Oleh Syed Mu'az Syed Putra
KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin PAS Terengganu membidas sikap beberapa bekas pemimpin utama parti yang sanggup 'menggadai' prinsip serta pegangan dengan menubuhkan parti baru hanya kerana mengejar kuasa dan jawatan.
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Terengganu Azman Shapawi Abdul Rani berkata sikap ditonjolkan bekas pimpinan pusat yang tewas dalam pemilihan parti Jun lalu amat dikesali.
Selain itu, beliau juga menganggap keadaan berkenaan tidak menggambarkan imej PAS sebagai sebuah parti yang konsisten malah menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.
"Sepanjang muktamar yang saya lihat sebelum daripada ini semua pemimpin yang kalah tidak pernah mengambil sikap lari daripada perjuangan ataupun mereka menubuhkan parti lain.
"Sebagai contoh Allahyarham ustaz Abu Bakar Chik pernah kalah bertanding naib presiden, Datuk Mustaffa Ali pernah kalah, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pernah kalah beberapa kali, saya pun pernah kalah dan ramai lagi," katanya kepada Antarapos.
Tegas Azman Shapawi, perubahan barisan pucuk pimpinan adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi dan ia ditentukan perwakilan yang akan menilai setiap calon bertanding.
"Tetapi kita mengambil sikap kekalahan kita itu mungkin ada kelemahan menyebabkan perwakilan tak sokong kita dan kita kena muhasabah serta perbaiki diri.
"Kita jangan mengambil sikap bila kita tidak duduk sebagai pimpinan utama di peringkat pusat maka kita sudah tidak ada peranan di mana-mana peringkat," katanya.
Menurutnya, jika kepimpinan gagal melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh tersebut, sudah tentu perwakilan akan membuat sesuatu pada penggal akan datang.
Azman Shapawi berkata demikian bagi mengulas mengenai sesetengah pemimpin yang kalah terutama dari kumpulan progresif, yang masih mengkritik kepimpinan PAS secara terbuka walaupun pemilihan sudah sebulan berlalu.
Kekalahan dalam pemilihan PAS itu menyaksikan kumpulan bekas pimpinan digelar G18 bakal bergabung dengan (PasMa) dalam usaha menggerakkan penubuhan sebuah parti baru.
Kumpulan G18 diterajui bekas Timbalan Presiden PAS yang tewas Mohamad Sabu manakala PasMa dipimpin Datuk Phahrolrazi Zawawi.
G18 turut dibarisi bekas Naib Presiden Salahuddin Ayub yang dilantik sebagai timbalan pengerusi
manakala bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kayat sebagai penolong setiausaha.
Masih banyak tugas boleh dilakukan di peringkat lebih rendah
Ujar Azman Shapawi lagi, tiada istilah merajuk dalam politik kerana ruang serta peluang mengisi jawatan parti tetap ada meskipun di peringkat negeri atau akat umbi.
"Kalau kita tak boleh duduk peringlat pusat, kita bekerja di peringkat negeri...kalau negeri kita tidak ada tugas yang besar maka kita bekerja di peringkat kawasan.
"Kalau kawasan pula kita tidakl diberilan peranan yang utama, kita kerja di peringkat cawangan sebab semua tempat itu adalah kita bekerja untuk Islam," katanya.
Justeru beliau menyifatkan tindakan bekas pemimpin untuk menubuhkan parti baru tidak menunjukkan semangat kesetiaan dan keihlasan kepada prinsip parti.
"Bukan cari satu masalah bila tak pegang peringkat pusat kita mesti buat kumpulan lain seolah-olah tidak ada tugas kita dalam jemaah islamiyah," katanya.
SUMBER: http://ift.tt/1NSu9YZ
0 comments:
Post a Comment