Pembersihan kabinet daripada unsur-unsur penentangan khususnya dalam isu IMDB merupakan langkah berani dan tegas daripada Perdana Menteri. Sebelum itu, terdapat persepsi beliau lemah dan tidak tegas, walaupun beliau sudah beberapa kali menegaskan dan mengingati akan keturunannya sebagai pahlawan Bugis.
Kata beliau ketika di Sarawak, “darah dalam diri saya ini bukan darah sembarangan, saya mungkin dilihat adakalanya bersemangat diplomatik, tapi semangat kepahlawanan tetap ada dalam diri saya….Jangan pandang rendah saya, saya akan terus berjuang…” Di Sabah pula beliau membacakan falsafah Bugis bagi menegaskan pendiriannya itu yang berbunyi, “Kendati tergantung awan di langit. Telah terlanjur ku bentang layar. Walau badai datang menggunung. Walau berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua, tak kan mungkin ku berbalik haluan.” (Malaysiakini, 10 Mei, 4 Mei, 2015).
Ternyata keberanian dan ketegasan menangani pihak berani bersuara dalam kabinet tersebut dan seterusnya membawa pengguguran ahli kabinet itu dapat diukur berdasarkan beberapa aspek.
Yang pertama, sudah menjadi pengetahuan umum Umno dan BN bukanlah parti yang kuat pada masa kini. Buktinya, dibawah penguasaannya, beliau hanya mendapat 133 kerusi pada tahun 2013 berbanding era Pak lah yang mendapat 140 kerusi dalam pilihan raya 2008. Era itulah beberapa tokoh politik penting berstatus menteri Umno dan MCA tewas seperti Mohd Ali Rustam, Abdul Ghani Othman, Raja Nong Chik, Kong Cho Ha dan Chor Chee Heung.
Berbeza dengan era Dr Mahathir dalam pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim. BN masih menang mempunyai 148 kerusi dan cuma merosot 8.6 peratus pada pilihan raya 1999. BN juga menang dalam semua pilihan raya negeri kecuali di Kelantan dan Terengganu.
Namun sekiranya Mahathir tidak berundur pada tahun 2003, diramalkan keputusan PRU dijangka lebih teruk daripada keputusan pilihan raya 1999. Rakyat marah dan benci kerana beliau memecat Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri. Mahathir sedar akan kemarahan dan kebencian itu. Sebab itu, beliau berundur dan memberi laluan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Akibat, marah dan benci terhadap Mahathir, rakyat memberikan sokongan dan kepercayaan tinggi kepada Pak Lah hingga berjaya mendapat undi majori terbesar sejak tahun 1978 dalam pilihan raya Mac 2004.
Tun Musa Hitam pula meletak jawatan dengan memberikan lima sebab dan bukannya dipecat pada 27 Februari 1986.
Seterusnya, beliau berundur terus dari dunia politik. Jadi, kurang protes daripada rakyat khususnya ahli Umno. Ketika itu, juga kadar celik politik pada era tersebut masih lagi rendah. Internet melalui media sosial seperti youtube, blog, whatsApp belum lagi wujud. Masyarakat masih bergantung kepada akhbar cetak dan risalah-risalah politik. Jadi, Mahathir dapat mengawal apa-apa gerakan politik melalui media.
Mahathir juga dianggap ‘diktator media terpimpin’ Malaysia yang di bawah kepimpinannya mengubal Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Dengan kata lain apa-apa urusan percetakan, penerbitan di bawah kawalan kerajaannya dan ini berupaya mengekang penerbitan akhbar parti pembangkang. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga digunakan untuk menahan aktivis dan pemimpin politik pada tahun 1987. Kesannya, rakyat menjadi gerun untuk menentangnya kecuali pada akhir pemerintahannya setelah pemecatan Timbalan Perdana Menteri.
‘Keterbukaan’ Najib dan dunia tanpa sempadan
Namun pada era kepimpinan Najib berbeza dengan kepimpinan Dr Mahathir. Najib dilihat sebagai mesra media sosial. Malah, beliau mempunyai akaun Facebook dan Twitter. Najib juga mengumumkan ISA dimansuhkan bersama-sama Akta Buang Negeri 1959. ISA digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional, Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) juga diperkenalkan secara lunak kepada masyarakat walaupun terdapat kebimbangan akan disalahgunakan.
‘Kelonggaran’ atau ‘keterbukaan’ Najib ini dibimbangi para penyokongnya yang menganggap ia mungkin akan memakan dirinya sebagaimana pernah berlaku kepada era Pak Lah pada PRU 2008. Pak Lah terkenal sebagai era permulaan ‘keterbukaan’ media yang mengakibatkan kepada pengundurannya sebagai Perdana Menteri dalam tempoh yang agak singkat.
Namun apa pilihan Najib? Beliau tidak akan mengikut jejak Negara China yang menyekat akses kepada google, wikipedia, youtube, twitter dan facebook atas pertimbangan menjaga keselamatan negara.
Terdapat kecenderungan negara yang mengharamkan media sosial seperti youtube akhirnya menarik balik pengharaman tersebut akibat tekanan rakyat dan desakan pihak antarabangsa. Jadi, langkah ini dianggap tidak demokratik dan menyekat kebebasan bersuara.
Kuasa Perdana Menteri
Pengguguran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merupakan kuasa mutlak Perdana Menteri kerana sesiapapun yang berkuasa tidak akan membiarkan suara-suara seolah-olah meragui kepimpinaannya semakin mewabak.
Bagi pihak Perdana Menteri sekiranya beliau meletak jawatan, ia akan memburukkan lagi suasana kerana ia bagaikan sudah didapati bersalah sedangkan penyiasatan terhadap 1MDB masih lagi dijalankan.
Sekiranya ini berlaku, seolah-olah pihak yang mendesak itu menang dalam isu persepsi sedangkan dari segi hukum undang-undang ialah tidak bersalah hingga didapati bersalah.
Situasi dalam BN khususnya dalam Umno kini kelihatan seolah-olah wujud dua kem, iaitu kem pro-PM dan kem pro-Tun Mahathir. Sudah pasti gerakan pro-PM akan memperkuatkan kedudukan mereka dalam koridor kuasa dan mengambil langkah-langkah yang perlu.
Sedangkan pro-Tun M hanya berbekalkan suara-suara kritikan Mahathir dan tidak disokong secara terbuka kebanyakan ahli-ahli parlimen UMNO.
Hakikatnya, yang kritis terhadap kepimpinan Najib dalam Umno cumalah segelintir. Selebihnya lebih ramai berdiam diri. Adakah ini tanda menyokong penuh atau memprotes? Manakala ahli korporat pula lebih ramai mendiamkan diri kecuali adiknya sendiri, Dato Seri Nazir Abdul Razak..
Mahathir sendiri mendakwa kini pemimpin Umno beralih arah dan sangat komited kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Abdul Razak. Adakah ini kenyataan sinis atau sebaliknya?
Kerajaan Campuran dalam Bayangan?
Dalam politik apa-apa sahaja boleh berlaku. Datuk Seri Zahid Hamidi sendiri pernah dianggap orang penting Anwar, beralih arah sebagai orang kuat Dr Mahathir, kemudian menjadi orang kepercayaan Pak Lah seterusnya menjadi orang paling kanan Datuk Seri Najib Tun Razak apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Adakah pergolakan politik semasa masa kini akan menyebabkan berlakunya pembentukan kerajaan campuran? Hal ini boleh berlaku sekiranya pihak penyokong mantan Timbalan Perdana Menteri dan penyokong Datuk Shafie Apdal bergabung dan membawa sekumpulan 37 ahli parlimen BN dari pelbagai negeri dan bergabung dengan 89 ahli parlimen Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan campuran. Malah dengan kurang daripada angka tersebut, ia akan dapat membentuk kerajaan campuran.
Adakah pengakuan Muhyiddin beliau Umno totok dan tidak akan meninggalkan parti itu suatu jaminan yang terbaik dalam situasi politik semasa? Atau, adakah Pakatan Rakyat lebih selesa mengidam peluang dalam PRU akan datang?
Sebenarnya, pelantikan Zahid Hamidi memberikan peluang baru bagi membantu Najib menangani isu dengan lebih jitu bukan sahaja isu dalaman Umno atau BN sahaja. Sebaliknya, memulihkan keyakinan rakyat kerajaan yang ada sekarang mampu menangani masalah rakyat semasa. Yang penting segala isu nasional seperti kos hidup semakin tinggi, IMDB dan Felda dan sebagainya ditangani dengan bijaksana serta berupaya mendapat kembali keyakinan dan sokongan rakyat kepada BN yang kini semakin pudar.
Bersikap lunak
Zahid mempunyai pengaruh yang tinggi dalam Umno yang dibuktikan dengan jumlah undi tertinggi diperoleh dalam pertandingan Naib Presiden pada pemilihan Umno yang lalu perlu bersikap lunak. Beliau perlu mengambil pendekatan mesra menangani kemungkinan-kemungkinan penentangan dalaman Umno akan tercetus dengan lebih besar.
Dalam keadaan genting seperti ini, sekiranya semakin ditekan para penentang dalaman, maka semakin tinggilah suhu kemarahan, protes dan ketidakpuasan hati rakyat.
Sudah tentulah strategi memburuk-burukkan si penentang, menekan, menjauhkan diri atau memulau bukanlah strategi bijaksana untuk menjernihkan suasana politik dalaman yang boleh menjadi barah dan mewabak dalam parti.
Di luar lingkaran parti, rakyat kini semakin celik politik dan bijaksana dalam setiap lapangan kehidupan mereka ceburi. Mereka semakin dapat menilai perbezaan antara intan dan batu kelikir yang tidak berharga.
Mereka tahu kaitan isu seperti kos hidup, rasuah dan kesan kepada nilai masyarakat. Harapan tinggi mereka sesuai dengan peredaran zaman.
Mereka juga mampu menilai secara kritis kewibawaan ahli politik mereka dalam berhujah secara matang dan bijaksana dalam isu nasional. Setiap patah kata atau kenyataan yang dikeluarkan akan dijadikan kayu ukur untuk dinilai sama perlu diterima atau ditolak dalam bentuk peti undi pada pilihan raya tidak lama lagi.
Jadi, kabinet baru yang dibentuk ini perlu menghindari ‘taboo politik’ yang merosakkan agar tidak menjadi cerita rakyat moden yang tersebar dalam pelbagai bentuk media sosial seterusnya menjadi viral.
Ketika ini majoriti rakyat tidak sabar lagi untuk membuat keputusan di peti undi! Faktor ini didorong peningkatan kematangan berpolitik dalam kalangan mereka.
* Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaysia Sarawak, Kota Samarahan, Sarawak.
SUMBER: http://ift.tt/1MGtxbK
0 comments:
Post a Comment