Tiada laporan rasmi MT Umno tangguh lagi - Bung Moktar [TONTON VIDEO]

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
 
Post Pic

 
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin mengesahkan masih belum menerima sebarang makluman rasmi tentang dakwaan Mesyuarat Tertinggi (MT) Umno yang mungkin ditangguhkan sekali lagi.
 
"Belum ada apa-apa lagi notis rasmi," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Bung diminta mengulas khabar angin yang mengatakan Mesyuarat MT Umno yang sepatutnya diadakan 28 Ogos depan bakal ditangguhkan lagi akibat kemelut dalaman parti yang masih berterusan.
 
Ia dipercayai berlaku susulan rombakan kabinet pada bulan lepas.
 
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga dikatakan sehingga kini masih belum mengeluarkan notis sama ada mesyuarat berkenaan akan diteruskan pada hari yang sama atau sebaliknya.
 
Kononnya Tengku Adnan 'sukar' membuat keputusan berhubung mesyuarat tersebut kerana wujud tekanan dan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin dan ahli-ahli parti terhadap rombakan kabinet yang telah dilakukan.
 
Bung kemudiannya diminta mengulas dakwaan berkenaan.
 
"Saya tidak nafikan ada sedikit kebimbangan di peringkat akar umbi. Namun saya tidak nampak ia boleh merosakkan Umno. Penangguhan ini mungkin kerana keadaan yang tidak mengizinkan.
 
"Masing-masing ada pendirian yang berbeza. Jika kita tenangkan keadaan dahulu, baru dapat keputusan yang baik," ulasnya.
 
Pada 29 Julai lalu, mesyuarat MT Umno juga dibatalkan pada saat akhir di mana difahamkan ia sepatutnya diadakan bagi membuat keputusan berhubung status Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal.
 
Bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tersebut disingkirkan daripada Kabinet Datuk Seri Najib Razak dikatakan akibat perbezaan pendapat dalam isu syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
 


SUMBER: http://ift.tt/1EqCQF6

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog