MB Johor bengang budaya rasuah, DAP sedia kerjasama

chin tong khalid
Roketkini.com

KUALA LUMPUR: DAP sentiasa membuka pintu untuk mana-mana pihak, termasuk pemimpin dan ahli UMNO yang anti-rasuah, yang mahu menyelamatkan Malaysia daripada dirosakkan oleh penyelewengan, perkauman dan salahguna kuasa.

Dalam isu terbaru, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin, menyuarakan marahnya terhadap budaya rasuah dalam parti, dan mahu pemimpin dan ahli parti “mengambil langkah ke hadapan”.

Sehubungan itu, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, menasihatkan pimpinan dan anggota UMNO supaya bermuhasabah diri terlebih dahulu.

Katanya, jika UMNO benar-benar jujur, tentunya ia sebagai sebuah parti yang telah menerajui negara sejak lebih 60 tahun dahulu akan menolak politik perkauman, skandal penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Ini termasuklah dalam hal penerimaan ‘derma RM2.6 bilion’ kepada UMNO bagi memenangi pilihanraya menerusi akaun peribadi Perdana Menteri yang turut merupakan Presiden UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang mengulas status Facebook rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin, yang dimuat naik pagi tadi. Status tersebut dipercayai berkaitan dengan krisis dalaman UMNO berhubung skandal 1MDB serta kesan politik kotor pucuk pimpinan parti itu.

khalid norden prnt

Dalam status itu, Khaled menulis:

“UMNO tidak lagi boleh hanya jadi pemerhati, bila bangsa masih bergelumang dengan kemiskinan dan jurang keberadaan. UMNO tidak boleh berdiam diri, kalau rasuah jadi budaya atau misalnya amanah dikhianati.

“UMNO tidak boleh hanya membisu bila parti tidak lagi mengutamakan perjuangan bangsa Melayu tetapi digunakan untuk membela golongan tertentu atas nama kesetiaan pada parti atau disiplin kepartian mentaati pemimpin. Sudah sampai masanya UMNO bergerak beberapa langkah ke hadapan. Lebih proaktif dan lebih dominan.”

Menurut Chin Tong, DAP menyedari masalah yang sedang dihadapi UMNO yang turut menyebabkan golongan sederhana dalam parti itu tidak senang dengan keputusan dan tindakan pucuk pimpinan.

“Dalam hal ini, DAP Johor bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk UMNO Johor, yang berusaha ke arah merealisasikan Impian Malaysia.

“Impian Malaysia adalah cita-cita sebuah Malaysia yang bebas rasuah, pengurusan sosioekonomi yang sihat dan adil, tadbir urus yang cekap dan amanah, serta demokrasi yang sihat,” ujar beliau. – Roketkini.com




SUMBER: http://ift.tt/1IJBV7W

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog