam menangani isu tersebut.
Naib Presiden UMNO itu dengan nada sinikal bertanya kembali, takkan bertanya soalan mengenai 1MDB suatu kesalahan dan perlu letak jawatan?
Ketika itu, ramai yang memuji pendirian dan sikapnya berkenaan ketelusan dan kebenaran, tambahan pula ramai menteri yang lain lebih suka memilih berdiam diri atau menyokong Najib walaupun tiada hujah mampu ditampil untuk mempertahankan 1MDB.
Namun skandal hartanah Mara yang meletus ini bagaikan ujian kepada Shafie tentang sejauh mana prinsip sebenarnya berkaitan kebenaran dan ketelusan serta keinginannya menegakkan perkara itu dalam kerajaan.
Kalau dilihat reaksi awalnya yang mengatakan pembelian apartment di Dudley itu "semuanya mengikut prosedur", ternampak seolah-olah beliau cuba melindungi serta menafikan wujudnya unsur rasuah, walaupun Pengerusi Mara, Annuar Musa telah menyerahkan beberapa dokumen kepada SPRM dan pihak berkuasa di Australia juga masih menjalankan siasatan.
Annuar juga kurang puas hati dengan kenyataan awal pihak polis yang mengatakan tiada unsur pecah amanah dalam pembelian hartanah itu dan berhasrat bertemu polis bagi memberi kerjasama dan menyerahkan dokumen berkaitan.
SUMBER: http://ift.tt/1RakHGC
0 comments:
Post a Comment