KLANG - Kepimpinan Umno di semua peringkat perlu bangkit, bersatu dan berganding bahu dalam menghadapi situasi politik negara yang agak mencabar pada masa kini, kata Ketua Pemuda Umnno, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, terdapat keperluan untuk pemimpin Umno di semua peringkat untuk bermuhasabah diri dan segera menyelesaikan beberapa isu pokok yang melanda negara ini bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional.
"Bagi saya, kita perlu bermuhasabah diri ... sama ada ia masalah 1MDB (1 Malaysia Development Bhd) atau isu lain terhadap pemimpin Umno, mesti disuarakan mengikut saluran betul seperti mesyuarat Umno bahagian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Klang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan meminta semua pihak agar memberikan ruang secukupnya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung isu 1MDB.
Beliau berkata ini kerana rakyat menaruh kepercayaan sepenuhnya terhadap kewibawaan SPRM sebagai badan bebas bagi menjalankan siasatan terhadap isu itu.
"Kalau kita sendiri (orang politik) kata kita tak salah (mengenai 1MDB), masih ada keraguan sebab kita sendiri kata tak salah. Kalau suruhanjaya bebas seperti SPRM kata tiada kesalahan, rakyat berasa yakin," katanya.
Beliau berkata pihaknya masih menantikan laporan penuh siasatan 1MDB sebelum memberi penjelasan lanjut kepada anggota di peringkat akar umbi.
Terdahulu, kesemua pemimpin Umno dari semua peringkat di Bahagian Klang sebulat suara menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama
SUMBER: http://ift.tt/1Uw3BkD
0 comments:
Post a Comment