Anda silap, Ku Nan! Umno lemah kerana pemimpinnya



Oleh J Aslan

Ketika pembukaan mesyuarat Umno Lembah Pantai 2 Ogos lalu, setiausaha agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata yang Umno menjadi lemah akibat ahli-ahlinya yang suka membuat fitnah.

“Umno lemah hari ini, kenapa? Kerana ahli sendiri. Kita ada kira-kira 30 peratus ahli yang suka adu domba, buat finah dan terpengaruh dengan cerita pembangkang. Inilah masalah Umno,” katanya seperti dipetik.

Tetapi Tengku Adnan, kenyataan anda terlalu jauh dengan kebenaran. Tolong jangan salahkan akar umbi Umno. Mereka sudah cukup menderita. Umno lemah bukan kerana ahli yang suka memfitnah pemimpin. Umno lemah kerana ramai dalam parti itu yang korup dan sudah tiada integriti dan kebertanggungjawaban.

Dengan menyalahkan ahli akar umbi ke atas krisis kepimpinan parti, Tengku Adnan seolah-olah cuba mengelak perkara yang jelas kepada semua. Sama seperti pemimpin Umno lain seperti Abdul Rahman Dahlan, Nazri Aziz dan menteri yang baru dilantik Azalina Othman Said, Tengku Adnan memilih untuk buat tak nampak gajah di depan mata.

Memang perlu banyak keberanian untuk menghadapi dengan krisis secara berdepan dan menanganinya. Kebenaran akan ditegakkan jua. Inilah apa yang dilakukan bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin. Sebagai ‘habuannya’, Muhyiddin disingkirkan daripada Kabinet dengan cara yang bacul. Naib presiden Umno Shafie Apdal juga tersingkir atas sebab yang sama.

Kedua-duanya mahu mengetahui kebenaran di sebalik wang RM2.6 bilion, yang kini sudah sah disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.



Pemimpin Umno patut meninggalkan retorik dan menegakkan kebenaran dan keadilan. Dengan cara ini, mereka pasti akan lebih dihormati dan Umno akan lebih kuat. Jadi Ku Nan, tolonglah berhenti menyalahkan akar umbi Umno di atas krisis kepimpinan yang dihadapi.

Percubaan untuk menyatakan yang wang itu disimpan bagi pihak Umno juga tidak memadai. Wang yang disimpan atas amanah perlu mematuhi Akta Pemegang Amanah 1949. Adakah ia dilakukan dengan persetujuan Majlis Tertinggi? Jika ya, mengapa Muhyiddin yang masih merupakan timbalan presiden Umno tidak tahu? Mengapa Shafie Apdal tidak tahu?

Pemimpin Umno juga sering berubah nada dalam skandal RM2.6 bilion ini. Kini dikatakan pula bahawa wang tersebut adalah “derma” politik, daripada penyokong Umno. Tetapi mengapa tidak beritahu begitu dari awal?

Tolonglah Ku Nan. Bijak pandai ada berkata, apabila anda tidak dapat pertahankan apa yang memang tidak dapat dipertahankan, berkatalah benar walaupun sukar. Jadi Ku Nan, tidak perlulah beri syarahan bodoh anda kepada akar umbi Umno. 

Akhir sekali, tolong juga ingat bahawa Umno ini dilihat sebagai benteng kepada sistem politik negara. Barisan Nasional juga diselubungi ketidaktentuan akibat krisis kepimpinan Umno.

Inilah masanya untuk pemimpin Umno dan BN mula bercakap secara rasional dan mengambil jalan sederhana. Walaupun seakan sudah lambat. Inilah masa terbaik bagi Umno untuk membetulkan kesalahan, seterusnya menjadi lebih baik dan kuat.

Berbanding menafikan apa yang benar, mengakulah kesalahan anda. Angkat pemimpin baru yang bertanggungjawab dan jujur. Satukan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, dan pulihkan semula ekonomi negara.- See more at: http://ift.tt/1hmWCMz;




SUMBER: http://ift.tt/1Neel2V

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog